28 Jun 2014

Berita Terkini : Kes Pembunuhan Pegawai Ambank

SHAH ALAM 27 Jun - Seorang bekas penyelia stor senjata api secara tiba-tiba tidak sedarkan diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas pengawal keselamatan AmBank Subang Jaya, La Ode Ardi Rasila yang didakwa membunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib, tahun lalu.

Mohamad Rahli Mohamed, 37, yang pernah bertugas di syarikat pengawal keselamatan Prima Kawalan Sdn. Bhd. itu dilihat mengalami kejang otot sebelum tidak sedarkan diri.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menaiki ambulans sebelum mahkamah berhenti bersidang seketika.

Dalam kes itu, La Ode, 37, didakwa membunuh Norazita, 37, di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati.

Terdahulu, Mohamad Rahli yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 memberitahu, dia yang mengeluarkan senjata api jenis pump gun yang digunakan oleh La Ode dalam kejadian pembunuhan dan rompakan itu.

Menurutnya, dia mengeluarkan pump gun serta peluru pada pagi 22 Oktober 2013 dan menyerahkan kepada penyelia operasi Kawalan Prima, Mannan Kadil untuk diserahkan kepada pengawal keselamatan tetap AmBank itu, Mohd. Sikkdar Abdullah.

Bagaimanapun, dia difahamkan, Mannan tidak sempat mengambil kembali senjata api itu pada petang hari yang sama dan mengarahkan Mohd. Sikkdar menyimpan pump gun tersebut di dalam bank.

"Keesokan harinya, Ardi (La Ode) menggantikan Mohd. Sikkdar yang bercuti sakit, jadi saya tidak mengeluarkan senjata lain untuk Ardi dan meminta dia menggunakan senjata di dalam bank itu," katanya dalam keterangan bertulis.

Saksi itu turut mengakui mengenali La Ode dan pernah berjumpa lelaki itu dan pengawal keselamatan lain ketika pergi latihan menembak di Lapang Sasar Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada 29 September 2013.

Dia juga mendakwa, di kem tersebut, dia nampak La Ode melakukan latihan menembak.

Ketika soal balas oleh peguam S. Selvi yang mewakili La Ode, saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tertuduh tidak menembak ketika latihan tersebut kerana takut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 9 Julai ini.

Utusan Malaysia -djkupang.com

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Terkini : Kes Pembunuhan Pegawai Ambank
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"