Seorang anggota forensik menjalankan kerja-kerja pemeriksaan di bahagian belakang bot dinaiki mangsa |
KOTA KINABALU: Dua nelayan warga Vietnam parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di perairan Pulau Banggi, Kudat pagi Selasa lalu.
Insiden berlaku jam 9 pagi itu mengakibatkan juragan, Nguyen Nain Len, 47, mengalami kecederaan di bahagian bawah ketiak kirinya manakala awak-awak bot, Huynh Thank Tuan, 33, cedera di lutut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Terdahulu dalam kejadian berkenaan, dua mangsa bersama lapan lagi rakannya sedang memukat ikan di perairan berhampiran antara Kagayan, Filipina dan Pulau Bangi, Kudat.
Bagaimanapun tidak semena-mena, salah seorang daripada mangsa terlihat sebuah bot pancing dinaiki kira-kira empat individu yang lengkap bersenjata cuba menaiki bot dinaiki mereka.
Tanpa berlengah, tekong bot itu kemudiannya bergegas ke bahagian kemudi bot itu lalu bertindak menghidupkan enjin untuk melarikan diri.
Berang dengan kejadian itu, salah seorang suspek kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot terbabit sebelum terkena dua mangsa berkenaan.
Kumpulan nelayan itu kemudiannya berjaya menyelamatkan diri sebelum ditemui di Pulau Sepanggar, dekat sini kira-kira jam 9 pagi kelmarin oleh sepasukan anggota keselamatan lalu dibawa ke Pangkalan Polis Marin Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Salah seorang awak-awak bot yang terselamat dan dikenali sebagai Leong, 47, ketika menceritakan detik cemas itu berkata, mereka hanya mendengari bunyi tembakan bertalu-talu ke arah bot sebelum menyedari dua rakan mereka dalam keadaan berlumuran darah.
“Pada mulanya saya tidak tahu rakan kami terkena tembakan dan hanya mengetahui sebaik terdengar mereka menjerit mengerang kesakitan.
“Tanpa berfikir panjang kami terus menyelamatkan diri sehinggalah berjaya berlabuh di belakang Pulau Sepanggar dan meminta pertolongan sebaik ketibaan polis,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman dalam kenyataannya di sini kelmarin mengesahkan insiden itu.
“Berdasarkan maklumat awal, kumpulan nelayan itu telah memasuki di kawasan perairan Filipina bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan.
“Suspek dipercayai berasal dari negara jiran dan motif awal kejadian ini adalah rompakan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh,” katanya.
UTUSAN BORNEO
- Model TERBARU Paling 'Meletup' Abad Ini -
Bagikan
Berita Sabah : Nelayan Vietnam Parah Terkena Tembakan Di Perairan Pulau Banggi, Kudat
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"