Nasib tiga pelajar mengaku bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pelajar lain diketahui 11 Julai depan.
KOTA SAMARAHAN: Tiga pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di Asajaya yang menggelar diri mereka ‘pailang’ akan mengetahui nasib mereka pada 11 Julai depan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan dengan sengaja ke atas seorang pelajar tingkatan tiga dari sekolah sama.
Majistret Sulhairil Sulaiman menetapkan tarikh itu untuk penghakiman kes sementara menunggu laporan akhlak ketiga tiga tertuduh kerana mereka adalah pesalah juvana.
Semalam, ketiga-tiga tertuduh yang berusia 16 tahun dari Asajaya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain didakwa mendatangkan kecederaan, tertuduh pertama turut didakwa di bawah Seksyen 506, Kanun Keseksaan kerana dengan niat mengancam hendak mendatangkan kecederaan terhadap pengadu.
Ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan penjamin ibu bapa dan diperintahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap minggu.
Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh mengaku memukul, menyepak dan menerajang serta menarik rambut mangsa yang dilakukan pada 25 April lalu, sekitar jam 9.40 pagi di tingkat tiga berdekatan bilik makmal sebuah sekolah ;menengah di Asajaya.
Pada masa dan tempat yang sama, tertuduh pertama dikatakan mengugut mangsa supaya tidak memaklumkan kepada sesiapa tentang kejadian itu dan sekiranya mangsa memberitahu orang lain, dia akan dipukul semula.
Pada 26 Mei lalu, sekitar jam 12.30 tengah hari sepasukan polis melakukan tangkapan terhadap 10 suspek di sekolah berkenaan, Kampung Tambey, Kampung Melayu dan Kampung Sungai Mata.
Hasil siasatan hanya tiga pelajar iaitu ketiga-tiga tertuduh didapati memukul pengadu.
Semalam, mangsa turut kelihatan hadir ke mahkamah bersama neneknya dan seorang rakannya selain ibu bapa ketiga-tiga tertuduh.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif.
Bagikan
Kes Juvana : 3 Pelajar Wanita Sarawak Ketahui Nasib 11 JUlai ini.
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"