11 Jul 2014

Perkongsian : Tabiat Seharian Pengaruhi Kecantikan

Kesihatan
Ada wanita cukup cerewet dalam soal penjagaan kecantikan. Kemunculan satu bintik kecil di muka boleh mengundang duka di hati mereka. Namun sedarkah anda kecantikan tidak hanya pada muka, tetapi skopnya lebih luas membabitkan fizikal dan spiritual.

Ada banyak faktor lain yang turut mempengaruhi kecantikan seseorang khususnya gaya hidup. Gaya hidup kurang sihat dan tidak aktif menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan kesihatan yang secara tidak langsung turut menjejaskan kecantikan. Antara tabiat harian yang boleh mempengaruhi kecantikan ialah: 


• Merokok 

Merokok tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kita sama ada si perokok sendiri atau orang di sekelilingnya. Merokok sebenarnya cara terbaik untuk mendapatkan kedutan pada kulit muka khususnya di sekitar mulut dan tepi mata. Tidak kira berapa mahal pun krim antipenuaan yang anda gunakan, ia tetap tidak dapat melawan kesan asap rokok.



• Tidak memakai kaca mata pelindung suria 

Ada orang menganggap kaca mata pelindung suria atau kaca mata hitam hanya dipakai ketika cuaca panas. Anggapan ini kurang tepat kerana fungsi sebenar kaca mata hitam adalah untuk melindungi mata daripada sinaran ultra lembayung A dan B (UVA dan UVB). Walaupun pada hari yang agak suram, sinar UV tetap ada kerana ia boleh menembusi lapisan awan dan sampai ke kulit kita. 

Memakai kaca mata hitam juga dapat mengelakkan kita daripada mengecilkan mata yang akan turut menyebabkan kulit di hujung mata berkedut. Carilah kaca mata hitam yang memberikan perlindungan UV paling baik mengikut kemampuan poket anda. 


• Tidak minum air secukupnya 

Sudah lali agaknya kita dengan nasihat minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Malah, ada juga pihak yang mempertikaikan jumlah itu kerana menyifatkannya terlalu banyak. Biar apapun dakwaan mereka, satu perkara yang perlu diingat ialah memastikan badan kita cukup air. 

Minum air secukupnya bukan saja akan mengekalkan hidrasi, malah membuatkan kita berasa lebih sihat. Ia juga cara terbaik untuk menyingkirkan semua toksin yang ada dalam badan setiap hari. 


• Tidak memakai tabir suria 

Ramai wanita hanya menyapukan krim tabir suria apabila mahu melakukan aktiviti luar. Mujurlah pengeluar produk kecantikan sekarang peka mengenai hal ini dan memasukkan faktor pelindung suria (SPF) dalam krim siang, bedak asas, krim BB atau pelembap supaya wajah anda mendapat perlindungan yang diperlukan setiap hari. 

Cahaya matahari memberi kesan lebih kurang sama dengan asap rokok yang menyebabkan kedutan dan penuaan awal. Ada juga wanita yang mengalami tompok gelap akibat selaran matahari dan berita buruknya, ia lebih sukar untuk dipudarkan. Jadi pilihlah krim siang, krim BB atau bedak asas yang mengandungi sekurang-kurangnya SPF30. Pada masa sama, bibir juga perlukan perlindungan. Jika anda tidak gemar memakai gincu, oleskan pelembap bibir yang ada SPF. 

Untuk kesan lebih baik, sapukan semula krim tabir suria setiap dua jam. Memang ia agak leceh, tetapi anda perlu ingat dos pertama pada waktu pagi tidak cukup untuk memberi perlindungan sehari suntuk apatah lagi jika anda melakukan aktiviti di luar atau membabitkan air. 


• Terlalu banyak gula 

Ramai tahu terlalu banyak gula tidak elok untuk kesihatan. Kini ada satu lagi sebab kita perlu mengurangkan pengambilan gula, ia boleh merosakkan kolagen dan sel lain yang membantu mengekalkan kesihatan serta keremajaan kulit. Dalam kata lain, terlalu banyak gula boleh membuatkan kita nampak cepat tua. 

Cuba kurangkan pengambilan gula sebanyak mungkin. Untuk langkah permulaan, kurangkan minum minuman manis. Hadkan kepada satu atau dua gelas saja sehari. Gantikan makanan manis dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan membantu memberi kesegaran selain membekalkan banyak zat. 


• Selalu tertekan 

Apabila sentiasa tertekan, badan akan menghasilkan hormon kortisol yang bertanggungjawab membuatkan berat bertambah, mempengaruhi tekanan darah dan kemusnahan kolagen secara berterusan. Akibatnya kulit akan cepat mengalami penuaan dan berkedut. 

Tekanan juga boleh menyebabkan keguguran rambut dan kemunculan jerawat orang dewasa kerana ketidakseimbangan hormon. Orang yang tertekan juga lebih cenderung untuk memicit jerawat untuk melegakan perasaan tanpa menyedari ia membuatkan jerawat jadi lebih banyak. Akhirnya individu ini akan rasa lebih tertekan. 

Bagi individu yang ada masalah alahan, gejala alahan akan muncul lebih kerap apabila anda tertekan. Ini kerana apabila berada dalam keadaan tertekan, kulit akan menghasilkan histamin sebagai tindak balas biokimia terhadap hormon kortisol. Histamin inilah yang akan menyebabkan munculnya gejala alahan dan keradangan. 

Tekanan juga membuatkan emosi seseorang turun naik, cepat marah, sukar tidur dan cepat letih. Semua ini memberi kesan langsung kepada kecantikan seseorang. Jadi sebagai langkah pencegahan, belajarlah cara untuk menangani tekanan dan bertenang.

Bagikan

Jangan lewatkan

Perkongsian : Tabiat Seharian Pengaruhi Kecantikan
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"