Showing posts with label Hutan Simpan Sabah. Show all posts
Showing posts with label Hutan Simpan Sabah. Show all posts

16 Jul 2014

PEMULIHARAAN HUTAN SIMPAN ULU SEGAMA MALUA JADI MODEL UNESCO

Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang didiami lebih 1,000 ekor Orang Utan


KOTA KINABALU, (15 Julai) — Projek pemuliharaan Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang didiami lebih 1,000 ekor Orang Utan, iaitu yang terbanyak di Malaysia, telah dijadikan model konservasi hutan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata semua aktiviti pembalakan di kawasan itu dihentikan pada 2007 untuk memberi laluan kepada penubuhan santuari Orang Utan.

Kerajaan kehilangan pendapatan berbilion ringgit sebagai kesan projek ini namun kerajaan negeri tidak akan berganjak daripada pelaksanaan dasar ini demi masa depan hutan simpan dan hidupan liar Sabah, katanya menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (BN-Kiulu) di Dewan Undangan Negeri, di sini, Selasa.

Musa berkata projek pemuliharaan yang meliputi kawasan seluas 240,000 hektar itu hanya sebahagian daripada pelbagai inisiatif konservasi yang dilaksana oleh kerajaan Sabah seiring dengan komitmen Malaysia mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan.

Usaha lain ialah ‘Kinabatangan Corridor of Life’ (K-Kol) yang melibatkan pemuliharaan riparian sungai seluas 150,000 hektar dengan dana daripada pihak swasta, katanya.

Musa berkata inisiatif lain ialah Pemuliharaan Lower Kinabatangan dan Segama Wetlands atau tapak Ramsar yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 79,000 hektar, Trusmadi Conservation Area (74,736 hektar), Danum Valley Conservation Area (43,800 hektar), Maliau Basin Conservation Area (105,443 hektar) dan Imbak Canyon Conservation Area (30,000 hektar).

“Pewartaan Hutan Simpan Gunung Rara sebagai kawasan perlindungan, mewujudkan jalinan hubungan Maliau, Imbak, Malua-Ulu Segama dan Danum sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya dengan keluasan lebih 500,000 hektar, iaitu yang terbesar di Malaysia,” katanya.

Selain itu Musa berkata Sabah juga merancang untuk meningkatkan keluasan kawasan dilindungi sepenuhinya daripada 1.35 juta hektar kepada 2.1 juta hektar atau 30 peratus daripada kawasan hutan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya kerajaan negeri Sabah melalui Jabatan Perhutanan, sedang mengenal pasti beberapa kawasan untuk diwartakan atau dikelaskan semula menjadi Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dan seterusnya meningkatkan keluasan kawasan Hutan Simpan Kelas 1 kepada sejuta hektar pada tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Wilfred Bumburing (PKR-Tamparuli), Musa berkata pendapatan kerajaan negeri Sabah menerusi royalti pembalakan telah menurun daripada RM1 bilion setahun kepada RM100 juta. — BERNAMA
Baca selengkapnya