21 Jun 2014

Kekalkan Perpaduan Kaum Tolak Fahaman Ekstrem

Percampuran etnik yang mengamalkan pelbagai aspek keagamaan di Sarawak amat wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain di negara ini.

Amalan ini juga membuktikan bahawa kepimpinan kerajaan negeri selama ini berkesan dan diterima baik oleh semua pihak, kata Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Percampuran pelbagai etnik daripada lebih 20 suku kaum yang hidup dalam satu rumpun melambangkan konsep 1Malaysia telah lama bertapak dan diamalkan di negeri ini.

“Kita berharap rakyat di negeri ini menolak segala bentuk fahaman politik ekstrem yang boleh menghancurkan segala bentuk pencapaian yang telah dan sedang dinikmati oleh rakyat masa kini.

“Ini juga amat penting bagi memastikan usaha kerajaan menyalurkan pelbagai pembangunan dan kemajuan di seluruh pelosok negeri dapat dijalankan dengan lancar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pusat Transformasi Bergerak (MCTC) dan Pesta Kabong di sini, semalam.

Majlis yang dihadiri oleh sekitar 1,500 penduduk itu berlangsung di Dataran Kabong.

Pada majlis itu, Adenan mengumumkan bahawa lebih 1,000 hektar tanah kerajaan di  kawasan Sungai Segading dirizab dan diluluskan sebagai tanah untuk aktiviti pertanian bagi penduduk setempat.
“Kita mahu kemudahan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat.

“Gunakan kemudahan yang ada ini untuk memajukan diri dalam usaha untuk melonjakkan sosioekonomi diri dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, Adenan mengumumkan peruntukan bernilai RM150,000 untuk pembesaran tanah perkuburan yang terletak berhampiran dengan Kampung Baru Kabong dan RM30,000 untuk jawatankuasa Masjid Assabirin Kabong menjalankan aktiviti.

Adenan turut mengumumkan sebuah masjid baharu akan dibina di tanah seluas 11 ekar di sini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz dan Menteri Muda Pembangunan Belia dan Perumahan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagikan

Jangan lewatkan

Kekalkan Perpaduan Kaum Tolak Fahaman Ekstrem
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"