27 May 2014

1,296 Pati Ditahan Di Esszone Dalam Ops Gasak Sejak November Lepas

LAHAD DATU, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,296 individu dipercayai pendatang tanpa izin (Pati) ditahan menerusi 17 Ops Gasak yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sejak 24 Nov lepas di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata mereka antara 3,323 individu yang diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, imgresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan, katanya dalam kenyataan, di sini Selasa.

Menurut Abdul Rashid, Esscom akan memperhebat Ops Gasak dalam usaha membersihkan Esszone daripada Pati, sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam menangani masalah pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan di Sabah.

Selain pulau peranginan dan perkampungan pesisir pantai, Abdul Rashid berkata Ops Gasak juga dilancarkan di beberapa pusat menternak ikan di dalam sangkar susulan insiden penculikan di Pulau Baik, berhampiran pekan Lahad Datu pada 6 Mei lepas.

Dalam kejadian itu seorang pengurus syarikat ternakan ikan di dalam sangkar diculik lima lelaki bersenjata yang menaiki sebuah bot.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata 62 Pati termasuk 31 wanita ditahan dalam Ops Gasak 17 di Kampung Lok Bikin, Pulau Sakar, dekat sini semalam.

Katanya operasi itu berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 3.30 petang.

BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

1,296 Pati Ditahan Di Esszone Dalam Ops Gasak Sejak November Lepas
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.