MIRI: Seekor buaya sepanjang 10 kaki berjaya ditangkap dan dibunuh oleh penduduk Kampung Raan di Bakam dekat sini, sekitar jam 7 malam kelmarin.
Reptilia ganas tersebut diburu dan ditangkap ekoran kebimbangan orang ramai dan penduduk kampung selepas berlaku insiden serangan buaya ke atas tiga remaja lelaki pada Rabu lalu.
DI SINI: Jasmi menunjukkan ke arah sungai di mana buaya-buaya berkenaan kerap dilihat timbul, hingga menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk kampung.
Bagaimanapun dalam insiden mencemaskan itu, ketiga-tiga remaja tersebut terselamat dan berjaya melarikan diri.
Menurut salah seorang penduduk kampung yang ditemui semalam, Jasmi Dolah, 31, mereka mengesyaki terdapat dua ekor buaya, yang kerap timbul di permukaan Sungai Raan, sejak akhir-akhir ini.
“Kedua-dua ekor buaya ini dipercayai sangat berbahaya, sekali gus telah menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk kampung.
“Penduduk kampung acap kali melemparkan beg plastik berisi tanah ke dalam sungai tersebut dan kedua-dua reptilia berkenaan akan timbul secara tiba-tiba seraya membaham ke arah plastik tersebut, mungkin menyangka ia bahan makanan mereka,” katanya.
Tindak balas buaya berkenaan katanya telah menimbulkan kegerunan di kalangan penduduk kampung hinggakan mereka tidak berani turun ke sungai untuk memancing.
Katanya penduduk memang tahu ada buaya tinggal di sungai berkenaan, namun kehadiran kedua-dua ekor buaya tersebut lebih menimbulkan kebimbangan apatah lagi mereka kerap timbul di permukaan sungai itu sejak dua minggu lalu.
Sementara itu, pemangku Ketua Kaum Kampung Raan Marani Lidi, 54, ketika dihubungi semalam memberitahu, beliau sebelum ini tidak sedar dengan kehadiran buaya berkenaan di sungai tersebut sehinggalah beliau melihat sendiri salah seekor daripada buaya tersebut pada Jumaat lalu.
“Saya berhampiran sungai tersebut, apabila salah seorang penduduk kampung mendekati saya dan memberitahu ada dua ekor buaya besar terdapat di sungai tersebut.
“Beliau cuba membuktikannya kepada saya dengan melontarkan satu beg plastik berisi tanah ke dalam sungai berkenaan dan sebaik ia (beg plastik) mencecah permukaan sungai, tiba-tiba muncul seekor buaya melompat dari dalam air lalu cuba ‘membaham’ beg plastik tersebut,” katanya sambil memberitahu insiden berkenaan amat mengejutkannya.
Katanya buaya-buaya tersebut mungkin telah masuk ke sungai kecil itu ketika banjir melanda kampung berkenaan pada November tahun lalu.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru pihak berkuasa berkaitan supaya meletakkan papan tanda amaran mengenai kewujudan buaya di tebing sungai tersebut, agar orang ramai terutama kanak-kanak berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” tambahnya.
-Utusan Borneo
Bagikan
Berita Sarawak : Buaya 10 Kaki Berjaya diburu
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"