SELEPAS berehat hampir dua minggu, pasukan Sabah kembali menjalani latihan di Stadium Likas dengan dikendalikan Justin Ganai yang memangku jawatan ketua jurulatih ketika ini.
Walaupun masih ada beberapa pemain yang masih bercuti, namun sebilangan besar pemain skuad senior turun untuk berlatih bagi mengekalkan kecergasan mereka dalam menghadapi musim baharu, tahun depan.
Selain pemain dari skuad utama, latihan yang bermula jam 4.30 petang itu turut dihadiri beberapa pemain dari skuad Piala Presiden dan Cebagoo FC yang dipercayai cuba mengintai peluang diserapkan ke pasukan utama negeri musim depan.
Antara pemain daripada pasukan Piala Presiden yang menyertai latihan termasuk Jenius Karib, Azizan Nordin, Rusmanizam Roseland, Billy Doliente dan beberapa lagi.
Manakala Abdul Taufiq Haq, Mohd Ahzuan Aman Khan, Razlan Oto serta penjaga gol Usman Baloon merupakan antara pemain Cebagoo FC yang menjalani latihan.
Selain Justin, tenaga jurulatih lain yang turut membantu pada sesi latihan berkenaan ialah Burhan Ajui, Dusan ‘Dule’ Momcilovic, Mohd Noor @ Francis, Jelius Ating, dan Andrew Majanggim.
Justin ketika ditemui berkata, sesi latihan berjalan lancar walaupun sebilangan besar pemain menjalani ibadah puasa.
“Saya memuji sikap para pemain khususnya pemain muda yang menunjukkan kesungguhan pada sesi latihan ini walaupun berpuasa,” katanya.
Sementara itu, beberapa jurulatih dikhabarkan berada dalam radar Sabah bagi menggalas tugas sebagai pengendali pasukan pada musim depan.
Nama-nama berkenaan bagaimanapun masih dirahsiakan kerana difahamkan usaha untuk mendapatkan khidmat jurulatih terbabit masih dalam proses awal.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan beberapa jurulatih tempatan berpengalaman kini berada dalam senarai berkenaan selain beberapa calon jurulatih import lain termasuk seorang bekas bintang Liga Perdana Inggeris yang dikatakan berminat untuk menggalas tanggungjawab itu.
Kredit - Willie Jude Junaidi PORTAL SABAHFA
Bagikan
Sabah FA : Kini Kembali Menjalani Latihan
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"