Showing posts with label breaking news. Show all posts
Showing posts with label breaking news. Show all posts

15 Jul 2014

MISTERI MH370 : Akhirnya Kakak Kandung Kapten Zaharie Buka Mulut

MISTERI MH370 : Akhirnya Kakak Kandung Kapten Zaharie Buka Mulut

SINGAPURA - Kakak kandung juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, akhirnya tampil ke hadapan demi mempertahankan adiknya dari terus didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas kehilangan pesawat tersebut.

Sakinah Ahmad Shah yang selama ini memilih langkah untuk berdiam diri dengan segala dakwaan dan spekulasi mengaitkan Zaharie dengan kehilangan MH370 memilih untuk bersuara menerusi satu temubual dalam program ‘The Mystery of MH370’ bersama sebuah rancangan televisyen NewsAsia Channel.

“Individu yang merancang semua ini mestilah seorang yang cerdik dan bersifat 'Einstein'. Tak akan ada individu yang sanggup memanjangkan masa penerbangan sehingga empat, lima atau enam jam hanya untuk melakukan misi bunuh diri.

“Dia (Zaharie) hanya seorang lelaki yang terlalu meminati dunia penerbangan, dia banyak menghabiskan masa dan duit dengan membeli model-model kapal terbang.

"Kalau boleh, dia mahu pasang sayap pada badannya dan terbang. Itu menunjukkan bahawa dia terlalu meminati dunia penerbangan,” katanya menerusi temubual tersebut.

Persoalan demi persoalan mula dibangkitkan sejak kehilangan MH370 menjadi sebuah misteri sehingga membabitkan kerjasama dan siasatan yang melibatkan 26 buah negara berbeza.

Juruterbang pesawat tersebut, Zaharie turut menjadi suspek utama bagi insiden kehilangan kapal terbang itu.

MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapalnya hilang sejak 8 Mac lalu dan usaha bagi mengesan pesawat tersebut masih dijalankan sehingga kini. Sumber : Sudut Pandangan Anda
Baca selengkapnya

10 Jul 2014

GEMPAR : Kononnya Berlaku Rompakan Bersenjata Di Kingfisher, Kota Kinabalu

GEMPAR : Kononnya Berlaku Rompakan Bersenjata Di Kingfisher, Kota Kinabalu

Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang kesahihan khabar angin kononnya berlaku rompakan bersenjata  di Kingfisher, Kota Kinabalu pada hari ini 10 Julai 2014 yang disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter sehingga mengundang pelbagai andaian dan persoalan mengenai keselamatan orang awam di Sabah.

Sekeping gambar yang dimuatnaik di laman sosial iaitu selaras "machine gun" kemudian menyatakan bahawa berlaku satu rompakan dan rampasan senjata berlaku. Menurut "SUMBER" dari DJK KREW kejadian tersebut adalah TIDAK BENAR.

Menurut "SUMBER" kejadian sebenar adalah ketika pihak polis melakukan sekatan jalanaraya di sekitar kawasan Kingfisher, seorang anggota polis yang menggunakan "machine gun" telah meletak senjata tersebut ketika sedang bertelefon. Kemudian seseorang telah mengambil gambar kemudian menyebarkan kononnya berlaku rompakan dan rampasan senjata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Jauteh Dikun ketika dihubungi "sumber" memberitahu kejadian tersebut adalah TIDAK BENAR. -djkupang.com

Gambar Asal yang dikongsi di Facebook untuk mendapatkan INFO.
Gambar di atas selepas krew djk membuat perbandingan gambar tersebut
KONGSIKAN AGAR TIDAK TIMBUL LAGI RASA TAKUT TERUTAMA MEREKA YANG TINGGAL DI SEKITAR KINGFISHER. Walaubagaimanapun sentiasa berwaspada kerana malang tidak berbau. -djkupang.com
Baca selengkapnya

9 Jul 2014

Berita Terkini : Suri Rumah Kerugian RM30,000 Selepas di Beg Tangannya Dicuri Ketika Tarawih

Suri Rumah Kerugian RM30,000 Selepas di Beg Tangannya Dicuri Ketika Tarawih


SEGAMAT - Seorang suri rumah yang tinggal di Jalan Muar, dekat sini, kerugian kira-kira RM30,000 apabila beg tangan yang dibawanya ke masjid untuk menunaikan solat tarawih dicuri.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam kelmarin, suri rumah berkenaan yang hanya ingin dikenali Idah, 50an, berkata, sepanjang Ramadan ini, dia dan suaminya sering solat berjemaah dan bertarawih di sebuah masjid di Jalan Muar, di sini.

“Saya sedar beg tangan saya tidak ada selepas selesai menunaikan solat tarawih kira-kira pukul 10.15 malam dan ketika itu ramai juga jemaah wanita yang datang. Beg tersebut saya letakkan di hadapan saf wanita.

“Di dalam beg tersebut ada barang kemas dan wang tunai milik saya dan saya risau meninggalkan barangan tersebut di rumah kerana hanya tinggal saya dan suami berdua sahaja di rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia merasakan lebih selamat membawa semua barang kemas dan wang tunai tersebut ke masjid dan tidak menyangka ada individu yang tergamak mencuri di dalam rumah ALLAH ketika jemaah lain sedang beribadah.

Akibat kejadian tersebut, dia kehilangan barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher, loket emas, kunci rumah, dokumen-dokumen penting seperti identiti pengenalan diri dan kad bank.

“Jumlah kerugian tersebut saya anggarkan sebanyak RM30,000. Ketika kejadian juga, saya bersolat di saf paling hadapan dan berhampiran pintu ke tempat mengambil air sembahyang dan menjadi kebiasaan jemaah wanita di sini untuk meletakkan beg mereka di hadapan sejadah masing-masing.

“Pada rakaat ke-17 solat tarawih, saya seperti terperasan kelibat manusia melintas di hadapan saya ketika sedang sujud namun tidak menganggap ia sesuatu yang mencurigakan sehinggalah saya menyedari kehilangan beg saya,” katanya.

Bimbang kejadian serupa menimpa jemaah lain, Idah kemudiannya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan reda atas kehilangan beg tangannya itu pada bulan yang mulia ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan juga sedang dijalankan. - SINAR HARIAN
Baca selengkapnya

DUNIA : 28 Terbunuh, 150 Cedera Serangan Israel Ke Atas Gaza

Serangan Israel Ke Atas Gaza

GAZA CITY – Operasi serangan udara berterusan Israel terhadap pejuang Gaza kini mengorbankan 28 orang manakala lebih 150 lagi cedera, lapor pasukan perubatan hari ini.

Ia dianggap serangan berdarah terburuk dalam sehari di semenanjung berkenaan sejak 2012.

Serangan udara yang bermula semalam di Gaza mengorbankan 24 orang, termasuk dua wanita dan lima kanak-kanak manakala askar Israel membunuh empat pejuang Hamas.

Korban nyawa pertama awal pagi ini pula membabitkan enam orang dalam satu keluarga, demikian menurut jurucakap pasukan kecemasan, Ashraf al-Qudra.

Kejadian berlaku apabila serangan bom pesawat Israel mengenai rumah keluarga berkenaan di Beit Hanoun, utara Gaza.

Rumah berkenaan dikatakan milik seorang komander Briged Al-Quds, salah satu sayap Pergerakan Jihad Palestin.

Satu lagi serangan awal hari ini ialah di bandar selatan Rafah yang mengorbankan seorang remaja lelaki. – AFP
Baca selengkapnya

SEMASA : Peniaga Ke Tali Gantung Selepas Bersalah Bunuh Pelancong Di Tioman

Peniaga Ke Tali Gantung Selepas Bersalah Bunuh Pelancong Di Tioman


Seorang pekedai pada Rabu dijatuhi hukuman mati selepas mahkamah mendapati beliau bersalah membunuh seorang pelancong Perancis di sebuah pulau peranginan.

Mendiang Stephanie Foray, 30, hilang di Pulau Tioman, Pahang pada Mei 2011.

Mayat mangsa yang telah separa diawet ditemui kira-kira tiga bulan kemudian dan ditanam di dalam sebuah gua di pulau itu.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas seorang lagi pelancong asing dari Britain, Gareth Huntley hilang di pulau yang sama dalam keadaan yang masih belum ada diketahui puncanya.

Mahkamah di Kuantan mendapati Asni Omar, 39, yang mengendalikan kedai menjual pakaian mandi di pulau itu, bersalah membunuh Foray.

Selepas hukuman mati dijatuhkan, ibu Foray, Irene Mortel, dilihat bangun sambil melihat Asni dan menangis.

“Saya tidak berharap untuk apa-apa lagi. Itu sahaja … Saya tahu ia tidak boleh mengubah apa-apa,” katanya sebagai reaksi kepada keputusan itu sewaktu meninggalkan mahkamah bersama bapa Foray, Joel.

Dalam menyampaikan keputusan itu, hakim Mariana Yahya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, sambil menambah Asni telah “melemahkan pembelaannya sendiri” dengan hanya menyampaikan “cerita yang telah diatur” untuk menafikan kesalahannya.

“Oleh itu saya mendapati defendan bersalah sebagaimana yang dituduh. Terdapat hanya satu hukuman … iaitu mati dengan digantung,” katanya.

Asni, yang duduk di kandang tertuduh dengan rambut dicukur pendek dan memakai baju biru gelap dengan jalur putih dan seluar jeans, dipeluk oleh ahli keluarga yang menangis sebelum dibawa keluar dari mahkamah oleh polis.

Peguam Asni berkata mereka akan merayu hukuman itu.

Asni dituduh membunuh Foray, seorang pekerja perkhidmatan awam Perancis, selepas dia dikatakan menolak cinta Asni.

Pembunuhan Foray mengejutkan ramai orang di negara ini di mana jenayah kekerasan terhadap pelancong jarang berlaku.

Foray tiba di Malaysia pada Mei 2011 selepas berhenti berkerja dan menghabiskan beberapa bulan di India dan Sri Lanka. Mendiang kemudiannya ke Pulau Tioman sebelum hilang.
Baca selengkapnya

Piala Dunia 2014 : Kekalahan 1-7 Rekod Terburuk Brazil Dalam Tempoh 100 Tahun

Piala Dunia 2014 : Kekalahan 1-7 Rekod Terburuk Brazil Dalam Tempoh 100 Tahun

Ketua Pasukan Brazil David Luiz
BELO HORIZONTE: Air mata, kapten Brazil, David Luiz menceritakan segala-galanya. Dia memohon maaf kepada seluruh negara selepas skuad kebangsaan dibelasah Jerman 7-1 dalam saingan separuh akhir di Stadium Mineirao, sebentar tadi. 

“Maaf kepada semua, maaf kepada setiap rakyat Brazil,” kata Luiz yang menangis selepas dia dan rakan sepasukan menanggung aib besar di laman sendiri. 

“Saya hanya mahu melihat semua orang kita senyum. Kami semua bagaimana penting untuk kami melihat semua rakyat Brazil gembira, sekurang-kurangnya untuk bola sepak. 

“Mereka (Jerman) lebih baik daripada kami. Persiapan mereka lebih baik. Mereka bermain lebih baik. 

“Ia satu hari paling sedih tapi ia juga hari untuk belajar sesuatu.” 

Kekalahan 1-7 adalah yang terburuk pernah ditanggung Brazil dalam sejarah 100 tahun bola sepak mereka. - AFP
Baca selengkapnya

8 Jul 2014

Berita Semasa : Lelaki ditemui Mati tergantung

SIBU: Seorang kerani ditemui mati dalam keadaan tergantung di tangga di dalam rumahnya di Jalan Au Yong di sini.

Kejadian ngeri itu hanya disedari jam 11.30 pagi semalam apabila kakaknya yang berusia 71 tahun menghantar makanan kepada mangsa.

Wanita itu terkejut apabila membuka pintu depan dan mendapati adiknya tergantung di bawah tangga.

Dia percaya adiknya berdiri di atas kerusi kecil atas lantai sebelum menggantung dirinya.

Wanita tersebut menghubungi abangnya yang terus menghubungi polis.

Kali terakhir dia melihat mangsa pada waktu petang barubaru ini ketika dia menghantar makanan kepada mangsa.

Dia berkata, adiknya ingin bersendirian dan menyuruh kakaknya membawa pulang makanan yang dibawanya.

Kakaknya terus meletakkan makanan itu di ruang letak kereta sebelum beredar pergi.

Abang mangsa berkata, dia (mangsa) tinggal bersendirian bersama isterinya, seorang guru yang telah bersara berada di Taiwan seminggu lalu bagi menjaga cucu mereka di sana.

Dia telah memaklumkan perkara itu kepada isteri mangsa melalui panggilan telefon.

Abangnya juga berkata, mangsa tinggal di Taiwan selama enam bulan dan mengalami tekanan selepas pulang ke rumahnya di sini sejak Disember lalu.

Mangsa meninggalkan isteri dan anaknya yang masih berada di China bersama tiga anak yang lain.

Abangnya ada menasihati mangsa agar pergi ke gereja untuk bersembahyang apabila keadaan tekanan dihadapi mangsa belum pulih lagi.
Baca selengkapnya

7 Jul 2014

Berita Semasa : AirAsia tergelincir di Lapangan Terbang Brunei

Berita Semasa : AirAsia tergelincir di Lapangan Terbang Brunei

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat AirAsia hari ini tergelincir di landasan Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan, Brunei.

AirAsia, yang mengesahkan perkara itu melalui satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku pada pukul 4 petang.

“Kesemua penumpang dan krew di dalam pesawat itu telah keluar dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan yang dilaporkan.

“Kakitangan perkhidmatan kami sedang kini sedang menjaga keperluan semua penumpang berkenaan.

“Pasukan kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengenal pasti punca kejadian ini, dan AirAsia akan menyediakan maklumat terkini,” kata kenyataan itu.

Pesawat AK278 itu membawa 102 penumpang dan tujuh krew.

Sementara itu, gambar kejadian itu tersebar dengan meluasnya di laman Twitter.
SUMBER : Astro Awani
-djkupang.com
Baca selengkapnya

Memilukan ! Niat Ingin Bantu keluarga, Bapa Pukul Sampai mati

Memilukan ! Niat Ingin Bantu keluarga, Bapa Pukul Sampai mati

ALOR GAJAH: Hanya kerana menyatakan hasrat mahu bekerja untuk membantu keluarga, seorang remaja maut dipukul bapanya dengan sebatang kayu di Kampung Jawa di sini, petang semalam. 

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani,17, dikatakan menyatakan niat berkenaan kepada bapanya yang berusia 52 tahun sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka. 

Ibu mangsa, Siti Habibah Ismail, 38, berkata ketika bertengkar suaminya mengambil sebatang kayu lalu memukul anak sulung daripada 10 beradik itu. 

Beliau berkata, anaknya yang tidak bersekolah itu hanya menyatakan hasrat mahu bekerja bagi mencari wang untuk membeli juadah berbuka puasa. 

"Arwah hanya memberitahu bapanya dia mahu mencari kerja untuk mencari wang bagi membeli juadah berbuka puasa kerana sebelum ini kami sekeluarga hanya mampu menikmati bubur, pisang goreng dan air kosong setiap kali berbuka. 

"Namun, suami tiba-tiba naik berang lalu mengambil sebatang kayu dan memukul anak bertubi-tubi sehingga dia rebah di ruang tamu sebelum saya menariknya masuk ke dalam bilik," katanya ketika ditemui, hari ini. 

Katanya, dia menyedari anaknya itu sudah meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi semalam selepas masuk ke dalam bilik tidur untuk mengejutkan bangun sahur dan mendapati mangsa sudah tidak lagi bernyawa. 
"Saya kemudian menghubungi ambulans dan pemeriksaan mendapati dia (Muhamad Hafiz) sudah meninggal dunia, sebelum laporan dibuat di Balai Polis Alor Gajah," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata suspek kini sedang diburu polis selepas bertindak melarikan diri dari rumah yang disewa sejak dua bulan lalu itu. 

"Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek keras, sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik. 

"Mangsa dipercayai meninggal dunia antara jam 9 malam tadi hingga 4 pagi tadi dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh," katanya.
Baca selengkapnya

6 Jul 2014

Semasa : Iklan ‘Bakal Orang Terkaya Di Dunia’ Akan Diturunkan

Semasa : Iklan ‘Bakal Orang Terkaya Di Dunia’ Akan Diturunkan

PADA Mei lalu, beberapa portal tempatan pernah melaporkan mengenai papan iklan gergasi yang memaparkan wajah seorang lelaki dengan ayat ‘Bakal Orang Terkaya di Dunia – En. Zhang Jian’ di susur masuk dan keluar dari kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang.

Ia menimbulkan tanda tanya siapakah lelaki itu dan apakah motif iklan tersebut?

Menerusi laporan mStar Online [LINK], iklan tersebut sebenarnya mempromosikan perniagaan jualan langsung kumpulan jutawan ‘YSLM’ yang berpusat di China.

Lelaki dalam gambar tersebut juga merupakan warga China yang tinggal di sana.

Terbaru, menerusi laporan The Star [LINK] , rupa-rupanya perniagaan itu sudah diharamkan di negara itu dan Zhang pernah ditahan polis sebanyak lima kali.

Ini kerana, dia dipercayai terlibat dengan penipuan skim cepat kaya yang menyababkan 10,000 orang mengalami kerugian sebanyak RM20 juta.

Khabarnya, mereka yang berminat untuk menjadi jutawan segera hanya perlu membayar RM300 dan bakal mendapat pulangan sehingga RM6,800 sebulan.

Justeru, iklan tersebut bakal diturunkan selepas polis dan Majlis Perbandaran Seberang Perai menerima banyak laporan dan aduan daripada orang ramai yang curiga dengan iklan tersebut.

Khabarnya, pemilik perniagaan tersebut juga telah bersetuju untuk menurunkan iklan itu walaupun permitnya sah sehingga November nanti.
MYNEWSHUB -djkupang.com
Baca selengkapnya

Berita Dunia : Pasangan kembar siam dari Ohio Bakal Cipta Rekod Hidup Paling Lama

Berita Dunia : Pasangan kembar siam dari Ohio Bakal Cipta Rekod Hidup Paling Lama

BEAVERCREEK(Ohio) – Pasangan kembar siam dari Ohio kini menghitung hari untuk dinobatkan sebagai pasangan kembar siam yang hidup paling lama.

Donnie dan Ronnie Galyon akan berusia 62 tahun, lapan bulan dan tujuh hari pada hari ini, sekali gus mengatasi usia Eng dan Chang Bunker, kembar siam terkenal abad ke-19.

Adik pasangan itu, Jim Galyon berkata, kedua-dua abangnya sering bercakap mengenai perkara itu.

Dia sudah merancang untuk mengadakan sambutan paling meriah untuk meraikan kejayaan abangnya itu.

“Mereka sudah sekian lama menghitung hari, termasuk menanda kalendar, untuk meraikan saat bersejarah ini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, apa yang mereka inginkan ialah pengiktirafan daripada Buku Rekod Dunia Guinness dan segala-galanya akan menjadi kenyataan pada bulan Oktober depan apabila mereka berusia 63 tahun, mengatasi rekod pasangan kembar siam yang berasal dari Itali, Giacomo and Giovanni Battista Tocci.
Ronnie ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini berkata, sudah menjadi impian mereka sejak kecil lagi untuk mengatasi rekod berkenaan di samping tidak sabar untuk melihatnya menjadi realiti.

Kembar berkenaan yang bercantum pada bahagian badan kini tinggal bersama adiknya Jim dan isteri di Beavercreek.

Pasangan berkenaan menjaga kedua-dua abangnya sejak empat tahun lalu.

Malah, penduduk tempatan turut sama membantu mengubah suai kediaman untuk memudahkan kehidupan keluarga itu.

Donnie dan Ronnie pernah menyertai pertunjukan sarkas sebelum bersara pada 1991 dan kini banyak menghabiskan masa di atas katil khas.- Agensi
Baca selengkapnya

5 Jul 2014

Semasa : Chong Wei Cedera, Mungkin Terpaksa Tarik Diri Komanwel

PASIR MAS – Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mengetuai skuad badminton negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau menerima berita yang pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan yang menyebabkannya mungkin tidak dapat menyertai skuad negara ke Scotland.

“Saya ada terima berita dari Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin tidak dapat mengizinkan dia bermain di temasya Sukan Komanwel itu,” katanya kepada pemberita sebelum Majlis Pengagihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di sini, Jumaat.

Beliau berkata jika perkara berkenaan disahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan strategi terbaik bagi menggantikan Chong Wei.

“Saya harap BAM akan dapat buat pilihan terbaik untuk menggantikan beliau dan pemain yang lain mestilah menunjukkan prestasi baik untuk menampung kehilangan Chong Wei terutama dalam acara berpasukan.

“Jika perkara ini betul dan disahkan ia merupakan kehilangan besar buat kita sebab kita harapkan beliau untuk dapat satu atau dua pingat emas,” katanya.

Adalah difahamkan pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lepas dan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan.

Adalah dipercayai pihak ISN telah memaklumkan kepada pemain itu bahawa penyertaannya dalam Sukan Komanwel kali ini merupakan ‘keputusan yang tidak bijak’ kerana beliau memerlukan rawatan secara terperinci.

Selepas Sukan Komanwel, Chong Wei juga dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini. – BERNAMA
Baca selengkapnya

Berita Terkini : Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 akibat jangkitan pada paru-paru.

Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Kak Pah dimasukkan ke hospital oleh anaknya, Aliff Omar susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.

Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953.

Namun sejak usia lapan bulan lagi, Kak Pah mula dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.

Datuknya seorang pemandu teksi dan kehidupan mereka keluarga bukanlah senang. Kak Pah sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih.



ADVERTISEMENT




Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.

Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.

Kak Pah menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.
ASTRO AWANI -djkupang.com
Baca selengkapnya

Gambar Kemalangan Maut Kenderaan Perisai Negara

Gambar Kemalangan Maut Kenderaan Perisai Negara

Kuala Kangsar : Dua anggota maut manakala dua lagi cedera apabila kereta perisai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas sebelum terbalik di Kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, 6.40 petang tadi.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada jam 6.46 petang.

"Ketika jentera pertama tiba di lokasi kejadian, anggota penyelamat mendapati sebuah kereta perisai terbalik dan terdapat empat anggota tentera di dalam kenderaan terbabit.

"Seorang anggota tentera terbabit terkorban di tempat kejadian manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan sebelum seorang lagi mangsa meninggal dunia," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, ketika kejadian kenderaan itu gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar konkrit pembahagi lebuh raya sebelum terbalik di bahu kiri jalan.

Menurut sumber, dua anggota yang meninggal dunia dikenali sebagai Sarjan Bayong dan Kpl Fatanah Ismail manakala anggota yang cedera ialah pemandu kereta perisai dikenali sebagai L/kpl Fredy dan Kpl Sharifuddin Abdullah.






Baca selengkapnya

4 Jul 2014

Terkini : Kepala Zulkifli Abd Hir, Warga Malaysia Ditawar RM 16 Juta -FBI

KUALA LUMPUR: Pengganas antarabangsa yang juga rakyat Malaysia, Zulkifli Abd Hir masih belum meninggal dunia.


Dia masih hidup dan menjadi individu paling dikehendaki di dunia dan pengganas yang sukar ditangkap.


Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menawarkan RM16 juta sebagai bayaran untuk mendapatkan kepala Zulkifli dan agensi keselamatan itu meningkatkan operasi mereka dalam menjejaki individu berbahaya ini, terutamanya selepas melihat insiden keganasan di Syria dan Iraq.



Mereka khuatir dengan kebangkitan keganasan berikutan seruan Abu Bakar Baghdadi - kini dianggap sebagai pengganas paling berbahaya di dunia - kepada kumpulan radikal Islam di seluruh dunia untuk bangkit dan berjuang demi negara Islam.



Agensi keselamatan serantau berkata mereka kini sedang meneliti semula pergerakan Zulkifli berikutan insiden di Timur Tengah dan kesannya terhadap Asia Tenggara.



Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mengesahkan Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Marwan masih hidup, walaupun laporan terdahulu mengatakan beliau terbunuh dalam serangan udara pada 2 Februari 2012.



"Kami menyedari laporan yang mengatakan dia terbunuh beberapa tahun lalu. Itu tidak benar. Kami percaya dia masih bersembunyi di selatan Filipina," katanya pada Khamis.



Ayob berkata, pasukannya kini sedang mengesan Marwan dan memantau individu yang rapat dengannya.



Ketika ditanya sama ada Zulkifli mungkin terlibat dalam gerakan kumpulan militan di negara ini dan menghantar pejuang ke Syria dan Iraq, beliau berkata, polis tidak menolak sebarang kemungkinan.

Difahamkan Zulkifli, anak jati Muar, Johor mempunyai seorang isteri di Malaysia tetapi berkahwin dengan tiga warga Filipina sepanjang tempoh persembunyiannya.
Bekas jurutera berusia 48 tahun yang mendapat latihan di AS turut dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang kini aktif di Filipina.


Beliau juga merupakan pakar dalam membuat bom.

Sumber perisikan berkata,  ketua Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) itu dianggap sebagai pembekal bom kepada kumpulan radikal dan juga seorang pelatih kepada ahli kumpulan tersebut.

"Oleh itu penangkapannya amat penting dalam usaha kita memerangi keganasan. Dia adalah sebahagian daripada kumpulan Jemaah Islamiyah yang bertanggungjawab dalam serangan bom di Bali yang menyebabkan 200 orang maut," kata seorang penganalisis.



Adiknya, Rahmat Abdhir, seorang warga AS, kini ditahan di Guantanamo, berikutan penangkapannya di California kerana terlibat dalam konspirasi menyediakan bekalan sokongan kepada pengganas.



Zulkifli, sama seperti ahli KMM yang lain, dilaporkan berlepas ke Afghanistan pada lewat 1980-an untuk menyertai misi menentang Rusia.

Sekembalinya ke Malaysia, Zulkifli menubuhkan KMM bertujuan untuk membentuk negara Islam serantau melalui keganasan.


Ahli KMM dikaitkan dengan pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Dr Joe Fernandez pada 2002, penggeboman di sebuah gereja dan sebuah kuil Hindu serta serangan di balai polis Guar Chempedak pada 4 Februari 2001.



Mereka yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri termasuk pemimpin PAS di peringkat akar umbi iaitu Zainon Ismail, Noorashid Sakid, Ahmad Tajuddin dan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan.
MSTAR ONLINE -djkupang.com
Baca selengkapnya

Akibat Gagal Merasuah Polis, Pemandu 'sign' Lucah

Georgetown: Berang kerana cubaannya merasuah anggota polis tidak dilayan, seorang lelaki bertindak biadab apabila menurunkan tandatangan dengan menulis perkataan lucah pada surat saman dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah, kelmarin.

Anggota polis berkenaan yang bertugas untuk meronda telah menahan kereta berkenaan atas kesalahan tidak berhenti ketika lampu isyarat menyala merah di hadapan Hotel Holiday Inn.

Kereta Chevrolet itu telah ditahan di hadapan cafe I Love U dan anggota berkenaan meminta kad pengenalan serta lesen memandu pemandu terbabit.

Pemandu tersebut kemudian memberikan alasan bahawa dia telah lewat untuk menghantar anak ke sekolah dan mengatakan akan memberi duit kopi.

Ambil duit kopi sudah lah,” katanya.

Biarpun cuba disogok, anggota tersebut enggan menerima rasuah dan terus menulis buku saman.

Ketika buku saman ditulis, pemandu itu terus membebel dan memaki anggota polis trafik berkenaan.

Oh you orang tidak mahu kasi saya peluang you tunggulah tengok nanti saya buat apa. Ok lah u tulis cepat sikit I ada hal penting,” katanya.

Apabila selesa, anggota trafik meminta tandatangan pemandu berkenaan di atas surat saman dan pemandu beredar dalam keadaan marah.

saman


Pemandu tidak bertanggungjawab dan berotak itu sebaliknya menulis perkataan lucah tersebut di ruang tandatangan menyebabkan anggota trafik berkenaan membuat laporan polis berkenaan kejadian itu.

Bagaimana sebenarnya pemandu mahu pihak polis bertugas, adakah dengan penuh integriti, sentiasa memberi peluang dengan melepaskan pesalah trafik atau menerima wang rasuah?
SATUSABAH -djkupang.com
Baca selengkapnya

3 Jul 2014

Lelaki Maut Langgar Lari di Putatan (Lokasi depan one Place Mall)

Penampang: Seorang lelaki yang baru selesai berbuka puasa maut apabila dirempuh kenderaan ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Putatan, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 20-an yang belum dikenal pasti identiti dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. 

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa baru selesai berbuka puasa di Bazar Ramadan pekan Putatan, di sini, dan dalam perjalanan menuju ke perhentian bas di seberang jalan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Meruntum. 

Bagaimanapun ketika melintas jalan tiba-tiba kenderaan jenis pacuan empat roda merempuh mangsa sebelum pemandu kenderaan memecut meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
HMETRO -djkupang.com
Baca selengkapnya

Punca Letupan : Kebakaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya Sabah

Gambar Kampung Pondo, Pulau Gaya
KOTA KINABALU, 3 Julai (Bernama) - Letupan tong gas memasak dipercayai punca kebakaran yang berlaku di sebuah perkampungan atas air di Pulau Gaya dekat sini tengah hari Khamis.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Pulau Gaya Kansi Abdullah, yang berada di rumahnya ketika kejadian, berkata beliau terdengar lima bunyi letupan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K. Ramin berkata 20 hingga 30 rumah membabitkan kawasan seluas seekar di Kampung Pondo, Pulau Gaya musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.48 tengah hari dan sepasukan bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian seminit kemudian.

"Pasukan bomba dan penyelamat menaiki bot polis marin dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.24 tengah hari," katanya.

Beliau berkata api berjaya dipadam sepenuhnya pada 2.05 petang dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.
-djkupang.com
Baca selengkapnya

[Gambar] Berita Terkini Sabah : Kampung Pondo, Pulau Gaya Terbakar dianggarkan 20 buah Rumah Musnah

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 20 rumah atas air Kampung Pondo di Pulau Gaya di perairan ini, musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi.

Asap tebal kelihatan dari tanah besar selain beberapa letupan dipercayai daripada tong gas turut kedengaran. 

Bomba menerima penggilan berhubung kejadian itu jam 12.49 tengah hari dan setakat ini tiada kecederaan atau kematian dilaporkan. 

Pulau Gaya mempunyai beberapa perkampungan atas air dan mengambil kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti berhampiran pasar Kota Kinabalu.
BHARIAN 




Sumber GambarJubinz Kinsil, Sayang Keningau Page
-djkupang.com
Baca selengkapnya

2 Jul 2014

Berita Baik Penjawat Awam Terima RM500 - Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak (gambar) hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta, katanya.

Kerajaan berharap bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut hari lebaran pada hujung bulan ini, katanya. – Bernama, 2 Julai, 2014.

Baca selengkapnya