13 Jun 2014

Pekan Paitan Sabah bakal berubah wajah

PAITAN (BELURAN): Pekan Paitan, sebuah pekan kecil yang terletak di antara Beluran dan Pitas di tengah-tengah Sabah, akan berubah wajah apabila sebuah pekan baru siap kelak.

Demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di sini kelmarin.

Berucap melancarkan Tamu Pekan Paitan di sini, beliau berkata bahawa Kementerian beliau melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah memperuntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menyediakan tapak untuk pekan baru tersebut.

Agensi-agensi lain kerajaan seperti SEDCOVEST, iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco) turut memainkan peranan dalam usaha ini. Sebagai permulaan, SEDCOVEST telah pun membina sederet kedai satu tingkat di situ.

Kerajaan Negeri juga telah membina sebuah bangunan untuk menampung Pejabat Daerah Kecil Paitan. Jabatan dan agensi kerajaan relevan yang lain juga akan membuka pejabat cawangan di situ secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.

Paitan merupakan sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Beluran yang terletak tidak jauh dari Sandakan di Pantai Timur Sabah.

Hajiji yang merupakan menteri bertanggungjawab ke atas LPPB berkata pembukaan pekan-pekan baru adalah sejajar dengan matlamat penubuhan LPPB iaitu selain membina rumah-rumah mampu milik, juga membuka pusat-pusat pertumbuhan baru di tempat-tempat yang sebelum ini dianggap jauh atau terpencil melalui pembinaan pekan baru.

“Dalam hubungan ini, Paitan amatlah sesuai untuk tujuan pusat pertumbuhan ekonomi baru ini memandangkan ianya dikelilingi oleh ladang-ladang kelapa sawit dan lain-lain hasil tanaman atau pertanian,” katanya, sambil menambah bahawa tahun ini sahaja beliau telah melawat tapak bagi pekan-pekan baru di Pulau Banggi dan Sipitang selain Paitan.

Berhubung Tamu tersebut, Hajiji menekankan bahwa aktiviti bulanan itu amatlah kena tempat dan masanya kerana tamu yang diadakan setiap 10 dan 11 hari bulan membolehkan para petani membawa dan menjual hasil tanaman mereka sekali gus meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Beliau memuji usaha Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sugut, Datuk James Ratib yang mencetuskan idea untuk tamu bulanan tersebut, sambil memperhatikan bahawa James telah berjanji untuk berada di tamu itu setiap bulan untuk menemui rakyat kecuali ada perkara yang tidak dapat dielakkan.

Hajiji juga meminta rakyat supaya tidak memperkecil-kecilkan peranan atau fungsi tamu kerana sejak dahulu ia adalah tempat rakyat bertemu dan bertukar fikiran selain menjual hasil tanaman atau tangkapan.

“Kalau dulu-dulu seperti waktu Bristih atau pasca-merdeka, sedangkan Mahkamah Anak Negeri akan bersidang semasa tamu,” tambah beliau.

Terlebih dahulu, James dalam ucapannya memohon kepada kerajaan supaya banyak memantau Paitan yang beliau sifatkan sebagai salah sebuah daerah yang termiskin di Sabah dimana rakyat kebanyakan hanya memakan gaji dengan ladang-ladang kelapa sawit.

“Dari segi bekalan letrik dan air bersih yang dinikmati oleh penduduk Paitan hanyalah satu digit dari segi peratus; jangan cerita perkara lain seperti telefon dan internet,” ujar beliau, sambil menambah bahawa sedangkan saiz Daerah Kecil Paitan adalah sebesar sebuah negeri kecil manakala saiz Daerah Beluran adalah sebesar sebuah daerah besar di Semenanjung.

James yang juga Pengerusi SEDCOVEST juga memohon supaya Pentas Rakyat Terbuka dan Dewan Masyarakat diperbesarkan atau diperbaiki. Hajiji menjawab bahawa perkara itu akan dikaji dan peruntukan akan dicari.

Selain James, turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Matius Sator; Pengurus Besar LPPB, Hajah Rosnani Hj Asmat; Setiausaha Poliik kepada Hajiji, Kassim Razali dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Mursidi Sapie dan Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman.

SABAHTIMES

Bagikan

Jangan lewatkan

Pekan Paitan Sabah bakal berubah wajah
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"