12 Jun 2014

Berita Sabah : Remaja jual Barang Curi diberkas Polis


PAPAR: Tembelang tiga remaja yang berpakat menjual komputer riba 1Malaysia kepada penduduk kampung akhirnya terbongkar selepas didapati alatan berkenaan rupa-rupanya barangan curi.

Dalam kejadian di Kampung Benoni itu, ketiga-tiga remaja berusia 16 hingga 17 tahun itu akhirnya berjaya ditahan polis ekoran insiden pecah masuk sebuah perpustakaan desa di kampung terbabit baru-baru ini.

Terdahulu dalam kejadian 31 Mei lepas, perpustakaan itu didapati telah dipecah masuk dan beberapa barangan termasuk lapan unit komputer riba 1Malaysia serta sebuah kamera digital hilang dipercayai dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden George Abdul Rakman berkata, susulan daripada insiden itu, sepasukan anggota melakukan pemeriksaan di lokasi berkenaan dan mendapati suspek memecah masuk melalui pintu bahagian belakang perpustakaan.

“Selang beberapa hari, kita menerima laporan daripada seorang penduduk kampung dengan turut membawa sebuah komputer riba 1Malaysia yang dibelinya di mana dipercayai dijual oleh suspek dalam kejadian itu.

“Bertindak ke atas maklumat, pada 9 Jun kira-kira jam 11 pagi, sepasukan anggota membuat empat serbuan di Kg Benoni dan akhirnya berjaya menahan tiga remaja lelaki,” katanya sambil menambah, kesemua barangan yang dilarikan suspek turut berjaya dirampas semula.

George berkata, hasil siasatan ke atas suspek-suspek terbabit mereka mengaku terlibat dalam insiden pecah rumah berkenaan dan kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan susulan.

Tambahnya, ketiga-tiga remaja itu akan menjalani ujian saringan air kencing bagi mengenalpasti sama ada mereka terlibat penyalahgunaan dadah atau sebaliknya.

“Polis Papar ingin merakamkan penghargaan kepada para penduduk di Kg Benoni kerana bekerjasama erat dengan kita berikutan tangkapan ketiga-tiga suspek ini.

“Kita turut menggesa orang ramai khususnya golongan ibu bapa agar memainkan peranan dalam mendidik anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan aktiviti jenayah seumpama kes berkenaan,” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Borneo Post

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Remaja jual Barang Curi diberkas Polis
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"