Semasa : Wanita Lapor Polis, Rakan Gemar Hantar Mesej Lucah
Gemar Hantar Mesej Lucah
MIRI: Geram dengan tindakan kawan yang gemar menghantar mesej lucah melalui sistem pesanan ringkas (SMS), seorang wanita nekad membuat laporan polis di Balai Polis Pusat (CPS) di sini semalam.
Menurut pengadu berusia 25 tahun, dia kenal dengan penghantar mesej tersebut kerana mereka pernah tinggal serumah semasa menuntut di sebuah universiti swasta di Kuching.
Pengadu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia mula menerima pesanan berunsur lucah melalui SMS sejak menamatkan pengajian pada November 2012.
“Kami pernah tinggal serumah kira-kira dua tahun lebih dan tidak menyangka dia sanggup menghantar mesej seperti itu. Dia seorang yang normal sehinggalah saya tamat pengajian dan pulang ke Miri,” katanya di sini semalam.
Menurut pengadu, dia pernah memberi amaran agar tidak menghantar mesej seumpama itu namun tidak diperdulikan.
“Sebelum ini, saya mengambil langkah berdiam diri kerana memikirkan dia adalah kawan saya dan dia tidak selalu menghantar mesej seperti itu.
“Namun, saya terpaksa membuat laporan polis kerana dia menggunakan nama saya untuk menghantar mesej tersebut kepada kawan-kawan yang lain. Tindakan tersebut menjatuhkan maruah saya,” kata pengadu sambil menambah kawan-nya itu menggunakan nombor telefon berbeza untuk mengelak perbuatannya diketahui.