10 Jul 2014

Berita Sabah : Syabu 2KG DiRampas

Berita Sabah : Syabu 2KG DiRampas

KOTA KINABALU: Tidak sampai 15 hari, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan seorang lagi warganegara China kerana didapati membawa bagasi berisi dadah syabu bernilai lebih RM400,000 di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Ahad lalu.

Suspek, wanita berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan penguatkuasa Kastam selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dan lebih pelik, dia dikatakan sedang membawa beg bagasi berwarna merah jambu, jenis sama seperti tangkapan terdahulu.

Hasil pemeriksaan lanjut, satu bungkusan berisi hablur putih dipercayai methamphetamine atau syabu seberat 2 kilogram yang disembunyi dalam ruangan khas beg itu berjaya ditemui.

Pengarah JKDM Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, ia adalah hasil ketangkasan anggota yang berjaya mengesan suspek di perkarangan tempat pemeriksaan di situ.

“Seperti kes terdahulu pada 22 Jun lepas, suspek kali ini turut menggunakan modus operandi yang sama iaitu dengan menyembunyikan dadah dalam beg bagasi.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek baharu sahaja tiba dari Hong Kong ke negeri ini kira-kira jam 11.25 malam dengan menaiki penerbangan AirAsia.

“Bagaimanapun, hasil ketangkasan pihak Kastam, kita berjaya menghidu pergerakan suspek dan menahannya sebelum berjaya menemui dadah dalam beg dimiliki oleh suspek ketika itu,” katanya sambil menambah, dadah terbabit dianggar bernilai RM433,000.

Terdahulu, dalam tangkapan pertama pada 22 Jun lalu, seorang wanita warga China berusia 21 tahun ditahan di Terminal Dua LTAKK kerana didapati membawa syabu seberat 4.8kg, yang turut disembunyikan dalam beg bagasi.

Dalam kejadian berkenaan, suspek dikatakan baru sahaja tiba di terminal berkenaan dari Hong Kong kira-kira jam 10.50 malam.

Mengulas lanjut, Janathan berkata pihaknya masih melakukan siasatan lanjut sama ada kedua-dua suspek yang ditahan setakat ini mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa ataupun ‘keldai’ kepada musuh nombor satu negara itu.

“Setakat ini, pihak Kastam masih dalam proses mengumpul maklumat dan siasatan terhadap kedua-dua kes berhubung rampasan dadah itu memandangkan terdapat trend serta modus operandi sindiket dadah dengan menjadikan lapangan terbang atau mana-mana pintu masuk sebagai sasaran penyeludupan,” katanya.

Suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut sementara bahan rampasan kini disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Janathan berkata pihak Kastam menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau berbuat aduan di mana-mana pejabat berdekatan.

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Syabu 2KG DiRampas
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"