23 Jun 2014

Kes Remaja OKU Terbiar - KM Sabah Turut Kecewa

Ketua Menteri Sabah, Musa Aman
KOTA KINABALU, (23 Jun) — Ketua Menteri, Sabah Datuk Seri Musa Aman yang turut kecewa dengan penemuan seorang ramaja orang kelainan upaya (OKU) dalam keadaan terbiar di Negeri Sembilan yang ibunya dilapor berasal dari Sabah, mahukan siasatan dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata beliau akan meminta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid untuk membuat siasatan.

“Ibu bapa OKU itu sungguh tidak bertanggungjawab. Saya tidak boleh membayangkannya.

Biarpun kejadian itu di negeri lain, tetapi kita sedar mangsa yang terlibat adalah orang Sabah. Jadi, kita akan membantu sebaik yang mungkin,” katanya.

Beliau merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-20 Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (Bakisa) di sini hari ini.

Remaja itu Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui dalam keadaan terabai di sebuah unit rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Dia juga dilapor menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk pemeriksan lanjut.

Sehubungan penemuan kes itu, Musa menyeru Bakisa agar memperhebat usaha membantu golongan terbiar terutama OKU.

Beliau berkata badan itu boleh mengenal pasti golongan yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

“Inilah tanggungjawab kita semua apabila melawat orang yang memerlukan termasuk di pedalaman. Mungkin ada OKU yang tidak mendapat sebarang pertolongan.

“Jadikan usaha ini sebagai salah satu peranan Bakisa kerana Bakisa dilihat sebagai satu badan yang mempunyai hati nurani yang sangat indah, baik, halus, penting dan pandai mengasihani orang,” katanya.—BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

Kes Remaja OKU Terbiar - KM Sabah Turut Kecewa
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"