20 Jun 2014

Sabah : Polis Tahan Warga Asing serta Rampas dua laras Bakakuk

Sekadar Gambar Hiasan
LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dua laras senjata api buatan sendiri dipercayai jenis ‘bakakuk’ dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Talibas, Buang Sayang, Jalan Segama, di sini awal pagi kelmarin.

Turut dirampas lima buah motosikal bersama beberapa komponen enjin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Shamsudin Mat ketika dihubungi berkata, bertindak atas risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Lahad Datu yang diketuai oleh ASP Ladamah Sulaiman mengadakan Ops Cantas Khas bagi menjejak dan menangkap suspek.

“Dalam serbuan di rumah terbabit pada jam 6.15 pagi itu, kita berjaya menahan suspek berumur 37 tahun di dalam bilik tidurnya, yang mana ketika penahanan dilakukan, suspek yang menyedari kehadiran polis telah bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya sambil menambah, turut ditahan isteri dan anak suspek berumur 22 dan 4 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam bilik suspek, polis menjumpai dua laras senjata api buatan sendiri yang telah dileraikan dan disembunyikan di dalam sarung kusyen tempat duduk.

“Selain senjata api, kita juga berjaya merampas lima buah motosikal bersama beberapa komponen injin yang disimpan didalam dan dibawah rumah suspek,” katanya.

Jelasnya lagi, suspek juga turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine. Suspek dan barang rampasan kemudiannya di bawa balik ke IPD untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10 ribu atau kedua-dua sekali.

Bagikan

Jangan lewatkan

Sabah : Polis Tahan Warga Asing serta Rampas dua laras Bakakuk
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"