20 May 2014

Donggongon : Stesen Minyak Nyaris Terbakar



PENAMPANG: Sebuah stesen minyak Shell di Donggongon, dekat sini hampir terbakar selepas tiga buah kilang yang terletak berhampiran musnah dalam kejadian kebakaran malam Ahad lepas.

Tindakan pantas pekerja stesen berkenaan yang menggunakan alat pemadam api serta menghubungi bomba membantu mengelak api dari merebak ke stesen itu.

Malangnya, tiga kilang berkenaan iaitu kilang perabot dan pengumpulan barang lama yang terletak kira-kira lima meter dari stesen itu hangus terbakar.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohammad Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 malam dan sampai di lokasi kejadian dua minit kemudian.

Menurutnya, bomba segera bertindak memadamkan api yang hampir merebak di kawasan stesen minyak itu sebelum mengalihkan perhatian memadamkan api di kilang berkenaan.

Beliau berkata, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.11 malam dan tiada mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Selain api yang marak, bunyi letupan turut kedengaran dan dipercayai berpunca daripada dapur gas yang meletup di salah satu kilang terbabit.

Menurut anak pemilik kilang Grace Enterprise Furniture yang hanya mahu dikenali sebagai Ah May, mereka menyedari kebakaran itu sekitar jam 9.30 malam.

Beliau turut tidak menyangka keadaan api begitu marak dan cepat merebak ke seluruh kawasan kilang.
Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan mereka mengalami kerugian hampir RM100,000.



Bagikan

Jangan lewatkan

Donggongon : Stesen Minyak Nyaris Terbakar
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.