19 Jun 2014

Sarawak : Geng Botak Mungkin akan selesaikan Cubaan Merogol dan Kes Samun

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan cubaan merogol yang dilaporkan berlaku di sini sejak kebelakangan ini dengan tertangkapnya empat anggota ‘Geng Botak’ termasuk ketuanya yang merupakan suspek utama dan paling dikehendaki.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 20 dan 35 tahun ditangkap di tiga lokasi berasingan di Permyjaya oleh sepasukan polis yang mengadakan operasi mulai jam 5 petang kelmarin hingga 2.20 pagi semalam.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 5.45 petang kelmarin, polis menangkap suspek pertama berusia 20 tahun di sebuah rumah di Permyjaya kerana disyaki terlibat dalam kes samun.

Hasil tangkapan ke atas suspek pertama membawa kepada penangkapan suspek kedua sekitar jam 8 malam di kawasan sama.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas satu unit telefon bimbit jenis Sony Xperia berwarna ungu dan sebuah iPad Samsung berwarna hijau daripadanya untuk dijadikan barang kes.

Manakala, suspek ketiga berusia 35 tahun dan suspek keempat yang merupakan suspek utama dan juga ketua kumpulan dikenali sebagai ‘Botak,’ masing-masing ditangkap pada jam 2 dan 2.10 pagi di sebuah rumah di Permyjaya.

Difahamkan, semasa tangkapan dibuat, ‘Botak’ sedang bersembunyi di rumah suspek ketiga yang merupakan sahabat karibnya.

Berikutan itu, polis merampas sebilah pisau lipat yang disembunyikan pada tali pinggang, sebuah beg sandang, sebatang ‘Hand Flare’ dan sebuah telefon bimbit daripada suspek ketiga.

Selain itu, polis turut merampas sebuah beg galas warna coklat jenama Polo Sasg, sebilah mata gunting yang disimpan dalam poket, sebuah telefon bimbit Nokia dan sebuat topi keledar daripada ‘Botak.’

Menurut sumber, suspek pertama merupakan pemilik sebuah motosikal yang kemudian dijual kepada suspek kedua dan dia (suspek kedua) telah meminjamkan motosikal tersebut kepada ‘Botak’ untuk digunakan melakukan jenayah.

Sebaik tangkapan, kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas keempat-empat suspek terbabit yang dikenali sebagai ‘Geng Botak.’

“Kita percaya dengan penangkapan empat suspek terbabit yang merupakan rakyat tempatan, polis dapat menyelesaikan beberapa kes samun yang dilaporkan berlaku di Miri terutama di kawasan Permyjaya.

“Buat masa ini, kita akan siasat mereka mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan setelah itu, baharu kita siasat mengikut Seksyen 376/511 kanun sama kerana cubaan merogol seorang guru dan seorang pelajar berusia 14 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Gan, semasa serbuan di lokasi terakhir awal pagi semalam, selain menangkap suspek ketiga dan keempat, polis turut menahan tiga individu lain kerana disyaki terbabit sama.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit kemudian dibenarkan dibebas dengan jaminan polis setelah siasatan awal polis mendapati mereka tidak terlibat.

Sementara itu, keempat-empat suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam diperintahkan supaya direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis dan tempoh reman akan tamat pada 22 Jun ini.

Bagikan

Jangan lewatkan

Sarawak : Geng Botak Mungkin akan selesaikan Cubaan Merogol dan Kes Samun
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"