26 May 2014

Akta Perlindungan Data Peribadi

Jangan pandang remeh penyalahgunaan data peribadi seseorang: Shabery

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penguatkuasaan Akta Pelindungan Data Peribadi (APDP) 2010 pada November tahun lepas bertujuan memastikan semua pihak menghormati hak peribadi individu.

Beliau berkata semua pihak tidak harus memandang remeh kepada penyalahgunaan data peribadi seseorang untuk tujuan komersil kerana mereka bakal berhadapan tindakan undang-undang.

“Setiap orang yang tidak berpuas hati boleh bertindak mengikut akta ini…hal peribadi seseorang yang tidak boleh didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2014 di Lintasan Deasoka, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata tindakan pelakon terkenal Hanez Suraya dan teman lelakinya menyaman Malaysia Airlines (MAS)

mengikut akta itu menjadi kes ujian kepada pelaksanaan akta itu bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam.

“Saya percaya ini kes yang menarik dan menjadi ‘test case’ (kes ujian) kepada APDP 2010 di mana setiap syarikat yang mempunyai dan memiliki data tidak boleh benarkan data itu bocor terutama melibatkan soal perkara yang tidak digemari orang lain,” katanya.

Ahmad Shabery mengulas tindakan Hanez Suraya atau nama penuhnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, dan teman lelakinya, Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, memfailkan saman terhadap MAS pada Khamis lepas kerana mendakwa petugas syarikat penerbangan itu menyebarkan keratan tiket penerbangan mereka ke Bangkok, Thailand di laman sosial pada bulan lepas.

Pasangan itu mendakwa tindakan MAS dan/atau petugasnya mendedahkan keratan tiket penerbangan berkenaan di laman sosial adalah tidak beretika serta melanggar APDP 2010.

Ahmad Shabery berkata semua pihak perlu menghormati dan melindungi hak peribadi seseorang itu termasuk tidak boleh mendedahkan maklumat penghuni di sesebuah hotel serta nombor pengguna telefon mudah alih kepada pihak lain.

APDP 2010 berkuat kuasa 15 Nov 2013 khusus bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersil.

Turut hadir pada majlis semalam ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Joachim Gunsalam, Pengarah Penyiaran Sabah Abdul Jalani Mahmud dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Almain Ajirul. — Bernama


Bagikan

Jangan lewatkan

Akta Perlindungan Data Peribadi
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.