Mitos dan Lagenda
Negeri Sabah
Sabah
Suku Kaum Sabah
Pengait (HeadHunter) | Negeri Sabah
Pernahkah anda mendengar tentang Pengait ? Suatu Masa dahulu tengkorak manusia juga dikaitkan dengan cerita " pengait " atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai " head hunter " satu panggilan kepada pemburu kepala manusia untuk dijadikan berian kahwin ataupun sebagai tanda kepahlawanan.
Kesahihan cerita pengait ini sukar dipastikan kerana tidak ada bukti kukuh tentangnya, mungkinkah itu hanya sebagai lagenda ataupun cuma sebagai cerita di antara cerita-cerita penglipurlara semata-mata.
Cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu kini kian tenggelam ditelan zaman, cerita " pengait " dan kisah-kisah pemburu kepala jarang kedengaran lagi di mana-mana di negeri ini.
Cerita " Pengait " pada zaman dahulu telah diakui sebagai budaya kuno yang pernah diamalkan di oleh suku kaum Rungus walaupun tidak sehebat cerita kaum Murut di Sabah pada abad ke-16 hingga ke-17. Ramai yang percaya dengan sumber-sumber daripada cerita lisan itu yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, malah pada zaman moden inipun ada yang masih percaya dengan cerita pengambilan kepala manusia konon untuk tujuan membayar tebusan kepada penunggu di tempat diadakan pembangunan, terutama sekali jambatan.
Kononnya pada zaman dahulu kegiatan memburu kepala dilakukan untuk dijadikan bukti kegagahan seseorang lelaki ataupun dijadiakan berian kahwin. Kononnya seorang lelaki tidak akan dapat memiliki isteri sekiranya ia gagal menyumbangkan sekurang-kurangnya satu kepala manusia yang dia penggal sendiri.
Namun pada hakikatnya fakta kajian telah menyatakan, perolehan tengkorak manusia sebenarnya dikatakan hasil dari usaha mempertahankan diri, si gagah menang dalam pertempuran setelah berjaya mempertahankan diri ataupun berjaya membalas dendam. Kegiatan ini kononnya pernah berlaku di kalangan suku kaum Murut dan ia dipercayai pernah menular kepada masyarakat Momogun Rungus .
Pada kira-kira abad ke-17 hingga abad ke-18 masyarakat Momogun dan Murut masih lagi mempunyai kepercayaan bahawa tengkorak manusia boleh membawa kebaikan kepada mereka lalu menggantung beberapa tengkorak manusia di atas Tangkob. Tangkob ialah peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira 3 hingga 4 kaki. Kepercayaan ini telah menyerap sebagai salah satu budaya dan kepercayaan yang abadi di kalangan suku kaum tersebut.
Tangkob diperbuat daripada kulit kayu digunakan sebagai tempat menyimpan padi. Ianya terdapat dalam berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tempat ianya disimpan. Tangkob biasanya ditempatkan di sulap Bangkawan, sulap yang mempunyai atap tetapi tidak berdinding.
Bagi mengelakkan semangat padi diganggu dan rezeki pemilik padi akan bertambah maka tengkorak manusia digantung di sebelah atas tangkob bersama-sama beberapa buah kerang gergasi, daun silad kering dan tulang binatang.
Sumber Asal : Blog DJ Kupang
info
Mitos dan Lagenda
Negeri Sabah
Sabah
Suku Kaum Sabah
Mitos dan Lagenda Nunuk Ragang | Negeri Sabah
Diceritakan orang bahawa, pada
zaman dahulu kononnya ada sepohon pokok kayu ara yang besar dan luar
biasa keadaannya tumbuh dekat dengan sebuah danau yang dalam. Danau itu
letaknya dekat dengan tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias
di daerah Lubuk Sugut, Sandakan. Pokok kayu ara yang disebutkan tadi,
keseluruhannya berwarna merah, termasuk daunnya. Dalam bahasa
orang-orang Dusun atau Kadazan pokok kayu ara itu disebutnya 'Nunuk
Ragang'. 'Nunuk' bererti pokok kayu ara dan 'ragang' bererti merah.
Diceritakan
juga bahawa pada masa itu tempat tersebut belum lagi didiami oleh
manusia. Pada umumnya, kawasan di mana terdapatnya Nunuk Ragang itu
dipenuhi oleh hutan belantara yang hanya didiami oleh binatang-binatang
buas dan liar sahaja. Pada masa itu terdapat seekor ayam jantan yang
sangat besar, kira-kira sebesar seekor kerbau tinggal di situ. Ayam
jantan tersebut dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa. Ikuti
kisah di bawah ini..
Kelahiran manusia
Pada
suatu hari ayam jantan itu mengais-ngais tanah untuk mencari makanan.
Dengan tidak mena-mena terkeluarlah seorang anak muda yang kacak dari
bawah tanah yang dikaisnya itu. Ayam jantan tersebut terus juga
mengais-ngais dan mencakar tanah. Tidak lama kemudian keluar pula
seorang gadis yang sangat jelita. Kedua-dua orang manusia itu diambil
dan dipelihara oleh ayam jantan tersebut. Selang beberapa lama, maka
kedua manusia itu pun dikahwinkan. Hasil perkahwinan itu lahirlah
beberapa orang putera dan puteri. Keturunan mereka ini akhirnya beranak
pinak dan berkembang biak pula, lalu mendiami kawasan yang pada mulanya
tiada berorang itu. Lama kelamaan tempat itu menjadi semakin ramai
penghuninya.Keturunan kedua manusia yang ditemui daripada knisan tanah
oleh ayarn jantan itu disebut sebagai 'Orang-orang Nunuk Ragang' yang
'dipercayai' nenek moyang dan keturunan orang-orang Dusun atau Kadazan
sekarang ini.
Lelaki yang pertama muncul dari bawah
tanah itu dilantik oleh ayam jantan sebagai penghulu di tempat itu. Dia
memerintah dengan adil atas bantuan ayam jantan tersebut. Ayam jantan
itu tinggal di pokok kayu ara merah tadi. Bersama-sama pokok kayu ara
merah tersebut ayam jantan itu menjadi pelindung kepada manusia yang
tinggal di situ. Tempat itu juga akhirnya dinamakan Nunuk Ragang
mengambil sempena nama pokok kayu ara merah yang istimewa itu.Nunak
Ragang dari hari ke hari kian bertambah maju dan penduduknya semakin
ramai. Di sekitarnya terdapat beberapa batang anak sungai dan ini
menjadikannya suatu kawasan pertanian yang subur dan lumayan. Sejak itu,
hiduplah penduduk-penduduk Nunuk Ragang dalam suasana aman dan damai
buat beberapa lama.
Ragang Tie
Menurut
ceritanya, pada suatu masa Nunak Ragang telah 'diserang' dan diganggu
oleh 'Ragang Tie' (tahi merah). Ragang Tie ini tidak dapat digambarkan
keadaannya
yang sebenar. Ia kelihatan seperti air yang mengalir apabila dilihat
dari jauh dan kadang-kadang orang yang melihatnya seolah-olah seperti
manusia sifatnya. Anehnya Ragang Tie itu telah membawa wabak penyakit
kepada sesiapa yang tersentuh dan menyentuhnya, bahkan ia sering membawa
maut. Di samping itu, Ragang Tie juga memusnahkan hasil-hasil tanaman
dan membunuh binatang-binatang ternakan yang terkena padanya.
Oleh
yang demikian, ramailah penduduk di situ yang menderita sakit dan
mati,binatang ternakan dan tanaman pun turut musnah terkena wabak itu.
Hal ini
menjadikan orang-orang Nunuk Ragang berasa amat sedih dan
bimbang. Akhirnya, ramai di antara mereka meninggalkan tempat itu dan
berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat untak didiami. Dengan itu,
berpecah dan 'bersepahlah' mereka ke serata daerah dan kawasan seperti
yang terdapat pada masa ini.
Kehadiran Orang Bawah Tanah
Pada
suatu masa yang lain, tibalah musim menanam padi bagi penduduk Nunuk
Ragang. Pada suatu hari, sedang orang-orang kampung itu sibuk menugal
padi di huma mereka terdengar suara manusia lain memanggil dan datangnya
dari bawah tanah pula. Orang-orang Nunak Ragang berasa hairan bercampur
takut, lalu mereka mengadukan kejadian itu pada penghulu mereka.
Akhirnya mereka mengadakan mesyuarat dan mencapai kata sepakat, lalu
mereka mengorek tanah dari mana terdengarnya suara memanggil itu.
Apabila dikorek, maka terbukalah sebuah lubang bawah tanah yang besar.
Di dalamnya penuh sesak dengan manusia yang kelihatannya bengis-bengis
belaka.
Orang-orang Nunuk Ragang menjadi bertambah
takut lebih-lebih lagi apabila mendengar suara percakapan manusia bawah
tanah itu sangat kuat dan kasar. Kemudian ketua manusia bawah tanah pun
berkata dengan suara yang amat kuat macam halilintar, katanya, "Terima
kasih tuan-tuan ......kerana melepaskan kami dan tempat ini sungguh baik
rasanya untuk kami kerana kami sudah lama berkurung di bawah tanah.
Sekarang kami mahu tinggal di sini pula. Kamu mestilah pergi dari sini
kalau tidak kami akan musnahkan kamu semua!........."
Mendengar
amaran manusia dari bawah tanah itu, maka orang Nunuk Ragang pun lari
bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Peristiwa ini juga
menyebabkan orang-orang Nunuk Ragang berpindah dari tempat asal mereka,
lalu mendiami daerah-daerah lain di Sabah. Dua peristiwa di atas adalah
daripada dua cerita yang berlainan yang menyatakan sebab orang-orang
Nunuk Ragang berpindah dari tempat asalnya.
Kumpulan
manusia dari bawah tanah itu pun mendiami kawasan yang telah
ditinggalkan oleh orang Nunuk Ragang. Namun begitu, manusia bawah tanah
masih percaya bahawa ayam sakti dan penghulu orang Nunuk Ragang masih
ada. Mereka akan membalas dendam terhadap mereka bila-bila rnasa, jadi
manusia bawah tanah terus berazam untuk menghapuskan kedua-duanya yang
dianggap sebagai musuh mereka. Orang-orang Nunuk Ragang bersama penghulu
dan ayam jantan saktinya sentiasa diburu oleh manusia bawah tanah itu.
Setelah
beberapa lama manusia bawah tanah masih juga tidak berjaya menghapuskan
penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Akhirnya manusia
bawah tanah itu pun tinggal menetap di sekitar kawasan tersebut yang
sekarang ini dikenali sebagai orang Tampias, mereka terdapat di
kawasan-kawasan perkampungan di daerah Labuk Sugut, Sandakan.
Diceritakan orang juga bahawa orang-orang Tampias itu hingga ke hari ini
tidak begitu berbaik-baik dengan orang-orang Dusun/Kadazan yang berasal
daripada orang-orang Nunuk Ragang.
Manusia bawah tanah
itu menurut ceritanya adalah manusia biasa tetapi telah disumpah oleh
dewa tanah kerana terlalu banyak membuat kerosakan di muka bumi lalu
mereka dihantar mendiami kawasan lubang yang besar di bawah tanah. Di
sanalah mereka hidup dan beranak-pinak beberapa lama sehingga mereka
dikeluarkan oleh orang Nunuk Ragang.
Perpindahan Suku Kaum Kadazan/Dusun ke Merata Tempat
Perasaan
marah dan dendam manusia bawah tanah tidak habis-habis terhadap
penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Perkara ini
membuatkan ayam jantan sakti menerbangkan penghulu tersebut jauh ke
suatu kawasan pergunungan yang sekarang ini dikenali sebagai Ranau.
Dengan kuasa sakti ayam jantan tersebut, ia meratakan tanah yang
berlumpur itu dengan kaki dan kepakuya, menguis-nguiskannya sehingga
tempat itu menjadi rata untak didiami. Oleh kerana kawasan itu berlumpur
dan mengambil sempena keadaan asalnya, maka tempat itu pun
dinamakan 'Ranau' yang bermaksud 'lumpur' dalam bahasa Dusun/Kadazan.
Setelah
tanah di situ diratakan, maka orang-orang yang mengikut penghulu
berpindah itu pun terus membuka tempat kediaman di situ. Mereka
menumpukan kegiatan dengan bercucuk tanam dan memelihara binatang
ternakan seperti ayam,
itik dan babi.
Adapun
manusia bawah tanah tadi masih terus berasa tidak senang dan khuatir
kalau-kalau orang-orang Nunuk Ragang datang menuntut bela dan menyerang
mereka. Lalu orang dari bawah tanah menyiasat dan akhirnya mereka
mendapat tahu bahawa orang-orang Nunuk Ragang berada di Ranau. Maka,
mereka pun bergerak pula ke sana untuk membinasakan orang-orang Nunuk
Ragang ini. Kedatangan manusia bawah tanah ini telah dapat dikesan oleh
ayam jantan sakti, lalu sebelum sempat mereka tiba ke Ranau, ayam jantan
sakti telah pun menerbangkan penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain
bersama pengikutnya dan tempat itu kemudiannya dikenali sebagai
Tambunan.
Di tempat baru itu seperti juga sebelumnya
ayan jantan sakti tadi membantu penghulunya dengan menguis-nguis dan
meratakan tanah untuk dijadikan kawasan tempat tinggal orang-orang Nunuk
Ragang. Hal ini diketahui juga akhirnya oleh manusia dari bawah tanah
dan mereka menjadi semakin marah terhadap orang Nunuk Ragang,
lebih-lebih lagi terhadap ayam jantan sakti itu dan mereka terus berazam
untak menghapuskannya.
Seperti kebiasaan perangai ayam
jantan setiap pagi ia akan berkokok, begitu juga ayam jantan sakti ini.
Bunyi kokokannya pula amat kuat hingga terdengar ke Ranau dan
tempat-tempat lain yang agak jauh dari tempatnya berkokok itu. Menurut
ceritanya, bunyi kokokan ayam jantan inilah yang membolehkan manusia
dari bawah tanah itu menjejak kedudukan ayam tersebut dan penghulu Nunuk
Ragang. Lalu kumpulan manusia dari bawah tanah itu bergerak pula ke
Tambunan. Seperti dahulu juga ayam jantan sakti itu telah mengetahui
kedatangan mereka lebih awal dan terus menerbangkan penghulu itu ke satu
tempat lain bernama Apin-apin. Di situ mereka membuka pula tempat
kediaman yang baru.
Oleh kerana manusia dari bawah
tanah tadi hanya mendendami penghulu Nunuk Ragang dan ayam jantan
saktinya sahaja, maka hanya sebahagian sahaja manusia bawah tanah yang
ikut memburunya. Sementara yang lainnya terus tinggal menetap di
tempat-tempat yang telah dibuka oleh ayam jantan dan orang-orang Nunuk
Ragang itu.
Disebabkan penghulu Nunuk Ragang tidak
lama mendiami Tambunan kemudian terpaksa berpindah ke Apin-apin, maka
dia melantik seorang penolongnya yang bernama 'Gombunan' sebagai ketua
orang-orang Nunuk Ragang yang menetap di situ. Maka nama Tambunan adalah
mengambil sempena nama ketua mereka yang dilantik oleh penghulu tadi.
Lagipun tempat baru (Tambunan) itu belum mendapat namanya lagi pada
ketika itu.
Di Apin-apin, seperti
tempat-tempat lain yang dibukanya sebelum itu, penghulu Nunuk Ragang dan
ayam jantan saktinya tidak dapat tinggal lama kerana manusia dari bawah
tanah terus mengesannya. Seperti biasa, ayam jantan sakti tadi
menerbangkan pula penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain yang lebih
jauh di kawasan pedalaman yang kemudiannya disebut sebagai Keningau.
Seperti selalunya ayam jantan itu meratakan kawasan tersebut untuk
dibuat tempat kediaman. Di tempat tersebut ketika itu banyak terdapat
pokok 'kayu manis', maka tempat itu lalu dinamakan 'Keningau' dalam
bahasa Dusun/ Kadazan yang bererti 'kayu manis'.
Kematian Penghulu & Ayam Jantan Sakti
Tidak
berapa lama di Keningau ayam jantan sakti itu pun jatuh sakit dan terus
menemui ajalnya kerana sudah tua lalu ditanamkan di suatu tempat di
situ. Selang tidak berapa lama kemudian, penghulu Nunuk Ragang pula
menghembuskan nafas juga kerana penyakit tua. Dengan kematian kedua-dua
makhluk yang sentiasa diburu oleh manusia dari bawah tanah itu, maka
mereka pun berhentilah memburu dan memusuhi orang-orang Nunuk Ragang.
Kematian
ayam jantan sakti dan penghulu orang-orang Nunuk Ragang itu menyebabkan
orang-orangnya merasakan sesuatu yang berharga telah hilang daripada
mereka. Ini merupakan satu kehilangan yang amat besar buat mereka.
Sesungguhnya ayam jantan sakti amat banyak jasanya kepada suku kaum
Momogun dalam membuka beberapa kawasan tempat kediaman mereka. Jika
diperhatikan, (malah hingga ke hari ini) kebanyakan tempat yang didiami
oleh orang-orang Momogun ( Dusun/Kadazan) adalah di kawasan bukit dan
pergunungan yang seakan-akan telah diratakan. Orang-orang Momogun
khususnya kaum Rungus mempercayai akan kisah ini.
Pokok
Nunuk Ragang yang ditinggalkan oleh orang-orang Momogun berdekatan
dengan danau itu dikatakan telah ditebang dan dimusnahkan oleh manusia
dari bawah tanah yang dipercayai sekarang ini sebagai nenek moyang orang
Tampias di Sabah.
Sumber Asal :
SABAH