4 Jul 2014

Semasa : Tukang Simen Warga Asing Maut Dengan Usus Terburai

Tukang Simen Warga Asing Maut Dengan Usus Terburai 

Berita sarawak, warga asing usus terburai
MAUT: Beberapa kakitangan hospital menyorong mayat mangsa untuk dihantar ke rumah mayat sementara menunggu proses bedah siasat. 

MIRI: Seorang tukang simen warga asing maut dengan usus terburai manakala rakannya parah dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang menceroboh bilik tidur mereka dalam kejadian di sebuah banglo yang sedang diubah suai di Jalan Brighton, di sini malam kelmarin.

Si mati dikenali sebagai Sail Mohd berusia lingkungan 20-an, berketurunan Bajau dan berasal dari Filipina.

Dia yang cedera parah di bahagian perut kanan dengan usus terkeluar, disahkan meninggal dunia sebelum tiba di Hospital Miri.

Manakala rakan senegaranya, Ben, 26, juga berketurunan Bajau cedera parah dengan kesan tikaman sepanjang tiga sentimeter di bahagian perut, otot betis kiri terkoyak dan jari kelingking kaki kiri hampir putus.

Menurut sumber, terdapat seorang lagi mangsa dikenali sebagai Saptari, 23, dan berasal dari Indonesia turut mengalami kecederaan ringan di tapak tangan dan dada dalam kejadian tersebut.

Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Miri tengah malam kelmarin oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa ketiga menghilangkan diri kemungkinan takut ditahan polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Bagaimanapun, dia telah pergi semula ke tempat kejadian setelah dihubungi oleh majikannya.

Terdahulu menurut Saptari, sekitar jam 11 malam, 1 Julai lalu ketika ketiga-tiga mereka sedang tidur di sebuah bilik di tingkat bawah banglo berkenaan yang sedang diubah suai, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki tidak dikenali lalu memutuskan bekalan elektrik di rumah berkenaan.

Penceroboh terbabit bertindak menikam dua orang rakannya serta mencederakannya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa tidak mengetahui berapa ramai penceroboh terbabit dan tidak dapat mengecam wajah mereka berikutan keadaan gelap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kes tersebut.

Katanya sekitar jam 12.55 tengah malam kelmarin, polis menerima panggilan telefon daripada Hospital Miri menyatakan dua lelaki warga Filipina telah dihantar ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

“Seorang daripada lelaki terbabit dikenali sebagai Sail Mohd meninggal dunia dengan bahagian usus terkeluar manakala seorang lagi dikenali sebagai Ben cedera dengan kesan tikaman di perut sepanjang tiga sentimeter, otot betis kiri terkoyak dan jari kelingking kaki kiri hampir putus,” katanya.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dengan diketuai pegawai penyiasat ASP Soliment Nyian telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati terdapat banyak kesan darah di sebuah bilik di tingkat bawah banglo berkenaan yang merupakan tempat tidur mangsa dengan keadaan tingkap terbuka kerana masih dalam proses pengubahsuaian.

Selain itu, polis turut merampas sebilah parang yang turut mempunyai kesan darah di bahagian pemegangnya sahaja.

“Motif kejadian masih belum diketahui dan polis akan menjalankan siasatan terperinci daripada segenap aspek untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tiada sebarang barang milik mangsa dilaporkan hilang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga mangsa baharu seminggu bekerja di tempat kejadian.

Bagikan

Jangan lewatkan

Semasa : Tukang Simen Warga Asing Maut Dengan Usus Terburai
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"