25 May 2014

Polis Kota Kinabalu Berkas Lapan Suspek Curi Kenderaan Milik Doktor

KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Polis Bandaraya Kota Kinabalu menahan lapan suspek, seorang daripadanya wanita, kerana disyaki terlibat dalam kes curi sebuah kenderaan pacuan empat roda dari rumah seorang doktor di Bandar Sierra di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata kesemua suspek ialah rakyat tempatan berumur antara 22 hingga 35 tahun dan berjaya diberkas pada 21 Mei lalu, kira-kira pukul 10 malam.

"Suspek pertama ditahan di kawasan Putrajaya, Telipok yang kemudian membawa kepada penahanan tujuh suspek lain di Telipok Ria. Ekoran penahanan itu, kenderaan jenis Ford Ranger yang dicuri berjaya dijumpai semula di kawasan apartmen universiti, pada hari yang sama," kata Jauteh kepada pemberita di sini Jumaat.

Menceritakan kejadian itu, Jauteh berkata suspek disyaki memecah masuk kereta milik doktor wanita berumur 27 tahun itu yang terletak di luar sebuah restoran makanan segera di Jalan Sulaman pada 19 Mei lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, dan melarikan beg tangan doktor berkenaan yang mengandungi dokumen penting dan seberkas kunci .

Berdasarkan alamat yang dijumpai di dalam beg doktor itu, suspek pergi ke rumah mangsa dengan membawa sebuah lori dan melarikan kenderaan jenis Ford Ranger di rumah itu setelah berjaya meyakinkan pengawal keselamatan di kawasan perumahan berkenaan bahawa mereka ialah penarik kereta sebuah bank.

Jauteh berkata pihaknya mengesyaki kumpulan yang bergerak aktif sebulan dua lepas turut terlibat dalam beberapa lagi kes jenayah.

Dalam perkembangan lain, polis Bandaraya Kota Kinabalu menahan enam suspek, dua daripadanya rakyat asing berumur 20-an dan 30-an kerana disyaki terlibat dalam aktiviti judi siber haram.

Kesemua suspek ditahan hasil serbuan pihak polis ke atas lima premis di sekitar Tanjung Aru, Inanam dan Menggatal sepanjang dua minggu lalu bermula pada 5 Mei melalui Ops Dadu.

"Hasil serbuan, kami merampas 98 set komputer bernilai RM196,000 serta wang tunai RM4,700. Bulan lepas kami juga berjaya merampas 100 set komputer melalui beberapa operasi. Bagaimanapun, judi siber haram ini tidak ada kaitan dengan bola sepak Piala Dunia bulan hadapan," kata Jauteh.



-- BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

Polis Kota Kinabalu Berkas Lapan Suspek Curi Kenderaan Milik Doktor
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.