Ketika saya berkongsi artikel ini saya masih mempunyai kedua orang tua
Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Sesungguhnya kita semua sudah mengetahui bahawa syurga itu di tapak kaki ibu, tapi sejauh manakah kita menjaga syurga kita dalam hidup kita?
Ayah yang membanting tulang empat keratnya untuk membesarkan kita sehingga kita berjaya menjadi manusia yang bekerjaya di dunia ini. Apa balasan kita terhadap pengorbanannya?
Terbayarkah kita setiap keringat yang di keluarkan oleh ayah untuk melihat kita berjaya?
Hargailah ibu dan ayah selayaknya. Balaslah setiap pengorbanan mereka dengan kasih dan sayang kita. Biar setinggi mana pun kejayaan kita hargailah mereka yang berkorban untuk kita.
Bagaimana anda menghargai ibu dan ayah anda ? Hanya Mahu Berkongsi..
- Lemah-Lembut Semasa Berbicara
Apabila manusia semakin berumur mereka lebih sensitif dalam setiap perkara. Lidah umpama pisau yang tajam menghiris setiap hati manusia dengan kata-kata. Pastikan setiap bicara kita lemah-lembut apabila berhadapan dengan ibu dan ayah kita yang semakin berusia.
- Menggembirakan Hati Mereka
Semasa kecil, ibu dan ayah sentiasa memenuhi permintaan kita dengan harapan kita gembira. Balaslah jasa mereka dengan menggembirakan hati mereka. Tidak perlu duit beribu ringgit cukuplah kita prihatin dengan keperluan mereka. Gembira di sini terlalu banyak konteks yang boleh dibincangkan. Secara mudahnya, sekalipun tidak dapat memberi kesenangan kepada mereka, Janganlah menyusahkan mereka.
- Mendoakan Ibu Bapa
Doa merupakan senjata orang mukmin. Biar jauh beribu batu tapi jangan lupa mendoakan kesejahteraan mereka dunia dan akhirat. Doa juga pengikat kasih sayang antara ibu, ayah dan anak-anak. Ibu bapa bukannya mahukan wang ringgit, mereka cuba mahukan perhatian. Jika kita tidak dapat melihat mereka selalu, hantarkan doa pada mereka pada bila-bila masa. Lebih afdal, setiap kali selepas solat, titipkan doa untuk mereka.
- Hubungi Mereka Walau Di mana Kita Berada
Hubungilah ibu dan ayah anda sekerap yang mungkin. Mengambil berat tentang mereka adalah tanggungjawab setiap anak. Gunakan kemudahan teknologi yang ada sekarang untuk menghubungi mereka. Hargailah ibu dan ayah anda. Tanpa mereka siapalah kita. Cintailah mereka tanpa syarat, kerana kelahiranmu di dalam hidup mereka juga tidak bersyarat. Berkat kehidupan kita dengan redhanya kedua ibu bapa kita.
- Hargai Mereka Pada Hari Lahir Kita
Biasanya, ramai orang menyambut ‘birthday’ dengan kawan-kawan. Jarang kita dengar ada yang hubungi ibu yang melahirkan kita. Ramai yang berseronok dengan kawan-kawan sehingga melupakan orang yang meraung kesakitan ketika melahirkan kita. Percayalah, setiap ibu akan menunggu anak-anak mengucapkan “Terima kasih mak” pada hari lahir anak-anaknya.
- Peluk Dan Cium Ibu Bapa Selalu
Semakin mereka bertambah usia, semakin sensitif. Mahupun luaran tidak menunjukkan mereka ingin dipeluk dan disayang, ibu-bapa mahukan kasih sayang anak-anak yang semakin menjauh. Rumah yang pada masa dahulu penuh dengan hilai tawa, semakin suram. Anak-anak yang jarang melawat membuat mereka semakin terasa keseorangan. Pelukan dari cucu tidak sama dengan pelukan anak sendiri. Anda rasa sebak bila memeluk orang yang bertanggungjawab melahirkan kita.
- Bawa Mereka Melawat Saudara Mara Dan Kawan Lama
Usah ingat mereka tidak mahu melihat dunia luar. Jangan salah tafsir di sini. Mereka bukannya mahu di bawa ke Ranau atau Pulau Mabul untuk bercuti hujung minggu atau semasa musim cuti sekolah. Bagi mereka, itu sudah lama berlalu. Jauh di sudut hati mereka, ibu-bapa mengharapkan anak-anak membawa mereka melawat saudara mara yang sudah lama tidak ketemu. Mereka ingin mengimbau tempat mereka membesar, sekolah mereka belajar dan tempat mereka mula-mula memulakan kehidupan sebelum kelahiran mereka. Permintaan ini jarang dizahirkan oleh mereka. Semoga anak-anak lebih memahami kehendak ibu-bapa ini.
BONUS : Sekiranya berkemampuan hantarlah kedua orang tua ke tanah suci Makkah untuk menunaikan umrah.
Kesimpulan : Semakin kita menginjak usia, semakin lembut hati ibu-bapa kita. Dahulunya garang, sekarang tidak lagi. Kita pasti terasa kelainan kerana layanan mereka pada cucu tidak sama dengan layanan mereka pada kita sewaktu kecil. Sungguh, hati mereka cuma mahukan kebahagiaan. Sekarang, tugas anak-anak membalas jasa ibu-bapa. Selagi hayat dikandung badan, gembirakanlah mereka. Semoga kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.
VIDEO [ KASIH IBU ]
Bagikan
KONGSI Panduan Menghargai Ibu Bapa
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"