20 May 2014

ABDUL RASHID DILANTIK PENGARAH OPERASI ESSCOM BERKUATKUASA SERTA MERTA

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melantik Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Esscom Datuk Abdul Rashid Harun sebagai Pengarah Operasi ESSCOM berkuatkuasa serta merta.
Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata, pelantikan yang dilakukan secara dalaman itu dilakukan bagi memantap dan memperkemaskan lagi koordinasi dan kolaborasi Operasi Penguatkuasaan ESSCOM dalam usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Pelantikan ini dilaksanakan dalam tempoh enam bulan secara bergilir-gilir, selepas tempoh itu, jawatan ini akan diambil alih oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain memantapkan operasi penguatkuasaan membanteras jenayah rentas sempadan di ESSZONE ia turut meningkatkan koordinasi, komunikasi, kolaborasi antara tiga komponen penguatkuasa ESSCOM iaitu ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dan dialog ESSCOM bersama komuniti Kadazandusun dan Murut (KDM) di sini kelmarin.

Beliau berkata, fungsi pengarah operasi adalah untuk merancang dan melaksana semua operasi penguatkuasaan di kawasan ESSZONE selain memantapkan lagi operasi pertahanan dan keselamatan di kawasan itu khususnya dalam aspek arahan.

Mohammad berharap dengan pelantikan yang dibuat itu, ia dapat meningkatkan lagi keupayaan ESSCOM dalam usaha mengawal dan memerangi jenayah rentas sempadan.

“ESSZONE merangkumi 10 daerah sepanjang 1,733.7 kilometer meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau,” katanya.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, sesi dialog itu diadakan bagi membuka ruang kepada komuniti KDM mengenali ESSCOM dengan lebih dekat kerana ramai masih yang masih belum jelas dengan matlamat penubuhan ESSCOM dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di ESSZONE.

Mohammad sekali lagi mengingatkan bahawa agar jangan ada diantara komuniti yang bersekongkol memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin (PTI) kerana ia salah di sisi undang-undang.

“Mereka yang membuat kesalahan itu boleh diambil tindakan mahkamah berdasarkan Akta Imigresen perkara 56(a)(1). Sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagikan

Jangan lewatkan

ABDUL RASHID DILANTIK PENGARAH OPERASI ESSCOM BERKUATKUASA SERTA MERTA
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.