4 Jul 2014

Berita Sabah : Menjelang Perayaan Aidilfitri, Pengguna Tak Perlu Panik Bekalan Cukup

KENINGAU: Bekalan gula, tepung dan minyak masak di sini sentiasa ada dan mencukupi untuk musim bulan Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Geoffrey Gumalang, di sini kelmarin.

Katanya, pada masa ini terdapat lebih kurang 7.2 tan gula, tepung 3.67 tan dan minyak masak lebih kurang tiga tan yang dijual di dua pasaraya di daerah ini.

“Kalau pengguna tidak mendapat bekalan ini dari kedai-kedai biasa, mereka boleh mendapatkan dari dua pasar raya, Mee Woo dan Servay di sini,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan ke sebuah pasaraya di sini.

Menurut beliau, pemborong utama di Kota Kinabalu mempunyai bekalan yang mencukupi dan cuma penghantaran ke daerah ini sahaja yang lambat disebabkan masalah pengangkutan.

“Saya sudah menghubungi pejabat KPDNKK di Kota Kinabalu supaya penghantaran bekalan ke Keningau dapat dipercapatkan agar semua kedai di sini mendapat bekalan dan para pengguna mendapat bekalan yang cukup pada musim perayaan Hari Raya yang akan datang,“ katanya.

Geoffrey turut menasihat para peniaga di sini supaya tidak mengambil kesempatan menyorok barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak memandangkan keperluan yang semakin meningkat sehingga ada yang menyorok untuk tujuan mendapatkan harga berlebihan.

“Ini akan menyebabkan para pengguna sanggup membeli pada harga yang tinggi apabila sudah tidak ada bekalan.

“Kalau ada peniaga yang didapati mengambil kesempatan menyorok barang kawalan, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Barang Kawalan dan jika sabit dengan kesalahan pertama mereka boleh didenda RM100,000 dan penjara tidak kurang tiga tahun.

“Dan bagi kesalahan kedua, peniaga yang didapati bersalah di bawah Akta ini boleh didenda RM250,000 dan lima tahun penjara,” katanya.

Selain itu, Geoffrey juga meminta para peniaga meletakkan tanda harga pada barang-barang yang dijual dan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011 sekiranya tidak meletakkan tanda harga.

Beliau meminta para peniaga agar bekerjasama meletakkan tanda harga pada semua jenis barangan termasuk barang kawalan.

“Mereka yang didapati bersalah kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat atau penjara dua tahun,” katanya.

Pada masa sama, Geoffrey turut menasihat pengguna di sini supaya tidak merasa panik kerana bekalan barang sentiasa ada.

Katanya, terdapat pengguna yang merasa bimbang tidak ada bekalan sehingga sanggup membeli melebihi keperluan.

“Beli mengikut keperluan, jangan risau tentang bekalan dan kita akan usahakan supaya bekalan sentiasa ada dan mencukupi terutama pada bulan Ramadan dan Hari Raya,” katanya.

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Menjelang Perayaan Aidilfitri, Pengguna Tak Perlu Panik Bekalan Cukup
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"