Consumers Front of Sabah (Cfos) atau Persatuan Barisan Pengguna Sabah adalah sebuah Badan NGO yang memperjuangkan nasib para pengguna yang telah terpedaya, tertipu dan seterusnya mendidik pengguna agar menjadi pengguna yang bijak baru-baru ini telah menganjurkan Seminar Pemerkasaan Pendidikan Pengguna selama dua hari di daerah Kota Marudu dan Pitas yang terletak di sebelah utara negeri Sabah dengan kerjasama KPDNKK, COPS Sabah, Radio Online Sabah Utara.Fm (Radio Online Rasmi Cfos) yang boleh dilayari di www.utarafm.net dan disokong oleh komuniti facebook 1SABAH dan Saya Anak Sabah (SAS).
Program seumpama ini adalah buat julung kalinya diadakan di dua daerah ini dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat. Pada 18 Mac 2014 Seminar Pemerkasaan Pendidikan Pengguna diadakan di daerah Kota Marudu yang dirasmikan oleh ADUN Tandek Y.B Puan Anita Baranting. Selepas acara perasmian pembukaan oleh Y.B Puan Anita Baranting yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, beliau seterusnya memperkenalkan logo rasmi 'Saya Pengguna Bijak' yang digunakan Cfos sepanjang Kempen Pemerkasaan Pendidikan Pengguna berlangsung.
Seminar yang disampaikan oleh 3 orang penceramah yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas tentang kepenggunaan berjaya menarik perhatian para peserta yang mengikuti seminar ini. Hampir keseluruhan peserta tidak menyedari hak-hak mereka sebagai pengguna. Ketika sesi soaljawab diadakan, para peserta tidak melepaskan peluang untuk bertanya segala kemusykilan mereka. Antara penceramah yang hadir adalah Encik Abdul Rahman Samad, Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kuala Terengganu yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara, Encik Kasim Anak Mana dan Encik Asiki Tarimoh dari KPDNKK Negeri Sabah.
Seterusnya pada 19 Mac 2014 acara yang sama diteruskan di Daerah Pitas yang dirasmikan oleh ADUN Pitas Y.B Datuk Bolkiah Hj Ismail, Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah. Dalam ucapannya beliau mengingatkan kepada semua peserta agar dapat memberi perhatian pada seminar yang diadakan pada kali ini. Selain ceramah, kuiz juga diadakan untuk setiap sesi ceramah bagi menguji kefahaman para peserta dan kepada mereka yang menjawab soalan dengan tepat akan mendapat hadiah. Cabutan nama peserta bertuah juga diadakan untuk setiap sesi dan pelbagai hadiah yang menarik termasuk basikal dan telefon pintar (smartphone) berjenama Samsung disumbangkan oleh Cfos.
Presiden Consumers Front of Sabah (Cfos), Datuk Nordin Bin A.H Thani ketika dihubungi memberitahu kepada Utara.FM, program seumpama ini akan diteruskan di daerah lain seperti Tenom, Keningau, Tuaran, Papar dan Ranau. Tarikh akan dimaklumkan kemudian dan untuk mengetahuinya boleh cari Cfos di facebook atau mendengar www.utarafm.net di mana penyampai yang bertugas akan mewar-warkan kepada anda melalui kuiz pendengar yang diadakan setiap hari Jumaat dan Sabtu pada jam 8.00- 10.00 malam.
Bagikan
Kesedaran Pengguna Melalui Program Seminar Pemerkasaan Pendidikan Pengguna
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"