Showing posts with label Safety. Show all posts
Showing posts with label Safety. Show all posts

17 Jun 2014

KES SABAH : PDRM, ATM DIMINTA PANTAU ANGGOTA SENDIRI ELAK JADI TALI BARUT MILITAN

KUALA LUMPUR, (17 Jun)– Kementerian Dalam Negeri meminta Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dengan bantuan agensi-agensi perisikan peringkat antarabangsa memantau anggota masing-masing bagi mengelak wujudnya tali barut militan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana ‘orang dalam’ yang menjadi tali barut dikhuatiri menyalurkan maklumat risikan bagi aktiviti militan.

“Contoh kes terbaharu penangkapan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sandakan, Sabah yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan.

“Ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah seorang anggota polis Cawangan Khas ditangkap kerana dipercayai memberi maklumat dalaman,” katanya selepas program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk ‘Cabaran Keselamatan Negara’ di Wisma Bernama di sini, Isnin malam.

Ahmad Zahid berkata pemantauan dan risikan dalam kalangan anggota pasukan keselamatan bertujuan mengelakkan kemungkinan adanya ‘musuh dalam selimut’.

Mengulas mengenai kadar jenayah terancang, beliau berkata terdapat penurunan antara 10 hingga 12.3 peratus, malah tahap keyakinan masyarakat terhadap polis juga meningkat kepada 19 peratus berdasarkan kajian syarikat perunding global Frost & Sullivan.

“Bagaimanapun pasukan keselamatan masih menghadapi kekangan dari segi anggota dan aset. Contohnya, di negara maju seorang anggota polis menjaga kira-kira 350 individu tetapi di negara ini secara puratanya seorang anggota polis menjaga kira-kira 3,600 orang penduduk,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tugas membanteras jenayah dapat dilaksanakan jika masyarakat bekerjasama dan menganggotai badan-badan sukarela seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), program kepolisan masyarakat, Askar Wataniah dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).—BERNAMA
Baca selengkapnya

21 May 2014

LOKASI “SEA-BASING” SESUAI ANTARA PERAIRAN KUDAT DAN TAWAU

KUALA LUMPUR, (19 Mei) — Lokasi pertengahan laut antara Kudat dan Tawau sesuai dijadikan pusat operasi di tengah laut atau dikenali Sea-Basing bagi mempertingkatkan pertahanan dan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

Bekas Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Kamis Daming berkata lokasi itu sesuai untuk ditempatkan pelbagai kelengkapan seperti radar, helikopter, bot peronda dan bot pemintas.

“Lokasi pertengahan antara Kudat dengan Tawau sesuai untuk dijadikan sebagai Sea-Basing, yang menempatkan pelbagai kelengkapan seperti radar, bot-bot peronda, bot-bot pemintas dan helikopter,” cadangnya ketika dihubungi Bernama.

Sistem Sea-Basing, iaitu penempatan aset ketenteraan di tengah lautan, berkeupayaan memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat.

Kamis juga mengesyorkan kerajaan segera mewujudkan pusat operasi tengah laut itu ekoran insiden penculikan dan pencerobohan pihak pengganas di kawasan pantai timur Sabah.

Pada 9 Mei lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

Cadangan itu dibuat berikutan kes penculikan seorang warga China Yang Zai Lin, 34, yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat penternakan ikan, di Pulau Baik, Lahad Datu, oleh lima lelaki bersenjata pada 6 Mei.

Terdahulu pada 2 April, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata melarikan seorang pelancong wanita warga China, Gao Hua Yuan, 29 dan seorang pekerja wanita warga Filipina, Marcy Dayawan, 40 dari sebuah pusat peranginan di Pulau Singgahmata, Semporna.

Baca selengkapnya

20 May 2014

PAIRIN CADANG ESSCOM TUBUH SKUAD ANTIPENCULIKAN

KOTA KINABALU,(19 Mei) — Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mewujudkan skuad antipenculikan. bagi memerangi jenayah merentasi sempadan tersebut di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata pengwujudan skuad itu bagi menangani kejadian penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang sudah berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan ini.

“Dalam hal ini, saya merayu kepada kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pemberian atau penghantaran aset terutama bot, radar dan helikopter ke kawasan berisiko tinggi di ESSZone,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan dialog ESSCom bersama komuniti Kadazandusun Murut (KDM) di Wisma Dang Bandang di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata penambahan anggota keselamatan dan pembinaan pos kawalan serta kem batalion yang dijanjikan perlu dilaksanakan segera.

“Pada masa sama, semua pihak termasuk masyarakat KDM perlu berganding bahu untuk membantu kerajaan dalam menangani isu keselamatan yang menjadi tanggungjawab bersama, bukan semata-mata dipikul oleh pasukan keselamatan dan pertahanan negara,” kata Pairin.

Berhubung kejadian penculikan terbaharu di Pulau Baik, Lahad Datu, katanya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang seperti lawatan menteri berkaitan termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke lokasi kejadian.

“Dalam hal ini, saya percaya ESSCom masih relevan tetapi perlu bekerja keras untuk mencari jalan terbaik dalam menangani isu pencerobohan pengganas Sulu dan jenayah rentas sempadan dan saya berharap rakyat Sabah khususnya komuniti KDM bersikap terbuka dan rasional terhadap ancaman keselamatan di ESSZone dan terus menaruh keyakinan penuh kepada kerajaan dalam membela nasib terutama aspek keselamatan,” katanya.
Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin tertinggi) bagi masyarakat KDM yakin ESSCom yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Mentek akan memperkasakan organisasi dan ESSCom akan mencipta kejayaan di masa depan terutama menangani masalah penculikan di ESSZone.

Beliau turut mengalu-alukan penganjuran program dialog itu yang bertepatan bagi menyemarakkan semangat patriotitik dan cinta kepada negara selepas peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu awal tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Radin menyifatkan sesi dialog dan taklimat yang disampaikan Ketua Pengarah ESSCom Datuk Mohammad Mentek cukup memberikan informatif dan program seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan dan pengetahuan lebih kepada seluruh masyarakat khususnya di Sabah.—BERNAMA
Baca selengkapnya

19 May 2014

PASUKAN ESSCOM TAHAN 72 PENDATANG TANPA IZIN DEKAT TANDUO

LAHAD DATU: Seramai 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak 9 yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Sinakut Lama, berhampiran Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh Sulu, awal hari ini.
Pengarah Pertahanan ESSCOM Mejar Jen Datuk Masrani Paiman berkata kesemua mereka termasuk 12 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan.
Berbeza dengan lapan Ops Gasak sebelum ini,  beliau berkata Ops Sinakut lama diketuai pegawai pemerintah (6 RAMD ) LT Kol Muhammad Fauzi yang dilancarkan selama dua jam bermula pukul 6 pagi itu hanya disertai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ops Sinakut lama (atau Ops Gasak 9) ini yang saya sifatkan sebagai operasi kerangka (framework operation) dilakukan ke atas sasaran yang dikenal pasti semasa ATM membuat rondaan rutin.
“Kita telah memeriksa sebanyak 54 rumah di kampung Sinakut lama dan seterusnya menahan 70 orang kerana tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Masrani  berkata anggota ATM dan PDRM turut menangkap dua orang PATI  di Kampung Sungai Bilis, berdekatan Kampung Sinakut lama pada kira-kira pukul 9.55 pagi.
Beliau berkata Ops Gasak itu akan diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSCOM), bertujuan membersihkan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) daripada pendatang tanpa izin.
ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.


Baca selengkapnya