Sumber ESSCOM pihaknya sudah mengenal pasti identiti mereka
KUALA LUMPUR, (14 Julai) — Kumpulan yang melakukan serang hendap dan membunuh seorang anggota polis marin di Pulau Mabul dua hari lepas dipercayai pernah terbabit dalam penculikan di pantai timur Sabah.
Menurut sumber Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), pihaknya sudah mengenal pasti identiti mereka dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina serta orang awam bagi memperkukuh bukti.
Sumber itu yang dihubungi Bernama di sini hari ini turut berkata Esscom juga mempertimbangkan kemungkinan menyiarkan foto suspek bagi memudahkan orang ramai mengecam sekali gus membawa kepada penangkapan suspek.
Bernama sebelum ini melaporkan Pengarah Bahagian Perisikan Esscom Datuk Ahmad Nadzer Nordin sebagai berkata berdasarkan maklumat risikan, terdapat 14 kumpulan penculik yang berasal dari selatan Filipina dan sekurang-kurangnya empat daripada mereka pernah melakukan penculikan di perairan timur Sabah.
Dalam kejadian 11.10 malam Sabtu itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan, dalam serangan hendap oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di Mabul Water Bungalow Resort, Pulau Mabul, Semporna.
Sumber itu juga memberitahu pihak Esscom mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Filipina yang mengarahkan pasukan marinnya mengesan suspek di perairan negara tersebut.
Sementara itu, Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi berkata pasukan keselamatan telah diarah meningkatkan kawalan keselamatan di resort-resort di perairan pantai timur Sabah.
Ditanya mengenai Zakia, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan tiada perkembangan terkini.
Zakia merupakan mangsa culik keempat di Sabah tahun ini.
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata melarikan pelancong wanita warga China dan pekerja wanita warga Filipina dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna.
Sebulan kemudian lima lelaki bersenjata menculik seorang warga China yang juga pengurus syarikat ternakan ikan di dalam sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu.
Ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya diselamatkan. — BERNAMA
Bagikan
Berita Sabah : Serangan di Pulau Mabul Oleh Kumpulan Yang Sama Menculik Sebelum ini
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"