TAWAU, 27 Mei (Bernama) -- Sabah memperoleh RM15.4 juta daripada kerajaan pusat bagi menaik taraf dan membaik pulih sekolah rosak akibat kebakaran dan banjir termasuk 640 sekolah daif, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM5 juta diperuntukkan untuk membaiki sekolah yang rosak akibat kebakaran dan banjir baru-baru ini.
"Jabatan Pendidikan Sabah sudah membuat laporan dan guru besar serta pengetua sudah diarahkan mengenal pasti bahagian sekolah mereka yang perlu dibaiki," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini Selasa.
Musa juga berkata kerajaan negeri akan terus memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi membaiki sekolah-sekolah lain yang mengalami kerosakan.
"Kita perlu jaga sekolah kita seperti kita jaga rumah sendiri kerana sekolah adalah tempat anak-anak kita belajar dan kita perlu pastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk anak-anak kita," tambahnya.
Berkenaan guru, Musa berkata kerajaan negeri akan sentiasa memastikan golongan profesional tersebut terus disokong dan dibantu dalam mendidik dan melahirkan modal insan berguna.
Pada majlis itu, Awang Mohdzar Abdul Samad, 74, anak kelahiran Sindumin, Sipitang dan Aron @ Anifah Warso, 64, dari Kampung Kalampunan, Keningau dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sabah 2014.
Sementara itu pada majlis sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Kota Kinabalu, Musa meminta jabatan itu menggalakkan budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan tenaga pengajarnya.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja membolehkan kaedah serta teknologi pengajaran dan pembelajaran baharu ditemui dan diguna pakai, malah ia juga akan memperkasa lagi mutu pendidikan di negeri ini.
"Perkembangan ini pastinya menuntut para guru bukan setakat mengajar, tetapi juga harus berpandangan jauh, membudayakan kreativiti dan inovasi bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik serta menyeronokkan," kata Musa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Ariffin Arif.
-- BERNAMA
Bagikan
Sabah Terima RM15.4 Juta Untuk Naik Taraf, Baik Pulih Sekolah Daif, Rosak
4/
5
Oleh
admin