2 Jul 2014

Berita Sabah : Remaja Tipu Ibu Ditahan

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tergamak menipu dan memeras ugut ibu sendiri dengan mendakwa dirinya diculik akhirnya berjaya ditahan polis di sini baru-baru ini.

Suspek pada mulanya dikatakan menghubungi ibunya dengan mengatakan dia ditahan oleh sekumpulan lelaki di atas alasan dituduh mencuri motosikal dan diminta membayar wang tebusan sebanyak RM2,000.

Dalam insiden berlaku Khamis lepas itu, ibu suspek berusia 34 tahun itu kemudiannya membuat laporan polis pada jam 1.42 pagi kerana bimbang perkara buruk menimpa anaknya.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat dan laporan yang diterima, sepasukan anggota akhirnya berjaya mengesan kelibat suspek di Kampung Delima, Jalan Sulaman kira-kira jam 3 pagi.

“Ketika ditemui, suspek difahamkan sedang berlegar-legar bersama dua lagi rakan lelakinya di kawasan kampung itu. Polis kemudiannya menahan suspek bersama rakannya yang berusia 17 dan 23 tahun terbabit sebelum dibawa ke IPD Kota Kinabalu.

“Hasil soal siasat, kita dapati keterangan ketiga-tiga mereka termasuk suspek tidak sama dan polis turut mendapat tahu bahawa insiden culik membabitkan suspek adalah sengaja direka-reka,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Ops Pintu di sini kelmarin.

Jauteh berkata, suspek dikatakan berpakat dengan kedua-dua rakannya untuk berbohong dengan pengadu (ibu suspek) dengan mendakwa ditahan sekumpulan lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM2,000.

“Kita masih menyiasat apa tujuan mereka meminta wang berkenaan dan berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek adalah negatif dadah,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Remaja Tipu Ibu Ditahan
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"