20 May 2014

PAIRIN CADANG ESSCOM TUBUH SKUAD ANTIPENCULIKAN

KOTA KINABALU,(19 Mei) — Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mewujudkan skuad antipenculikan. bagi memerangi jenayah merentasi sempadan tersebut di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata pengwujudan skuad itu bagi menangani kejadian penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang sudah berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan ini.

“Dalam hal ini, saya merayu kepada kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pemberian atau penghantaran aset terutama bot, radar dan helikopter ke kawasan berisiko tinggi di ESSZone,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan dialog ESSCom bersama komuniti Kadazandusun Murut (KDM) di Wisma Dang Bandang di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata penambahan anggota keselamatan dan pembinaan pos kawalan serta kem batalion yang dijanjikan perlu dilaksanakan segera.

“Pada masa sama, semua pihak termasuk masyarakat KDM perlu berganding bahu untuk membantu kerajaan dalam menangani isu keselamatan yang menjadi tanggungjawab bersama, bukan semata-mata dipikul oleh pasukan keselamatan dan pertahanan negara,” kata Pairin.

Berhubung kejadian penculikan terbaharu di Pulau Baik, Lahad Datu, katanya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang seperti lawatan menteri berkaitan termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke lokasi kejadian.

“Dalam hal ini, saya percaya ESSCom masih relevan tetapi perlu bekerja keras untuk mencari jalan terbaik dalam menangani isu pencerobohan pengganas Sulu dan jenayah rentas sempadan dan saya berharap rakyat Sabah khususnya komuniti KDM bersikap terbuka dan rasional terhadap ancaman keselamatan di ESSZone dan terus menaruh keyakinan penuh kepada kerajaan dalam membela nasib terutama aspek keselamatan,” katanya.
Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin tertinggi) bagi masyarakat KDM yakin ESSCom yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Mentek akan memperkasakan organisasi dan ESSCom akan mencipta kejayaan di masa depan terutama menangani masalah penculikan di ESSZone.

Beliau turut mengalu-alukan penganjuran program dialog itu yang bertepatan bagi menyemarakkan semangat patriotitik dan cinta kepada negara selepas peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu awal tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Radin menyifatkan sesi dialog dan taklimat yang disampaikan Ketua Pengarah ESSCom Datuk Mohammad Mentek cukup memberikan informatif dan program seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan dan pengetahuan lebih kepada seluruh masyarakat khususnya di Sabah.—BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

PAIRIN CADANG ESSCOM TUBUH SKUAD ANTIPENCULIKAN
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.