BINTULU: Hasrat seorang pemandu lori mencari kayu penahan bahagian bawah lorinya di kawasan hutan berhampiran, berikutan dua tayar lorinya bocor terbantut apabila terjumpa mayat reput di sebuah pondok kecil berdekatan Gelanggang Badminton Jabatan Kerja Raya (JKR) di lampu isyarat Medan Jaya, di sini jam 6 petang kelmarin.
Chong Hong Nam, 56, (gambar kecil) ketika ditemui berkata dia sebenarnya dalam perjalanan membawa muatan tanah dan batu dari sebuah tapak pembinaan di Parkcity Commerce Square ke penempatan di Batu 6 untuk menurap jalan kecil di situ.
Begitupun, setibanya dia di lampu isyarat Medan Jaya, tiba-tiba dua tayar lorinya bocor.
“Demi keselamatan disebabkan laluan jalan sibuk, saya terus memandu lori ke bahu jalan dan berhenti berdekatan kawasan hutan berhampiran untuk menukar tayar lori bocor itu.
“Saya turut menghubungi anak saya untuk mendapatkan bantuan sebelum memasuki hutan berdekatan untuk mencari kayu penahan bawah lori namun saya ternampak seperti ada orang terbaring kaku dalam keadaan perutnya kembung.
“Saya juga melihat ada seekor kucing berhampiran tubuh orang tersebut. Saya tidak menghampirinya sebaliknya terus menghubungi polis,” ujarnya.
BARANG KES: Antara barang ditemui di tempat penemuan mayat.
Sementara itu, polis yang menerima maklumat itu terus bergegas ke tempat kejadian.
Siasatan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu dan dibantu beberapa anggota polis lain.
Mayat dikeluarkan dari kawasan hutan itu sekitar jam 8 malam selepas siasatan dilakukan pegawai dan anggota JSJ di tempat kejadian.
Mohd Said berkata identiti mayat ditemui itu belum dikenal pasti, bedah siasat dan pemeriksaan susulan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada berunsur jenayah atau tidak.
“Saya hanya dapat sahkan ada kes apabila pemeriksaan dilakukan berikutan mayat terbabit telah berulat dan perlu dibersihkan dan selepas itu diketahui punca kematiannya” katanya ketika ditemui malam kelmarin.
Katanya polis juga sukar mengenal pasti identiti bangsa mangsa memandangkan mayat itu telah reput.
“Barang kes yang kami jumpa ialah kipas yang pecah berhampiran mayat, tetapi saya hendak pastikannya terlebih dahulu.
“Ada pisau turut ditemui di kawasan yang dilihat sebagai tempat tinggal itu tetapi tiada kesan darah,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan mangsa mati tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat tersebut kembung dan reput.
Setakat ini, polis mengklasifi – kasikan kes terbabit sebagai mati mengejut namun bedah siasat ke atas mayat terbabit akan dilakukan pada 24 Mei ini.
Justeru, sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau saudaramara diminta tampil untuk membuat pengecaman.
Bagikan
Pemandu Lori Berniat Mencari Kayu Jumpa Mayat
4/
5
Oleh
admin