20 May 2014

PPM Patahkan Cubaan seludup 4,000 Bungkus Rokok

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menerusi Ops Gelora berjaya menumpaskan cubaan  menyeludup masuk sebanyak 4,000 bungkus rokok.

Rokok seludup jenis Astro merah dan hijau itu dianggarkan bernilai RM28,000. PPM juga menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu, di perairan laut Sahabat 16, dekat sini awal pagi kelmarin.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah bot laju, sebuah enjin pam bot dengan keupayaan 13 kuasa kuda (HP) dan sebuah lagi enjin dengan keupayaan 40HP, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM17,000 yang digunakan untuk membawa muatan rokok seludup.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin PDRM Wilayah 4 Sabah, Superintenden Rosman Ismail dalam satu sidang media di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu berkata, kehadiran bot itu dikesan pada jam 1.47 pagi semasa pasukan anggota PPM yang menggunakan botronda PA7 membuat rondaan Ops Gelora di kawasan perairan berkenaan.

“Ketika rondaan dijalankan, pasukan kita mengesan kehadiran sebuah bot yang mencurigakan menuju ke pantai Kampung Pangkalan Sahabat 16.

“Sebaik menyedari kehadiran PPM, kedua suspek terbabit cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan,”katanya sambil menambah, hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam bot itu anggotanya menemui rokok-rokok yang dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran di Sabah.

Katanya, siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai sebarang dokumen keterangan diri dan mereka juga mengaku sebagai warga Filipina.

Sehubungan itu, semua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Rosman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Katanya, sepanjang Januari hingga April tahun ini, PPM Wilayah Sabah berjaya menghasilkan sebanyak 351 kes tangkapan dengan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM4,379,340.12 berbanding hanya 148 kes 
tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu dengan melibatkan rampasan sebanyak RM1,728,283.66.

Bagi tangkapan di bawah Akta Kastam untuk tempoh Januari hingga April tahun ini juga katanya, PPM Wilayah Sabah berjaya menghasilkan 53 kes tangkapan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM2,594,748 berbanding hanya 30 bagi tempoh sama tahun lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM839,591.64.

“Pasukan PPM Lahad Datu telah melancarkan Op Gelora 01/2014 untuk membanteras aktiviti penyeludupan sama ada dari aspek penyeludupan manusia atau barangan pelbagai jenis yang menyalahi undang-undang.

“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan orang ramai bagi menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan yang berlaku di sekeliling dalam usaha mencegah dan membanteras kegiatan ini,” katanya.

Bagikan

Jangan lewatkan

PPM Patahkan Cubaan seludup 4,000 Bungkus Rokok
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.