Kuala Lumpur: Kumpulan Wings membuat laporan di Balai Polis Melawati, di sini, kira - kira jam 7.30 malam tadi berikutan lagu daripada album baharu mereka, Menakluk Kosmos dicetak rompak tiga hari sebelum majlis pelancaran, semalam.
Vokalisnya, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata mereka sudah muak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri karya muzik untuk jalan mudah selain mendesak pihak berkaitan urusan pemasaran dan pengedaran album itu turut serius menangani isu berkenaan.
"Kami bukan menyalahkan KRU Music Group (KMG) mahu pun Sony di atas isu ini tetapi tiada tindakan susulan diambil walaupun sudah melaporkan empat lagu baru kami dimuat turun secara percuma pada 17 Mei kepada pihak pengurusan kami.
"Hinggalah hari pelancaran seakan tiada maklum balas. Laporan ini sebagai bukti kami bertegas memastikan album yang kami hasilkan selepas lebih 13 tahun tanpa album baru tidak dicuri begitu saja," katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Awie ditemani anggota Wings lain iaitu Joe, Black dan Eddie ketika membuat laporan polis.
Terdahulu, mereka meluahkan kekecewaan selepas lagi berjudul Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia serta Bisa Yang Tertunda yang dilancarkan lebih awal di iTunes untuk tujuan dimuat turun percuma tanpa kawalan.
Lebih pelik apabila sebuah lagu yang belum dilancarkan, Hey Lihat Sini yang sepatutnya akan digunakan sebagai lagu runut bunyi sebuah filem terbitan KRU turut mudah dimuat turun.
Kali terakhir kumpulan rock itu menerbitkan album ialah pada 2002 dengan Naga Keramat.
Wings yang hampir tiga dekad berada dalam industri muzik bernaung di bawah KMG sejak Julai 2012 demi album Menakluk Kosmos selepas mengakui tertarik dengan strategi promosi serta pasaran syarikat terbabit.
-Berita Harian-
Bagikan
Kumpulan Wings buat laporan polis lagu album baharu dicetak rompak
4/
5
Oleh
admin