19 Jun 2014

Berita Sabah : Selamatkan Tanah Sugut - Dimiliki Oleh Syarikat Besar

SUGUT: Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib meminta kerajaan negeri menyelamatkan tanah-tanah di kawasan Sugut yang kini kebanyakannya dimiliki oleh syarikat-syarikat besar.

Beliau meminta kerajaan mengkaji semula cara syarikat-syarikat itu mendapatkan tanah-tanah ini sehingga turut mencerobohi tanah milik penduduk tempatan yang sudah mendiminya sejak berpuluh tahun lalu.

“Saya meminta kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur membatalkan kelulusan yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang memasuki kawasan tanah adat milik penduduk kampung,” katanya ketika meninjau masalah kemudahan asas dan tanah di Kampung Lakang Paitan, dekat sini.

“Ini bukan masalah baharu tetapi sudah lama dihadapi okeh rakyat dan saya tidak akan mengetepikan masalah ini dan ia akan menjadi keutamaan kepada saya selaku wakil rakyat,” katanya.

Beliau meminta kerajaan memindahkan kelulusan syarikat-syarikat besar ini ke kawasan lain..

“Saya juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat syarikat-syarikat yang melabur di Sugut dalam bidang perladangan ini kerana cara pengambilan tanah mereka untuk kawasan pembukaan ladang amat meragukan,” katanya.

Beliau berkata masalah yang dihadapi oleh rakyat itu harus tidak dibiarkan berpanjangan dan amat perlu untuk diselesaikan.

James berkata masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Lokang tidak jauh berbeza dengan apa yang dihadapi oleh penduduk kampung lain dalam DUN Sugut.

Menurut beliau di Kampung Lakang saja kira-kira 200 hakter tanah yang didiami oleh penduduk kampung sejak tahun 70an lagi telah diceroboh oleh syarkat-syarikat besar ini.

“Saya meminta syarikat-syarikat besar ini mengeluarkan tanah-tanah yang sudah ditanam dan diusahakan oleh penduduk kampung dengan pelbagai tanaman ini dikeluarkan dari kawasan mereka,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan negeri supaya membatalkan serta merta lot-lot terancang sebaliknya menggantikannya dengan Geran Komunal kerana semua lot-lot terancang itu sudah habis dijual kepada syarikat-syarikat besar oleh broker-broker tanah tanpa disedari oleh penduduk yang mengusahakannya.

“Saya meminta kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur menarik balik pemberian geran, RSP ataupun SP yang sudah diluluskan kepada lot-lot terancang ini di Sugut kerana tanah-tanah itu bukan lagi milik orang kampung sebaliknya menjadi milik syarikat-syarikat persendirian atau pun swasta,” kata James.

Katanya, usaha juga terus dilakukan untuk membangunkan DUN Sugut yang turut meletakkan masalah itu sebagai keutamaan selain pendidikan.

Menurutnya, sudah tentu rakyat tidak akan dapat menikmati kemajuan atau pembangunan yang dilaksanakan jika mereka terus dibiarkan dengan masalah itu.

“Saya akan terus berusaha bagi memastikan masalah itu mampu diatasi dan tidak terus membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata masalah rakyat Sugut telah pun dikemukakan kepada barisan kepimpinan kerajaan.

Malah, katanya, perkara itu juga ditimbulkan pada Sidang DUN yang lalu.

Turut serta pada sesi turun padang itu Pegawai dari Jabatan Tanah dan Ukur, Dennis; Penolong Pemungut Hasil Daerah, Roger Apolonius; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sugut, Jali Ating dan para pemimpin tempatan yang lain.

SABAHTIMES

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Selamatkan Tanah Sugut - Dimiliki Oleh Syarikat Besar
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"