Oleh WILLIE JUDE JUNAIDI
willie@sabahfa.com
willie@sabahfa.com
SELEPAS kemenangan di tempat lawan menentang Negeri Sembilan, Jumaat lalu, Sabah kini tidak mahu lagi menoleh ke belakang malah bertekad untuk terus berusaha bagi mencipta kemenangan demi kemenangan seterusnya merealisasikan impian layak ke Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Sabah tidak memandang mudah cabaran UiTM FC di Stadium Likas malam ini kerana pasukan lawan itu juga dilihat mampu melakukan kejutan seperti mana sewaktu mereka mengikat penduhulu liga, PDRM di tempat lawan, minggu lepas.
Walaupun tanpa kelibat beberapa tonggak utama, Ketua Jurulatih, Milomir Seslija pastinya mempunyai ramuan tersendiri untuk menjinakkan UiTM FC di Likas, malam ini.
TERLEPAS AKSI
Sabah akan turun menentang pasukan lawan itu tanpa perancang utama, Andre Reinaldo Esposito dan Md Redzuan Nawi selepas masing-masing menerima kad merah pada perlawanan menentang Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Selain itu, pasukan yang lebih gemar diberi jolokan Badak oleh peminat itu turut kehilangan khidmat penyerang muda dari Liberia, Jerome Suku Doe kerana masih cedera selain Rozaimi Abdul Rahman yang dikhabar akan menjalani pembedahan buku lalinya yang cedera dalam tempoh terdekat ini.
“Kita banyak kali melalui detik sukar tanpa beberapa pemain sama ada cedera atau digantung tapi kita masih mampu beraksi cemerlang dan berjaya mengatasinya.
“Sama seperti menentang Negeri Sembilan minggu lalu, kita kehilangan beberapa tonggak utama namun kita berjaya menunjukkan satu permainan menarik serta semangat juang yang tinggi…akhirnya kita menang.
YAKIN DENGAN PEMAIN
“Saya yakin dengan pemain saya, sekiranya mereka menunjukkan semangat juang seperti ketika menentang Negeri Sembilan lalu, kita pasti akan meneruskan momentum kemenangan kita,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Padang B, Likas, petang kelmarin.
Milomir berkata, walaupun kehilangan Andre dan Redzuan di bahagian tengah, namun beliau masih mempunyai pilihan lain untuk memantapkan bahagian itu termasuklah Rosdin Wasli dan Didie Arizal.
“Ia memang sukar tetapi kita akan cuba kerana kita mempunyai beberapa pilihan, kita ada Rosdin, Didie, Pocuca (Pedrag) dan Julamri…mereka semua berkebolehan bermain di posisi tengah.
“Rosdin mungkin akan beraksi pada 20 minit terakhir, Pocuca dan Julamri juga boleh bermain di bahagian tengah…kita akan tengok malam esok,” katanya.
KELUARGA BESAR
Sementara itu, beliau berkata suasana dalam pasukan sangat baik dengan semua pihak sentiasa bekerjasama untuk memantapkan pasukan Sabah.
“Kita seperti satu keluarga besar, semua memainkan perana masing-masing dengan baik…pemain, pegawai, media dan juga penyokong, semua menjalinkan kerjasama yang baik,” katanya.
Bagikan
Sabah FA : Tidak Rela Kempunan di gelanggang Sendiri
4/
5
Oleh
admin