12 May 2014

Enam suspek ditahan susulan penangkapan penyeludup minyak

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan enam lagi suspek awal hari ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga penyeludup petrol yang ditahan berhampiran perairan Pulau Berhala, Sandakan malam kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua suspek lelaki yang mempunyai dokumen dan tidak berdokumen itu berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di sebuah kampung di Sandakan pada kira-kira jam 1 pagi.

“Siasatan awal dipercayai mereka adalah penyeludup minyak dari Pulau Bakungan Besar, Filipina,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Golf bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah sempena Hari Polis ke-207 Kontinjen Sabah di Karambunai dekat sini, semalam.
Beliau berkata semasa serbuan itu polis turut merampas telefon bimbit, tong-tong minyak kosong dan wang tunai bernilai kira-kira RM50,000.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, 13 anggota Platun Tiger, Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki dua bot yang sedang meronda di perairan antara Pulau Berhala dan Tanjung Aru terserempak sebuah bot laju menggunakan enjin 200 kuasa kuda yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka berhampiran perairan Pulau Berhala.

Dua daripada suspek itu berbangsa Suluk iaitu seorang memiliki kad pengenalan berumur 53 tahun, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen berusia 40 tahun.

Beliau berkata semasa kejadian, anggota-anggota PGA terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara setelah suspek-suspek enggan memberhentikan bot berkenaan sehingga pasukan PGA terpaksa mengejar mereka.

“Ekoran itu, salah seorang daripada mereka (suspek) mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sandakan manakala dua lagi rakannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan,” katanya.

Sementara itu, katanya seorang anggota PGA mengalami kecederaan ringan dilaporkan stabil di dalam kejadian itu.

Hamza berkata kes disiasat dibawah Sekyen 280 Kanun Keseksaan kerana melibatkan perlanggaran bot dan pihaknya berkemungkinan menyiasat kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. — Bernama


Bagikan

Jangan lewatkan

Enam suspek ditahan susulan penangkapan penyeludup minyak
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"