Showing posts with label Negeri Sabah. Show all posts
Showing posts with label Negeri Sabah. Show all posts

8 Aug 2014

BENDERA SABAH | PEMILIK KERETA BERJIWA PATRIOTIK

NEGERI SABAH BAWAH BAYU

Gambar ini saya ambil ketika jalan di sekitar Kota Kinabalu sekitar 3 minggu lepas. Saya tertarik dengan kereta yang mempunyai banyak bendera negeri Sabah walaupun bukan pada bulan kemerdekaan. Saya kongsikan kepada semua sebab ini adalah satu-satunya Kereta Patriotik yang paling manang di Sabah.
Baca selengkapnya

4 Jul 2014

Mitos dan Lagenda Pengait (Head Hunter) | Negeri Sabah

Pengait (HeadHunter) | Negeri Sabah

Pernahkah anda mendengar tentang Pengait ? Suatu Masa dahulu tengkorak manusia juga dikaitkan dengan cerita " pengait " atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai " head hunter " satu panggilan kepada pemburu kepala manusia untuk dijadikan berian kahwin ataupun sebagai tanda kepahlawanan. 

Kesahihan cerita pengait ini sukar dipastikan kerana tidak ada bukti kukuh tentangnya, mungkinkah itu hanya sebagai lagenda ataupun cuma sebagai cerita di antara cerita-cerita penglipurlara semata-mata.

Cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu kini kian tenggelam ditelan zaman, cerita " pengait " dan kisah-kisah pemburu kepala jarang kedengaran lagi di mana-mana di negeri ini.
      
Cerita " Pengait " pada zaman dahulu telah diakui sebagai budaya kuno yang pernah diamalkan di oleh suku kaum Rungus walaupun tidak sehebat cerita kaum Murut di Sabah pada abad ke-16 hingga ke-17. Ramai yang percaya dengan sumber-sumber daripada cerita lisan itu yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, malah pada zaman moden inipun ada yang masih percaya dengan cerita pengambilan kepala manusia konon untuk tujuan membayar tebusan kepada penunggu di tempat diadakan pembangunan, terutama sekali jambatan.

Kononnya pada zaman dahulu kegiatan memburu kepala dilakukan untuk dijadikan bukti kegagahan seseorang lelaki ataupun dijadiakan berian kahwin. Kononnya seorang lelaki tidak akan dapat memiliki isteri sekiranya ia gagal menyumbangkan sekurang-kurangnya satu kepala manusia yang dia penggal sendiri.

Namun pada hakikatnya fakta kajian telah menyatakan, perolehan tengkorak manusia sebenarnya dikatakan hasil dari usaha mempertahankan diri, si gagah menang dalam pertempuran setelah berjaya mempertahankan diri ataupun berjaya membalas dendam. Kegiatan ini kononnya pernah berlaku di kalangan suku kaum Murut dan ia dipercayai pernah menular kepada masyarakat Momogun Rungus .

Pada kira-kira abad ke-17 hingga abad ke-18 masyarakat Momogun dan Murut masih lagi mempunyai kepercayaan bahawa tengkorak manusia boleh membawa kebaikan kepada mereka lalu menggantung beberapa tengkorak manusia di atas Tangkob. Tangkob ialah peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira 3 hingga 4 kaki. Kepercayaan ini telah menyerap sebagai salah satu budaya dan kepercayaan yang abadi di kalangan suku kaum tersebut.

Tangkob diperbuat daripada kulit kayu digunakan sebagai tempat menyimpan padi. Ianya terdapat dalam berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tempat ianya disimpan. Tangkob biasanya ditempatkan di sulap Bangkawan, sulap yang mempunyai atap tetapi tidak berdinding.

Bagi mengelakkan semangat padi diganggu dan rezeki pemilik padi akan bertambah maka tengkorak manusia digantung di sebelah atas tangkob bersama-sama beberapa buah kerang gergasi, daun silad kering dan tulang binatang.


Sumber Asal : Blog DJ Kupang
Baca selengkapnya

Mitos dan Lagenda Nunuk Ragang | Negeri Sabah

Mitos dan Lagenda Nunuk Ragang | Negeri Sabah

Diceritakan orang bahawa, pada zaman dahulu kononnya ada sepohon pokok kayu ara yang besar dan luar biasa keadaannya tumbuh dekat dengan sebuah danau yang dalam. Danau itu letaknya dekat dengan tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan. Pokok kayu ara yang disebutkan tadi, keseluruhannya berwarna merah, termasuk daunnya. Dalam bahasa orang-orang Dusun atau Kadazan pokok kayu ara itu disebutnya 'Nunuk Ragang'. 'Nunuk' bererti pokok kayu ara dan 'ragang' bererti merah.

Diceritakan juga bahawa pada masa itu tempat tersebut belum lagi didiami oleh manusia. Pada umumnya, kawasan di mana terdapatnya Nunuk Ragang itu dipenuhi oleh hutan belantara yang hanya didiami oleh binatang-binatang buas dan liar sahaja. Pada masa itu terdapat seekor ayam jantan yang sangat besar, kira-kira sebesar seekor kerbau tinggal di situ. Ayam jantan tersebut dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa. Ikuti kisah di bawah ini..

Kelahiran manusia

Pada suatu hari ayam jantan itu mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Dengan tidak mena-mena terkeluarlah seorang anak muda yang kacak dari bawah tanah yang dikaisnya itu. Ayam jantan tersebut terus juga mengais-ngais dan mencakar tanah. Tidak lama kemudian keluar pula seorang gadis yang sangat jelita. Kedua-dua orang manusia itu diambil dan dipelihara oleh ayam jantan tersebut. Selang beberapa lama, maka kedua manusia itu pun dikahwinkan. Hasil perkahwinan itu lahirlah beberapa orang putera dan puteri. Keturunan mereka ini akhirnya beranak pinak dan berkembang biak pula, lalu mendiami kawasan yang pada mulanya tiada berorang itu. Lama kelamaan tempat itu menjadi semakin ramai penghuninya.Keturunan kedua manusia yang ditemui daripada knisan tanah oleh ayarn jantan itu disebut sebagai 'Orang-orang Nunuk Ragang' yang 'dipercayai' nenek moyang dan keturunan orang-orang Dusun atau Kadazan sekarang ini.


Lelaki yang pertama muncul dari bawah tanah itu dilantik oleh ayam jantan sebagai penghulu di tempat itu. Dia memerintah dengan adil atas bantuan ayam jantan tersebut. Ayam jantan itu tinggal di pokok kayu ara merah tadi. Bersama-sama pokok kayu ara merah tersebut ayam jantan itu menjadi pelindung kepada manusia yang tinggal di situ. Tempat itu juga akhirnya dinamakan Nunuk Ragang mengambil sempena nama pokok kayu ara merah yang istimewa itu.Nunak Ragang dari hari ke hari kian bertambah maju dan penduduknya semakin ramai. Di sekitarnya terdapat beberapa batang anak sungai dan ini menjadikannya suatu kawasan pertanian yang subur dan lumayan. Sejak itu, hiduplah penduduk-penduduk Nunuk Ragang dalam suasana aman dan damai buat beberapa lama.

Ragang Tie

Menurut ceritanya, pada suatu masa Nunak Ragang telah 'diserang' dan diganggu oleh 'Ragang Tie' (tahi merah). Ragang Tie ini tidak dapat digambarkan
keadaannya yang sebenar. Ia kelihatan seperti air yang mengalir apabila dilihat dari jauh dan kadang-kadang orang yang melihatnya seolah-olah seperti manusia sifatnya. Anehnya Ragang Tie itu telah membawa wabak penyakit kepada sesiapa yang tersentuh dan menyentuhnya, bahkan ia sering membawa maut. Di samping itu, Ragang Tie juga memusnahkan hasil-hasil tanaman dan membunuh binatang-binatang ternakan yang terkena padanya.

Oleh yang demikian, ramailah penduduk di situ yang menderita sakit dan mati,binatang ternakan dan tanaman pun turut musnah terkena wabak itu. Hal ini
menjadikan orang-orang Nunuk Ragang berasa amat sedih dan bimbang. Akhirnya, ramai di antara mereka meninggalkan tempat itu dan berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat untak didiami. Dengan itu, berpecah dan 'bersepahlah' mereka ke serata daerah dan kawasan seperti yang terdapat pada masa ini.

Kehadiran Orang Bawah Tanah

Pada suatu masa yang lain, tibalah musim menanam padi bagi penduduk Nunuk Ragang. Pada suatu hari, sedang orang-orang kampung itu sibuk menugal padi di huma mereka terdengar suara manusia lain memanggil dan datangnya dari bawah tanah pula. Orang-orang Nunak Ragang berasa hairan bercampur takut, lalu mereka mengadukan kejadian itu pada penghulu mereka. Akhirnya mereka mengadakan mesyuarat dan mencapai kata sepakat, lalu mereka mengorek tanah dari mana terdengarnya suara memanggil itu. Apabila dikorek, maka terbukalah sebuah lubang bawah tanah yang besar. Di dalamnya penuh sesak dengan manusia yang kelihatannya bengis-bengis belaka.

Orang-orang Nunuk Ragang menjadi bertambah takut lebih-lebih lagi apabila mendengar suara percakapan manusia bawah tanah itu sangat kuat dan kasar. Kemudian ketua manusia bawah tanah pun berkata dengan suara yang amat kuat macam halilintar, katanya, "Terima kasih tuan-tuan ......kerana melepaskan kami dan tempat ini sungguh baik rasanya untuk kami kerana kami sudah lama berkurung di bawah tanah. Sekarang kami mahu tinggal di sini pula. Kamu mestilah pergi dari sini kalau tidak kami akan musnahkan kamu semua!........."

Mendengar amaran manusia dari bawah tanah itu, maka orang Nunuk Ragang pun lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Peristiwa ini juga menyebabkan orang-orang Nunuk Ragang berpindah dari tempat asal mereka, lalu mendiami daerah-daerah lain di Sabah. Dua peristiwa di atas adalah daripada dua cerita yang berlainan yang menyatakan sebab orang-orang Nunuk Ragang berpindah dari tempat asalnya.


Kumpulan manusia dari bawah tanah itu pun mendiami kawasan yang telah ditinggalkan oleh orang Nunuk Ragang. Namun begitu, manusia bawah tanah masih percaya bahawa ayam sakti dan penghulu orang Nunuk Ragang masih ada. Mereka akan membalas dendam terhadap mereka bila-bila rnasa, jadi manusia bawah tanah terus berazam untuk menghapuskan kedua-duanya yang dianggap sebagai musuh mereka. Orang-orang Nunuk Ragang bersama penghulu dan ayam jantan saktinya sentiasa diburu oleh manusia bawah tanah itu.


Setelah beberapa lama manusia bawah tanah masih juga tidak berjaya menghapuskan penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Akhirnya manusia bawah tanah itu pun tinggal menetap di sekitar kawasan tersebut yang sekarang ini dikenali sebagai orang Tampias, mereka terdapat di kawasan-kawasan perkampungan di daerah Labuk Sugut, Sandakan. Diceritakan orang juga bahawa orang-orang Tampias itu hingga ke hari ini tidak begitu berbaik-baik dengan orang-orang Dusun/Kadazan yang berasal daripada orang-orang Nunuk Ragang.

Manusia bawah tanah itu menurut ceritanya adalah manusia biasa tetapi telah disumpah oleh dewa tanah kerana terlalu banyak membuat kerosakan di muka bumi lalu mereka dihantar mendiami kawasan lubang yang besar di bawah tanah. Di sanalah mereka hidup dan beranak-pinak beberapa lama sehingga mereka dikeluarkan oleh orang Nunuk Ragang.

Perpindahan Suku Kaum Kadazan/Dusun ke Merata Tempat

Perasaan marah dan dendam manusia bawah tanah tidak habis-habis terhadap penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Perkara ini membuatkan ayam jantan sakti menerbangkan penghulu tersebut jauh ke suatu kawasan pergunungan yang sekarang ini dikenali sebagai Ranau. Dengan kuasa sakti ayam jantan tersebut, ia meratakan tanah yang berlumpur itu dengan kaki dan kepakuya, menguis-nguiskannya sehingga tempat itu menjadi rata untak didiami. Oleh kerana kawasan itu berlumpur dan mengambil sempena keadaan asalnya, maka tempat itu pun
dinamakan 'Ranau' yang bermaksud 'lumpur' dalam bahasa Dusun/Kadazan.

Setelah tanah di situ diratakan, maka orang-orang yang mengikut penghulu berpindah itu pun terus membuka tempat kediaman di situ. Mereka menumpukan kegiatan dengan bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan seperti ayam,
itik dan babi.

Adapun manusia bawah tanah tadi masih terus berasa tidak senang dan khuatir kalau-kalau orang-orang Nunuk Ragang datang menuntut bela dan menyerang mereka. Lalu orang dari bawah tanah menyiasat dan akhirnya mereka mendapat tahu bahawa orang-orang Nunuk Ragang berada di Ranau. Maka, mereka pun bergerak pula ke sana untuk membinasakan orang-orang Nunuk Ragang ini. Kedatangan manusia bawah tanah ini telah dapat dikesan oleh ayam jantan sakti, lalu sebelum sempat mereka tiba ke Ranau, ayam jantan sakti telah pun menerbangkan penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain bersama pengikutnya dan tempat itu kemudiannya dikenali sebagai Tambunan.

Di tempat baru itu seperti juga sebelumnya ayan jantan sakti tadi membantu penghulunya dengan menguis-nguis dan meratakan tanah untuk dijadikan kawasan tempat tinggal orang-orang Nunuk Ragang. Hal ini diketahui juga akhirnya oleh manusia dari bawah tanah dan mereka menjadi semakin marah terhadap orang Nunuk Ragang, lebih-lebih lagi terhadap ayam jantan sakti itu dan mereka terus berazam untak menghapuskannya.

Seperti kebiasaan perangai ayam jantan setiap pagi ia akan berkokok, begitu juga ayam jantan sakti ini. Bunyi kokokannya pula amat kuat hingga terdengar ke Ranau dan tempat-tempat lain yang agak jauh dari tempatnya berkokok itu. Menurut ceritanya, bunyi kokokan ayam jantan inilah yang membolehkan manusia dari bawah tanah itu menjejak kedudukan ayam tersebut dan penghulu Nunuk Ragang. Lalu kumpulan manusia dari bawah tanah itu bergerak pula ke Tambunan. Seperti dahulu juga ayam jantan sakti itu telah mengetahui kedatangan mereka lebih awal dan terus menerbangkan penghulu itu ke satu tempat lain bernama Apin-apin. Di situ mereka membuka pula tempat kediaman yang baru.

Oleh kerana manusia dari bawah tanah tadi hanya mendendami penghulu Nunuk Ragang dan ayam jantan saktinya sahaja, maka hanya sebahagian sahaja manusia bawah tanah yang ikut memburunya. Sementara yang lainnya terus tinggal menetap di tempat-tempat yang telah dibuka oleh ayam jantan dan orang-orang Nunuk Ragang itu.

Disebabkan penghulu Nunuk Ragang tidak lama mendiami Tambunan kemudian terpaksa berpindah ke Apin-apin, maka dia melantik seorang penolongnya yang bernama 'Gombunan' sebagai ketua orang-orang Nunuk Ragang yang menetap di situ. Maka nama Tambunan adalah mengambil sempena nama ketua mereka yang dilantik oleh penghulu tadi. Lagipun tempat baru (Tambunan) itu belum mendapat namanya lagi pada ketika itu.

Di Apin-apin, seperti tempat-tempat lain yang dibukanya sebelum itu, penghulu Nunuk Ragang dan ayam jantan saktinya tidak dapat tinggal lama kerana manusia dari bawah tanah terus mengesannya. Seperti biasa, ayam jantan sakti tadi menerbangkan pula penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain yang lebih jauh di kawasan pedalaman yang kemudiannya disebut sebagai Keningau. Seperti selalunya ayam jantan itu meratakan kawasan tersebut untuk dibuat tempat kediaman. Di tempat tersebut ketika itu banyak terdapat pokok 'kayu manis', maka tempat itu lalu dinamakan 'Keningau' dalam bahasa Dusun/ Kadazan yang bererti 'kayu manis'.

Kematian Penghulu & Ayam Jantan Sakti

Tidak berapa lama di Keningau ayam jantan sakti itu pun jatuh sakit dan terus menemui ajalnya kerana sudah tua lalu ditanamkan di suatu tempat di situ. Selang tidak berapa lama kemudian, penghulu Nunuk Ragang pula menghembuskan nafas juga kerana penyakit tua. Dengan kematian kedua-dua makhluk yang sentiasa diburu oleh manusia dari bawah tanah itu, maka mereka pun berhentilah memburu dan memusuhi orang-orang Nunuk Ragang.

Kematian ayam jantan sakti dan penghulu orang-orang Nunuk Ragang itu menyebabkan orang-orangnya merasakan sesuatu yang berharga telah hilang daripada mereka. Ini merupakan satu kehilangan yang amat besar buat mereka. Sesungguhnya ayam jantan sakti amat banyak jasanya kepada suku kaum Momogun dalam membuka beberapa kawasan tempat kediaman mereka. Jika diperhatikan, (malah hingga ke hari ini) kebanyakan tempat yang didiami oleh orang-orang Momogun ( Dusun/Kadazan) adalah di kawasan bukit dan pergunungan yang seakan-akan telah diratakan. Orang-orang Momogun khususnya kaum Rungus mempercayai akan kisah ini.

Pokok Nunuk Ragang yang ditinggalkan oleh orang-orang Momogun berdekatan dengan danau itu dikatakan telah ditebang dan dimusnahkan oleh manusia dari bawah tanah yang dipercayai sekarang ini sebagai nenek moyang orang Tampias di Sabah.

Sumber Asal : SABAH
Baca selengkapnya

1 Jul 2014

Suku Kaum Murut Sabah

Suku Kaum Murut Sabah


Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Suku kaum Murut adalah suku kaum ketiga terbesar di Sabah.

Tempat tinggal mereka termasuk Tenom, Kemabong, Pensiangan dan Keningau. Dahulu mereka tinggal di dalam rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga besar. Kebanyakan mereka adalah petani berpindah, pemburu dan penangkap ikan sungai. Mereka juga mejalankan pemungutan hasil hutan( damar, rotan dan madu lebah ). Pada masa kini kaum murut sudah ada yang berkhidmat dalam sektor awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertahanan.

Perkataan ‘Murut’ merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah. Murut terdapat di beberapa kawasan seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan dan Kinabatangan. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, Murut Serundung dan Murut Lundayeh[1]/ Lun Bawang. Dimana kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain seperti Lun Bawang/Lun Dayeh. Ini disebabkan faktor geografi sebagai penghalang dalam komunikasi bahasa mereka.

Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah panjang yang berhampiran dengan kawasan sungai atau membuat penempatan sepanjang sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Tetapi terdapat juga kaum Murut yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai. Suku kaum Murut pakar dalam membuat perahu dan menurunkan kepakaran mereka kepada generasi seterusnya. Selain itu kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini.

Kaum Murut juga menyambut perayaan seperti Hari Raya, Hari Krismas, Tahun Baru, Majlis harijadi, pengembumian dan Pesta Kalimaran dan lain-lain. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum kadazan-Dusun yang menyambut pesta Kaamatan. Ia di sambut selepas mereka menuai padi. Kaum Murut masa kini, telah mengalami proses kemodenan dan ramai yang berkerja sebagai kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan. Mereka juga tinggal di bandar-bandar besar dan mempunyai pekerjaan profsional. Namun demikian, Kaum Murut ini masih lagi mengamalkan adat istiadat yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sebagai adat turun temurun yang mempunyai nilai estetika tinggi dalam kehidupan.

Baca selengkapnya

18 Jun 2014

INFO SABAH : PESTA KELAPA DIJENAMAKAN SEMULA MENJADI FESTIVAL KUDAT


Keputusan Mesyuarat JawatanKuasa Pelaksana Pesta Kelapa yang telah bermesyuarat pada 16 April 2014 telah memutuskan 'PESTA KELAPA" kini telah di Jenamakan semula kepada 'FESTIVAL KUDAT'.

Ini bermakna pertandingan 'Juara Fesyen Berasaskan Kelapa' seperti yang sinonim diadakan pada setiap tahun di daerah kudat kini di ganti dengan pertandingan 'Pakaian Tradisi Kreatif Berasaskan Manik'.

Walaubagaimanapn acara yang lain masih dikekalkan seperti Pertandingan Aneka Bakat, Pertandingan kraftangan,Pertandingan Lumba Perahu Naga, Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Strongman dan Auto-show.

Juga menarik pada tahun 2014 ini acara baru seperti Pertandingan Memancing. Festival Kudat juga turut diwarnai dengan Persembahan Bunga api, konsert dan lain-lain acara yang baru dicadangkan. 

kepada peminat 'Juara Fesyen Kelapa' , Jom beralih ke Pertandingan 'Pakaian Tradisi Kreatif'. 

*Terbaru, Semua acara akan diadakan di Esplanade Sidek.

*Bukan lagi di Dataran Tomborungus dan Padang Bandaran.

Info: Urusetia, Pejabat Daerah Kudat
Baca selengkapnya

13 Jun 2014

Daerah Pitas Sabah : Menyelusuri Perjalanan ke Kampung Pinapak

Perkongsian Umum [Gambar ke Kampung Pinapak, Pitas]






Kepada YB Datuk Bolkiah Hj Ismail,
Sesekali utamakanlah juga hal yang berlaku di kawasan anda bukan hanya menjaga kepentingan negeri dan negara ini kerana boleh dibilang kekerapan wakil rakyat ini bertemu dengan rakyat setempat untuk bincang isu/hal orang kampung selain daripada ketika merasmikan apa-apa majlis dan acara di Pitas. BETULKAH BOHONG ? 

Malas melibatkan diri dalam politik ini sebab bukan bidang saya namun sebagai anak jati daerah Pitas sudah menjadi tanggungjawab untuk setidaknya menyampaikan apa yang patut kepada pihak yang berkenaan. 
Baca selengkapnya

Pekan Paitan Sabah bakal berubah wajah

PAITAN (BELURAN): Pekan Paitan, sebuah pekan kecil yang terletak di antara Beluran dan Pitas di tengah-tengah Sabah, akan berubah wajah apabila sebuah pekan baru siap kelak.

Demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di sini kelmarin.

Berucap melancarkan Tamu Pekan Paitan di sini, beliau berkata bahawa Kementerian beliau melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah memperuntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menyediakan tapak untuk pekan baru tersebut.

Agensi-agensi lain kerajaan seperti SEDCOVEST, iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco) turut memainkan peranan dalam usaha ini. Sebagai permulaan, SEDCOVEST telah pun membina sederet kedai satu tingkat di situ.

Kerajaan Negeri juga telah membina sebuah bangunan untuk menampung Pejabat Daerah Kecil Paitan. Jabatan dan agensi kerajaan relevan yang lain juga akan membuka pejabat cawangan di situ secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.

Paitan merupakan sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Beluran yang terletak tidak jauh dari Sandakan di Pantai Timur Sabah.

Hajiji yang merupakan menteri bertanggungjawab ke atas LPPB berkata pembukaan pekan-pekan baru adalah sejajar dengan matlamat penubuhan LPPB iaitu selain membina rumah-rumah mampu milik, juga membuka pusat-pusat pertumbuhan baru di tempat-tempat yang sebelum ini dianggap jauh atau terpencil melalui pembinaan pekan baru.

“Dalam hubungan ini, Paitan amatlah sesuai untuk tujuan pusat pertumbuhan ekonomi baru ini memandangkan ianya dikelilingi oleh ladang-ladang kelapa sawit dan lain-lain hasil tanaman atau pertanian,” katanya, sambil menambah bahawa tahun ini sahaja beliau telah melawat tapak bagi pekan-pekan baru di Pulau Banggi dan Sipitang selain Paitan.

Berhubung Tamu tersebut, Hajiji menekankan bahwa aktiviti bulanan itu amatlah kena tempat dan masanya kerana tamu yang diadakan setiap 10 dan 11 hari bulan membolehkan para petani membawa dan menjual hasil tanaman mereka sekali gus meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Beliau memuji usaha Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sugut, Datuk James Ratib yang mencetuskan idea untuk tamu bulanan tersebut, sambil memperhatikan bahawa James telah berjanji untuk berada di tamu itu setiap bulan untuk menemui rakyat kecuali ada perkara yang tidak dapat dielakkan.

Hajiji juga meminta rakyat supaya tidak memperkecil-kecilkan peranan atau fungsi tamu kerana sejak dahulu ia adalah tempat rakyat bertemu dan bertukar fikiran selain menjual hasil tanaman atau tangkapan.

“Kalau dulu-dulu seperti waktu Bristih atau pasca-merdeka, sedangkan Mahkamah Anak Negeri akan bersidang semasa tamu,” tambah beliau.

Terlebih dahulu, James dalam ucapannya memohon kepada kerajaan supaya banyak memantau Paitan yang beliau sifatkan sebagai salah sebuah daerah yang termiskin di Sabah dimana rakyat kebanyakan hanya memakan gaji dengan ladang-ladang kelapa sawit.

“Dari segi bekalan letrik dan air bersih yang dinikmati oleh penduduk Paitan hanyalah satu digit dari segi peratus; jangan cerita perkara lain seperti telefon dan internet,” ujar beliau, sambil menambah bahawa sedangkan saiz Daerah Kecil Paitan adalah sebesar sebuah negeri kecil manakala saiz Daerah Beluran adalah sebesar sebuah daerah besar di Semenanjung.

James yang juga Pengerusi SEDCOVEST juga memohon supaya Pentas Rakyat Terbuka dan Dewan Masyarakat diperbesarkan atau diperbaiki. Hajiji menjawab bahawa perkara itu akan dikaji dan peruntukan akan dicari.

Selain James, turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Matius Sator; Pengurus Besar LPPB, Hajah Rosnani Hj Asmat; Setiausaha Poliik kepada Hajiji, Kassim Razali dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Mursidi Sapie dan Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman.

SABAHTIMES
Baca selengkapnya