KUCHING: Akibat gagal mengawal tekanan perasaan apabila keluarga mendesak untuk bercerai, seorang lelaki mengambil nyawanya sendiri dengan melompat di hadapan sebuah treler di Jalan Stutong Baru, Kuching semalam.
Menurut isterinya yang enggan namanya disiarkan, suaminya mengajaknya untuk membunuh diri selepas keluarga lelaki itu mahu perkahwinan mereka yang baharu genap dua tahun ditamatkan.
Ketika dia sedang memandu untuk pulang ke rumah di Kampung Lidah Tanah di Bau, katanya, suaminya mahu mereka mati bersama sebelum cuba merebut stereng kereta secara tiba-tiba.
Wanita berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya mengawal kenderaan itu semula, namun suaminya yang dikenal pasti sebagai Baharon Putit memecahkan cermin pintu kereta dan keluar dari kereta tersebut.
Dia kemudian segera memberhentikan kereta tersebut dan cuba mengejar suaminya kerana khuatir dilanggar kenderaan lain.
Bagaimanapun, usahanya gagal meskipun menarik pakaian suaminya pada saat-saat akhir, tatkala suaminya melompat di hadapan sebuah treler dan mati di tempat kejadian.
“Saya cuba menghentikannya (daripada terus berlari) sehingga baju dan seluarnya koyak sehinggalah dia melompat di hadapan (treler) tersebut,” katanya yang menyifatkan insiden sekitar jam 5.15 petang itu berlaku dalam sekelip mata.
Seorang pengguna jalan raya, difahamkan askar yang menyaksikan kemalangan tersebut, cuba membantu mengangkat mayat lelaki tersebut ke dalam kereta sementara menunggu ambulans tiba.
Kakitangan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan lelaki tersebut mati di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan organ dalaman badan.
Wanita itu menambah, tiga hari lepas suaminya yang begitu tertekan membawanya ke sebuah hotel di Padungan dan tidak membenarkannya keluar atau menghubungi sesiapa.
Bagaimanapun semalam, dia berjaya memujuk suaminya untuk pulang ke rumah sebelum lelaki tersebut mengajaknya untuk membunuh diri.
Tanpa sebab diketahui, keluarga lelaki tersebut mendesak agar perkahwinan mereka ditamatkan.
Mereka dijadualkan untuk ke Mahkamah Syariah pada 16 Jun ini bagi memuktamadkan perceraian.
Difahamkan, pasangan tersebut belum mempunyai anak.
Bagikan
Tragedi Cerai
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"