21 Jun 2014

Berita Semasa : Berita Muhyiddin Yassin Letak Jawatan Hanyalah Khabar Angin - Najib

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan media sosial bahawa timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur daripada kabinet hanyalah ‘rekaan politik’ pihak tertentu.

Najib berkata ini kerana beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan timbalannya itu.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa mendukung dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkait dengan rancangan transformasi negara yang dibawa saya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Najib berkata sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula, Muhyiddin sentiasa bersama-sama dalam segala usaha memperkukuh dan memantapkan perjuangan Umno dan BN dan ini merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak perlu dilakukan antara beliau dan Muhyiddin.

“Dengan adanya hubungan dan persefahaman yang amat baik di antara saya dengan Muhyiddin, saya yakin kita dapat menghadapi segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan BN,” katanya.

Laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno.

Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun semalam, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung kedudukannya itu. — BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Semasa : Berita Muhyiddin Yassin Letak Jawatan Hanyalah Khabar Angin - Najib
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"