Showing posts with label Pencerobohan Pulau mabul. Show all posts
Showing posts with label Pencerobohan Pulau mabul. Show all posts

17 Jul 2014

Berita Sabah : Penculik Minta wang Tebusan 10 JUTA

Kerajaan Tidak Akan Tunduk Dengan Sebarang Tuntutan Kumpulan penculik

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan tunduk atau melayan sebarang tuntutan wang tebusan oleh kumpulan yang menculik anggota polis marin Konstabel Zakia Aliep dalam serangan hendap di Pulau Mabul di Sabah, Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memenuhi permintaan daripada pihak penculik kerana ia dilihat akan menggalakkan usaha kumpulan itu memperoleh wang dengan melakukan kegiatan penculikan.

Beliau turut menjelaskan pihak berkuasa ada menerima panggilan telefon daripada kumpulan penculik yang mendakwa melarikan Zakiah dan meminta wang tebusan bernilai 10 juta.

"Ada panggilan telefon dibuat oleh kumpulan penculik kepada anggota polis Marin bertugas di Sabah dan mereka meminta wang sebanyak 10 juta namun tidak dinyatakan jenis mata wang sama ada Peso, US Dollar mahupun Ringgit Malaysia.

"Kita, kerajaan tidak akan memberikan sebarang reaksi terhadap permintaan itu," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu undangan bagi program TV3 Wanita Hari Ini dalam segmen 'Mesej Dari Penjara'.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak, sementara Zakia, 26, diculik kumpulan berkenaan ketika mereka sedang bertugas membuat rondaan di kawasan resort berkenaan.

Zakia merupakan mangsa culik keempat di Sabah tahun ini selepas insiden penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Pulau Baik, Lahad Datu dan di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah dengan menambah sebanyak 680 anggota pasukan keselamatan iaitu 330 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 350 daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Kita tidak akan nyatakan strategi dan apa tindakan yang akan kita lakukan ... ketika ini pendirian kita ialah ofensif dan bukannya defensif," katanya.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan siasatan terhadap motif kejadian serangan hendap yang turut mengorbankan nyawa Ab. Rajah itu, ia dilakukan pada awalnya bertujuan untuk menculik pengusaha resort tetapi memandangkan pasukan keselamatan telah menjadi benteng kepada laluan mereka, maka sasaran dialihkan kepada pasukan keselamatan.

Mengenai isu Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari yang didakwa terbabit melakukan penculikan dan pencerobohan di Sabah, beliau berkata, penculikan itu dilakukan oleh orang bawahan pemimpin MNLF itu.

"Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, Nur Misuari ini sedang uzur tetapi orang di belakangnya mempunyai cita-cita tinggi dan ingin menubuhkan ketumbukan ketenteraan upahan MNLF, ini satu langkah yang silap," katanya.
mstar online
Baca selengkapnya

16 Jul 2014

Pencerobohan Negeri Sabah : Laluan laut khas akan ditetapkan di pantai timur Sabah

"Setelah laluan laut khas ini dikenal pasti dan dikuat kuasa, perintah berkurung akan diumum pada waktu-waktu tertentu bagi mengelak laluan itu disalah guna," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

KUALA LUMPUR: Satu laluan laut khas akan diwujudkan dari perairan antarabangsa ke Timur Sabah dalam usaha mempertingkat tahap kawalan keselamatan di kawasan itu. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laluan yang bakal diumum dalam tempoh terdekat itu juga akan dikenakan perintah 'berkurung' bagi tempoh tertentu. 

"Setelah laluan laut khas ini dikenal pasti dan dikuat kuasa, perintah berkurung akan diumum pada waktu-waktu tertentu bagi mengelak laluan itu disalah guna," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mengenal pasti beberapa langkah segera lain bagi mempertingkat tahap kawalan keselamatan di pantai timur Sabah. 

Ini susulan insiden tembak-menembak yang mengakibatkan seorang anggota keselamatan terkorban manakala seorang lagi diculik. 

Dalam insiden tembak-menembak di Pulau Mabul Sabtu lepas dengan sekumpulan lapan individu bersenjata berat, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, maut manakala rakannya, Konstabel Zakia Ali, 26, diculik. 

Sementara itu, Khalid dalam satu kenyataan menyebut langkah ini adalah bagi memastikan semua pergerakan kapal adalah mengikut laluan yang ditetapkan. 

Katanya, laluan yang bakal diumum dalam masa terdekat itu bertujuan mengelak sebarang bentuk penyalahgunaan laluan laut oleh penjenayah bagi tujuan menceroboh perairan Sabah. 

Selain itu, beberapa langkah akan diambil bagi mempertingkat tahap keselamatan di kawasan berkenaan. 

Beliau berkata dalam tempoh 48 jam, tindakan segera akan diambil khususnya di kawasan panas seperti Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan. 

Khalid juga berkata langkah berkenaan ialah penambahan keanggotaan PDRM sebanyak 330 orang khususnya di pusat peranginan dan kawasan ternakan ikan dalam sangkar dengan dibantu keanggotaan tambahan ATM iaitu 350 orang. 

PDRM juga akan menambah aset air Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta aset Tentera Udara Diraja Malaysia di kawasan strategik. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan menjalankan kepolisan masyarakat dengan golongan nelayan di seluruh kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak. 

PDRM bakal mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan penglibatan (ROE) bagi menyelaras serta memudahkan koordinasi antara semua agensi penguatkuasa di kawasan berkenaan. - BERNAMA 
Baca selengkapnya

Pencerobohan Sabah : Tambah Baik Keselamatan Negeri Sabah Cadangan Ditimbang


KOTA KINABALU - Kerajaan bersedia menimbangkan cadangan untuk menambah baik kawalan keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.


Bendera Sabah, Sabah Flag
Beliau berkata sebarang cadangan mengenai penambahbaikan keselamatan di Sabah termasuk cadangan dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, akan diambil perhatian.
    
Katanya kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah bagi memperkukuh pertahanan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) baru-baru ini, antaranya penstrukturan semula Esscom dan penempatan kapal Bunga Mas 5 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) di perairan pantai timur Sabah yang bersempadan dengan Filipina.
    
"Insiden ini (penculikan dan serang hendap) telah memberi persepsi negatif kepada kita dan perlu ditangani dengan bijak," katanya ketika menggulung perbahasan berhubung insiden serang hendap di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu malam lepas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
    
Usul perbahasan itu dikemukakan oleh Datuk Abdul Rahim Ismail (BN-Pantai Manis) untuk membincangkan insiden itu yang meragut nyawa seorang anggota Pasukan Polis Marin, manakala seorang lagi diculik oleh kumpulan pengganas bersenjata dalam insiden pada 12 Julai lepas.
   
Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Esscom, turut memaklumkan persamaan budaya dan bahasa kumpulan penjenayah atau pengganas dengan masyarakat setempat, khususnya di pantai timur, menjadi cabaran utama ESSCom.
    
"Persamaan tersebut memudahkan penjenayah atau pengganas masuk ke Sabah dan menyamar sebagai masyarakat setempat," katanya.
    
Ketua Menteri turut mengingatkan pengusaha di pantai timur Sabah, khususnya pengusaha ikan dalam sangkar, supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja kerana ini membuka peluang kepada pengganas untuk masuk ke Sabah.
    
"Ini membuka peluang pengganas masuk (ke Sabah) sebagai pekerja untuk menyamar (sebagai orang tempatan) dengan tujuan untuk mencari maklumat (tentang pasukan keselamatan)," katanya.
    
Terdahulu, Abdul Rahim ketika membentangkan usul itu berkata insiden penculikan kini semakin serius dan selain merupakan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara, ia juga membabitkan maruah negara.
    
"Usul ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai satu agenda politik. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat, terutama sekali dalam situasi mencabar ini, ialah mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu-isu keselamatan di Sabah," katanya.
    
Beliau juga mengingatkan agar mengelak sebarang provokasi dan spekulasi yang bukan sahaja akan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan, malah akan membuat penduduk yang tinggal di kawasan pantai timur merasa panik dan takut untuk menjalankan kehidupan seharian mereka. - Bernama
Baca selengkapnya

Berita Semasa : SOP "Shoot On Sight" Lebih Jelas Untuk Kelulusan Kerajaan

Katanya kerajaan mahu SOP dan garis panduan yang lebih jelas supaya tiada intepretasi yang berbeza-beza

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pasukan keselamatan perlu mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) “shoot on sight” atau ‘tembak apabila nampak’ yang lebih jelas untuk kelulusan kerajaan sebelum melaksanakannya.

Merujuk kepada insiden serang hendap di Pulau Mabul, Sabah serta saranan Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar supaya pasukan keselamatan diberi kebenaran “shoot on sight”, Najib menegaskan kerajaan berpendirian bahawa tindakan tegas adalah perlu dalam insiden sedemikian namun SOP perlu jelas supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Katanya kerajaan mahu SOP dan garis panduan yang lebih jelas supaya tiada intepretasi yang berbeza-beza.

“Kalau tiada pengarahan dan panduan yang jelas, ia boleh menimbulkan sesuatu yang tidak diingini dan orang yang tidak bersalah boleh menjadi mangsa,” katanya dalam sidang media di Seri Perdana di sini semalam.

Sehubungan itu, Najib berkata pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta mengemukakan SOP itu.

“SOP itu akan diluluskan oleh kerajaan sebagai langkah tambahan yang perlu diwujudkan. Jika tidak, ia akan membawa kepada pelbagai salah faham, kekeliruan, salah tafsiran…perkara buruk mungkin berlaku,” katanya.

Najib menegaskan beliau memahami bahawa insiden serang hendap di Pulau Mabul begitu serius dan perlu memikirkan langkah-langkah tambahan yang lebih tegas.

“Saya setuju tindakan lebih tegas perlu diambil dan jika kita nak memberi kebenaran menembak, kita mesti ada garis panduan SOP dalam apa keadaan yang mereka boleh lakukan.

“Ia perlu betul-betul jelas kerana anda bercakap tentang askar dan anggota polis biasa yang bertugas di lapangan dan mereka perlu faham dalam situasi bagaimana mereka boleh lepaskan tembakan kerana jika tidak, boleh menyebabkan orang tidak bersalah terbunuh,” katanya.

Najib juga berkata pihak berkuasa akan mengadakan perbincangan untuk menambah baik SOP dan garis panduan sedia ada bagi membolehkan mereka bertindak dengan lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara ketika mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu susulan insiden serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada Sabtu malam lepas, yang mengorbankan anggota Pasukan Polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, manakala rakan setugasnya Konstabel Zakia Aleip, 26, dilarikan. — Bernama
Baca selengkapnya

[GAMBAR] Majlis Serah Tugas Pengarah Bahagian Pertahan ESSCOM 15 Julai 2014

MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH BAHAGIAN PERTAHANAN ESSCOM DI BRIGED ESSCOM CENDERAWASIH 15 JULY 2014


djkupang.com
Baca selengkapnya

15 Jul 2014

Serangan Pulau Mabul : Ada kaitan Dengan Nur Misuari

Berita Sabah : Pencerobohan di Mabul Ada kaitan Dengan Nur Misuari?

KUALA LUMPUR 14 Julai - Insiden serangan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, kelmarin yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi diculik didakwa ada kaitan dengan kumpulan yang setia dengan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, mereka mengambil tindakan itu kerana tidak berpuas hati apabila dipinggirkan daripada proses rundingan damai dengan kerajaan Filipina sehingga membawa kepada pembentukan wilayah autonomi Bangsamoro.

Menurut beliau, kumpulan terbabit juga kecewa kerana kerajaan Malaysia tidak lagi memberi sokongan kepada mereka malah sebaliknya mengambil pendirian menyebelahi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

"Kumpulan Nur Misuari ini tidak sehaluan dan cemburu dengan pemimpin yang terlibat dalam wilayah autonomi Bangsamoro. Mereka juga berlumba-lumba untuk mendapatkan pengaruh.

"Sebagai tindakan balas, mereka sentiasa berusaha menggugat keamanan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan Malaysia yang menjadi fasilitator dalam proses rundingan damai antara MNLF dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Rahim mengulas serangan yang mengakibatkan Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, terbunuh manakala Konstabel Zakiah Alep, 26, masih hilang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan pegawai kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Sabah dilibatkan secara langsung dalam struktur organisasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Beliau memberitahu, langkah itu perlu memandangkan kawalan keselamatan di Esscom masih berteraskan kepada kepolisan dalam keadaan aman dan bukannya kawasan darurat.

"Pada pandangan saya, kaedah terbaik bagi melaksanakan langkah ini adalah dengan melantik Komander Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang kedua," ujarnya.

Abdul Rahim menambah, pada masa ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tidak dilibatkan secara langsung di dalam struktur Esscom dan keadaan itu dikhuatiri akan mewujudkan senario `satu kapal dua nakhoda' di negeri tersebut.

"Bagi saya, perkara ini tidak produktif dan tidak munasabah. Akibatnya, anggota polis yang bertugas di Sabah khususnya di Esszone akan keliru sama ada mereka perlu memberi keutamaan kepada arahan Esscom atau IPK Sabah," katanya. UTUSAN ONLINE
Baca selengkapnya

Semasa : Pasukan Keselamatan Dapat Kuasa Menembak Pihak Menceroboh Perairan Negara

Pasukan Keselamatan Dapat Kuasa Menembak Pihak Menceroboh Perairan Negara

KANGAR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi dilarikan.

Mengenai pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar sistem kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) diteliti semula, Ahmad Zahid berkata beberapa perubahan akan diperkenalkan apabila operasi Esscom diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia.

"Kita juga harus lebih proaktif, tidak boleh tunggu mereka menyerang baru nak ambil tindakan. Perubahan baru ini termasuk kaedah pengendalian dan pengawasan yang lebih tegas," katanya.

Ahmad Zahid berkata semua pasukan keselamatan di perairan timur Sabah juga sudah diarahkan agar lebih berwaspada.

"Kerajaan juga berharap nelayan, pemilik bot dan penduduk di perkampungan air bekerjasama dengan pihak berkuasa. Penceroboh tidak ada hasrat menghormati atau patuh undang-undang kita dan sebab itu kita tidak boleh bertolak ansur soal keselamatan negara dengan kumpulan ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua anggota polis terbabit.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aliep, 26, diculik. - Bernama
Baca selengkapnya

14 Jul 2014

Berita Sabah : Serangan di Pulau Mabul Oleh Kumpulan Yang Sama Menculik Sebelum ini

Sumber ESSCOM pihaknya sudah mengenal pasti identiti mereka

KUALA LUMPUR, (14 Julai) — Kumpulan yang melakukan serang hendap dan membunuh seorang anggota polis marin di Pulau Mabul dua hari lepas dipercayai pernah terbabit dalam penculikan di pantai timur Sabah.
Menurut sumber Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), pihaknya sudah mengenal pasti identiti mereka dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina serta orang awam bagi memperkukuh bukti.
Sumber itu yang dihubungi Bernama di sini hari ini turut berkata Esscom juga mempertimbangkan kemungkinan menyiarkan foto suspek bagi memudahkan orang ramai mengecam sekali gus membawa kepada penangkapan suspek.
Bernama sebelum ini melaporkan Pengarah Bahagian Perisikan Esscom Datuk Ahmad Nadzer Nordin sebagai berkata berdasarkan maklumat risikan, terdapat 14 kumpulan penculik yang berasal dari selatan Filipina dan sekurang-kurangnya empat daripada mereka pernah melakukan penculikan di perairan timur Sabah.
Dalam kejadian 11.10 malam Sabtu itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan, dalam serangan hendap oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di Mabul Water Bungalow Resort, Pulau Mabul, Semporna.
Sumber itu juga memberitahu pihak Esscom mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Filipina yang mengarahkan pasukan marinnya mengesan suspek di perairan negara tersebut.
Sementara itu, Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi berkata pasukan keselamatan telah diarah meningkatkan kawalan keselamatan di resort-resort di perairan pantai timur Sabah.
Ditanya mengenai Zakia, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan tiada perkembangan terkini.
Zakia merupakan mangsa culik keempat di Sabah tahun ini.
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata melarikan pelancong wanita warga China dan pekerja wanita warga Filipina dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna.
Sebulan kemudian lima lelaki bersenjata menculik seorang warga China yang juga pengurus syarikat ternakan ikan di dalam sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu.
Ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya diselamatkan. — BERNAMA
Baca selengkapnya

Pencerobohan Pulau Mabul : Ada Dalang Bocorkan Maklumat


Datuk Seri Najib Razak berkata ada dalang yang membocorkan maklumat pergerakan kawalan anggota keselamatan menyebabkan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina mudah menceroboh Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dan melakukan pelbagai jenayah.

Perdana Menteri berkata, berikutan itu kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang mempunyai maklumat terbabit melakukan serangan pada waktu malam bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan seterusnya dipatahkan anggota keselamatan.

Katanya, ia termasuk kejadian terbaharu serangan hendap di sebuah resort di Pulau Mabul, malam kelmarin sehingga mengorbankan seorang anggota polis marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, manakala Konstabel Zakiah Aleip, 26, hilang, dipercayai ditawan.

Menegaskan pihak berkuasa sedang mengesan dalang membocorkan maklumat itu, Najib berkata, pihak musuh mendapat maklumat kawalan pasukan keselamatan secara mendalam yang antaranya berpunca daripada masyarakat di kawasan berkenaan yang tidak mengenali sempadan antara dua negara (Malaysia dan Filipina. -djkupang.com
Baca selengkapnya

Pencerobohan Pulau Mabul : Jenazah Koperal Ab Rajah Selamat Dikebumikan

Pencerobohan Pulau Mabul : Jenazah Koperal Ab Rajah Selamat Dikebumikan

SEMPORNA – Jenazah anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan yang terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul pada Sabtu malam, selamat dikebumikan di kampung halaman, Kampung Bubul Batu di sini, dengan penuh istadat penghormatan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Jenazah dibawa dari bilik mayat Hospital Tawau pada lewat malam tadi ke rumahnya dan disembahyangkan pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul Batu, Jalan Batu 3 1/2, di sini.

Suasana pilu turut disertai hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian yang dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada keluarga terdekat, kenalan rapat dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ab Rajah.

Terdahulu, keranda jenazah yang dibaluti bendera Jalur Gemilang dibawa dari rumah keluarga Allahyarham serta diusung enam anggota polis Marin yang juga rakan Allahyarham.

Turut hadir, Komander Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Malik Harun, Ketua Polis Semporna Superintendan Mazlan Lazim dan Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner, Awang Besar Dullah.

Isteri Allahyarham, Salamah Amad, 26, yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga merelakan pemergian arwah sebagaimana yang pernah disuarakan impiannya untuk sanggup berkorban demi tanah air.


“Saya redha dia pergi…memang niat dia ingin mati berjuang untuk negara kerana masa kejadian Tanduo (Lahad Datu) dia memberi nama untuk ke Tanduo, tetapi arwah ditugaskan di Sandakan,” katanya sambil menambah ketika itu beliau sedang mengandungkan anak lelaki sulung yang akan memasuki usia setahun pada 26 Julai ini.

Menceritakan mengenai latar belakang suami, anak jati Tawau itu berkata, Allahyarham Ab Rajah merupakan seorang insan yang bersemangat juang tinggi sejak berkhidmat sebagai polis pada 2004.

“Kalau orang lain boleh kuat, kenapa saya tidak? Saya boleh menjadi sekuat itu merelakan pemergian arwah demi negara ini.

“Saya tahu dia pun gembira mati syahid di syurga kerana selepas bedah siasat selesai dan dicuci bersih semalam saya amati wajahnya kelihatan tersenyum gembira,” katanya yang menyatakan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bertugas di Pulau Mabul, Jumaat lepas.

Sementara itu, bapa Allahyarham Jamuan Ajuan, 70, yang masih terkejut dengan hakikat kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu akur dengan suratan Ilahi kerana arwah amat meminati bidang kepolisan.

“Ibu arwah, Kamsiah Indanan kini amat bersedih kehilangan anak tersayang tetapi kami redha dia meninggal ketika bertugas untuk mempertahankan negara,” katanya.

Sepupu Allahyarham, Noor Hani Mokhtar, 37, pula menyifatkan pemergian Allahyarham memberi tamparan hebat kepada keluarga selepas kematian seorang lagi  sepupu akibat penyakit kronik, Jumaat lepas.

“Arwah memang seorang yang pendiam dan tidak pandai untuk bercerita dengan keluarga walaupun mempunyai masalah, malah dia memang seorang yang fokus dalam kerjayanya,” katanya.

Beliau berkata arwah sendiri menawarkan diri untuk berpindah ke negeri kelahirannya selepas permohonan dibuka kepada mana-mana anggota untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan permohonan berjaya dalam masa sehari.

Allahyarham Ab Rajah, 32, yang berasal dari Semporna bertugas sebagai jurumudi kapal rondaan air 1, di Balai Polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh Perak kira-kira setahun yang lalu sebelum berpindah ke Semporna.

Dalam kejadian pada 11.10 malam Sabtu lepas, seorang lagi rakan sekerja yang juga anggota Marin, Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di pulau itu. – BERNAMA
Baca selengkapnya

Sabah : Kronologi Pecerobohan Serangan Hendap di Resort Pulau Mabul, Negeri Sabah

Kronologi Pecerobohan Serangan Hendap di Resort Pulau Mabul, Negeri Sabah

Pulau Mabul merupakan sebuah resort yang sangat dikenali di Sabah
Berikut adalah Kronologi Pecerobohan Serangan Hendap di Resort Pulau Mabul, Negeri Sabah yang diperolehi dari sumber carian di internet. 


Baca selengkapnya

Berita Sabah : Punca Serangan Hendap di Pulau Mabul Sabah

Punca Serangan Hendap di Pulau Mabul Sabah

Insiden serangan hendap di Pulau Mabul yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Polis Marin malam tadi, dipercayai bermotifkan dendam dan marah kerana peningkatan kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di perairan Sabah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya percaya penceroboh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan kejayaan anggota keselamatan dan pertahanan negara menembusi kubu mereka.

“Penceroboh balas dendam sebab Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya tembusi kubu mereka termasuk menyelamatkan tebusan warga China baru-baru ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden yang menyebabkan anggota Pasukan Polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32 terbunuh dan Konstabel Zakia Aleip, 26 hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna.

Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun dilapor berkata penyerang yang menggunakan senjata berat membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi.

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran.

Pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik lima lelaki bersenjata di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas berjaya diselamatkan polis pada 10 Julai.

Ditanya mengenai status anggota yang masih hilang itu, Ahmad Zahid menjelaskan perkara tersebut akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan enggan mengulas lanjut.

Ahmad Zahid berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Filipina terutamanya dari segi bertukar maklumat risikan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman di sempadan kedua-dua negara. — BERNAMA
Baca selengkapnya

Serangan Penceroboh di Pulau Mabul, Semporna : Seorang Terbunuh Seorang diculik

Serangan Penceroboh di Pulau Mabul, Semporna : Seorang Terbunuh Seorang diculik

KOTA KINABALU, (13 Julai) — Anggota keluarga Konstabel Zakia Aliep, 26, yang dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam tadi terkejut dengan kejadian itu.

Mereka merasa sedih lebih-lebih lagi beliau baru memperoleh cahaya mata kira-kira tiga bulan lalu.
Majlis doa selamat untuknya diadakan pagi tadi.

Abangnya Zakria, 31, berkata beliau mendapat berita mengenai kehilangan adiknya daripada rakan-rakannya pada pukul 4 pagi tadi selepas bersahur.

“Selepas rakan-rakan memberitahu ada insiden serang hendap di Pulau Mabul dan adik saya hilang, saya menghubungi isterinya yang memberitahu adik saya tidak pulang ke rumah.

“Saya turut menghubungi Balai Polis Semporna untuk bertanyakan tentang perkembangan pencarian adik saya,” katanya kepada Bernama.

Zakria berkata petang ini beliau dan ibu bapanya serta beberapa orang saudara mara akan bertolak dari kampung mereka di Tenghilan, kira-kira 45 kilometer dari Kota Kinabalu untuk ke Semporna bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai adiknya di samping menemani isteri dan anak Zakia yang berada di Semporna.

Zakia dipercayai diculik ketika sepasukan anggota Polis Marin diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada pukul 11.10 malam. Seorang lagi anggota Polis Marin, Koperal Rajah Jamuan terbunuh.
Menceritakan mengenai adiknya, Zakria berkata Zakia merupakan antara yang pertama memohon untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata selepas Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan susulan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, adiknya tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan bertugas di ESSZone.

“Masa itu permohonan dibuka kepada mana-mana anggota keselamatan yang berminat untuk berkhidmat di bawah ESSCom. Adik saya melihat ia juga sebagai peluang untuk pulang dan berkhidmat di negeri kelahirannya,” katanya.
Zakria berkata adiknya ketika itu bertugas di Pulau Pinang dan menambah adiknya memang bercita-cita menjadi anggota polis sejak kecil dan menyertai Polis Marin sejak 2010.

Sementara itu di Tawau, mayat Rajah dijangka dibedah siasat di Hospital Tawau pada pukul 4 petang ini sebelum dikebumikan di Batu 3, Semporna esok.

Jenazahnya tiba di Hospital Tawau pada 12.25 tengah hari tadi dengan ditunggu anggota keluarganya. — BERNAMA

Baca selengkapnya

13 Jul 2014

Pecerobohan Pulau Mabul : 'Jaga Anak Kita Baik-Baik’, Pesanan Akhir Suami

Pecerobohan Pulau Mabul : 'Jaga Anak Kita Baik-Baik’, Pesanan Akhir Suami 

SEMPORNA – “Jaga anak kita baik-baik,” itu antara pesanan terakhir anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, yang terbunuh dalam serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul di sini malam tadi.

Reda pemergian suami tercinta, isterinya, Salamah Amad 26, berkata Ab Rajah, 32, menitipkan pesanan itu ketika menghubunginya pada 10 malam tadi sambil mengatakan akan pulang ke rumah esok.

“Malam tadi juga saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami yang mengatakan akan pulang ke rumah esok.

“Pada 1 pagi, saya terima maklumat, suami diculik sebelum mengetahui keadaan sebenar yang suami telah gugur ketika bertempur dengan penceroboh,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Batu 2, Jalan Bubul di sini, hari ini.

Beliau berharap kumpulan penceroboh yang tidak bertanggungjawab itu akan mendapat hukuman yang setimpal daripada pihak berkuasa atas perbuatan jenayahnya itu.

“Saya kini hanya mampu mendoakan dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam nada sendu.



Seorang lagi anggota Marin, Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan itu malam tadi.

Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun dilapor berkata penyerang yang menggunakan senjata berat itu membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi.

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran.

Allahyarham Ab Rajah, yang barasal dari Semporna bertugas sebagai jurumudi Kapal Rondaan Air 1, di Balai Polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh, Perak kira-kira setahun yang lalu sebelum berpindah ke Semporna.

Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor esok dalam upacara penghormatan pasukan polis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kebun Bunga Jalan Batu 3, di sini.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar pekan Semporna mendapati keadaan ketika ini tenang dengan rutin orang awam dan aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.

Seorang penduduk tempatan, Nancy Mitan, berkata keadaan dan aktiviti di pekan tersebut berjalan seperti sediakala meskipun mengetahui kejadian itu pagi ini.

“Kami mengetahui kejadian tembak itu yang berlaku di Pulau Mabul iaitu mengambil masa kira-kira 45 minit menaiki bot dari pekan Semporna,” katanya. – BERNAMA
Baca selengkapnya