15 May 2014

(UMUM Wajib Tahu) Nombor Ibu Pejabat Polis Kontinjen "DIKLON" Sindiket Untuk Menipu Orang Ramai

Sesiapa sahaja berpeluang menjadi mangsa penipuan jenayah siber.

Jam 8.45 pagi tadi, saya dihubungi oleh lelaki berbahasa Melayu, loghat Cina.

"Selamat pagi Mazidul Akmal Sidik. Saya Inspektor Ong Lai Choon dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang. Saya membuat panggilan untuk satu kes jenayah. Encik diminta membantu siasatan kes ini. Cuma untuk membantu siasatan sahaja encik. Sebelum itu, saya hendak mengesahkan nombor IC encik, 670319 ..... "

Lelaki itu menghubungi saya menggunakan nombor 04-2221522. Sebaik memperkenalkan identiti dan kerjaya saya, dia pantas memutuskan komunikasi. 


Berasa curiga, saya kemudian menghubungi nombor talian tetap terbabit dan panggilan disambut oleh operator IPK Pulalu Pinang. Operator mengesahkan, tiada individu bernama 'Ong' berpangkat Inspektor di situ.

Hebat bukan?

Ahli sindiket jenayah siber kini mampu mengklonkan nombor telefon IPK untuk memperdaya mangsa.

Saya kemudian bertindak menelefon pegawai polis bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

"Satu lagi sindiket penipuan dunia siber. Dipercayai lelaki Cina Malaysia bekerja dengan sindiket di China. Tujuan mereka, mendapatkan wang secara sangat mudah. Teknik digunakan, penyamaran. Selalunya, orang ramai berasa gementar dan tertekan jika dihubungi oleh polis. Tambahan pula andai disogokkan berita kononnya mereka diperlukan untuk membantu pihak polis menyelesaikan kes jenayah membabitkan individu dikenali oleh mangsa. Lazimnya, 'Inspektor' itu akan menyalurkan maklumat kononnya saudara terdekat atau kenalan mangsa, diberkas oleh polis akibat terbabit dalam kes jenayah. Jika terus dilayan, akhirnya, penjenayah itu mungkin akan menawarkan peluang kepada mangsa untuk membantu menyelesaikan kes kenalan mereka di luar mahkamah. Untuk itu, mangsa didesak  mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank milik ahli sindiket itu," jelas beliau.

Timbul persoalan, dari manakah sindiket itu memperoleh nama penuh, nombor telefon nombor dan perincian kad pengenalan individu sasaran mereka?

Melalui pengalaman, saya percaya wujud pihak menjual data peribadi.

Klik di sini.

Biar saya dedahkan juga kaedah kedua penipuan lebih kejam agar tiada pembaca blog ini tertipu.

Lelaki atau wanita menghubung sasaran, bakal mangsa mereka secara rawak melalui telefon bimbit. 

"Encik, saya dari (syarikat pengendali talian telefon). Kami sedang mengemaskini sistem dan perlukan bantuan encik untuk memadamkan telefon selama sejam," pinta pemanggil, menyamar kakitangan syarikat telekomunikasi.

Selalunya, pemilik telefon mudah alih akan mematuhi arahan seperti itu tanpa banyak persoalan.

Dalam tempoh 60 minit itu, ahli sindiket pantas menghubungi keluarga mangsa dan memaklumkan kononnya dia diculik. Panik, ahli keluarga bergegas cuba menelefon mangsa tetapi gagal. Gagal kerana telefon bimbit dimatikan sendiri oleh mangsa sebelum itu.

Tatkala itu ahli sindiket bertindak mendesak keluarga mangsa mendepositkan wang tebusan ke akaun kendalian mereka, sekiranya ingin mangsa dibebaskan. Walhal mangsa tidak dikurung dan tidak langsung menyedari kegiatan berlaku.

Sindiket terbabit tahu, orang ramai berada dalam keadaan tertekan, gagal berfikir panjang dan tidak berfikir dua kali untuk menyerahkan wang ringgit jika kes membabitkan faktor keselamatan ahli keluarga terdekat atau sahabat karib. 

Sila sebarkan kandungan entri ini agar kita bersama berpeluang mengelakkan masyarakat terus diperdaya dan kerugian.

SUMBER [KLIK SINI]

Bagikan

Jangan lewatkan

(UMUM Wajib Tahu) Nombor Ibu Pejabat Polis Kontinjen "DIKLON" Sindiket Untuk Menipu Orang Ramai
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.