5 Jul 2014

BERITA SABAH : ANGGOTA TENTERA PERLU FAHAMI BENTUK ANCAMAN DIHADAPI NEGARA – RAJA MUDA PERLIS

KUDAT, (4 Julai) — Anggota tentera perlu mengetahui dan memahami bentuk-bentuk ancaman yang dihadapi negara demi mempertahankan kedaulatannya, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, ancaman setiap kawasan adalah berbeza dan oleh demikian anggota tentera harus berupaya menilai bentuk ancaman dengan lebih peka, serius dan teliti.

Tuanku Syed Faizuddin memberi contoh, kawasan Timur Sabah yang pernah berlaku beberapa insiden penculikan di pusat peranginan dan tempat penternakan ikan dengan tujuan mendapatkan wang tebusan.

“Jadi adalah penting bagi anggota tentera sentiasa berwaspada dan bersiap siaga menghadapinya,” titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama anggota Batalion 4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Kudat di sini, petang Khamis.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tengku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Panglima Pemerintahan Wilayah Timur (Sabah/Sarawak) Lt-Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar; Panglima Task-Force 450 (berpangkalan di Kem Lok Kawi), Kota Kinabalu, Mej-Jen Datuk Ranjit Singh; Panglima Angkatan Tentera Bersama (ATB2) Wilayah Timur, Laksamana Pertama Syed Zahrul Putra Syed Abdullah (berpangkalan di Tawau) dan Pegawai Memerintah Batalion 4, Lt-Kol Azman Md Zain.

Tuanku Syed Faizuddin yang turut diiringi ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri Perlis sedang dalam rangka lawatan sempena ‘Op Pasir’ di kawasan utara Sabah bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Baginda bertitah keganasan seperti yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna, aktiviti penyeludupan pelbagai komoditi, dadah dan pemerdagangan manusia di Sabah, harus diberi perhatian.

“Anggota tentera perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya iaitu proaktif dan tahu apa perlu dilakukan sekiranya tragedi tidak diingini berlaku,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin juga mahu setiap anggota tentera berusaha meningkatkan persepsi baik masyarakat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia memberi kesan kepada kredibiliti pasukan itu.

“ATM wajar membuktikan mereka adalah organisasi terbaik dan sebagai ‘role model’ masyarakat,” titah baginda. — BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

BERITA SABAH : ANGGOTA TENTERA PERLU FAHAMI BENTUK ANCAMAN DIHADAPI NEGARA – RAJA MUDA PERLIS
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"