KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menambah aset dan logistik ketenteraan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di perairan Sabah ekoran insiden penculikan.
Penambahan itu antaranya merupakan pertambahan penempatan sistem 'sea-basing' iaitu penempatan bot pemintas, anggota dan pegawai serta pangkalan kecil TLDM di tengah laut.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan dan perkara itu dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat.
"Sistem sea-basing akan ditempatkan di kawasan strategik yang berpotensi berlaku penculikan serta bagi menghalang mana-mana pencerobohan.
"Kita telah mempunyai aset tersebut cuma kurang strategik. Sea-basing merupakan penempatan bot-bot pemintas di tengah lautan yang berkeupayaan bertindak diluar jangkauan dengan tempoh yang cepat," katanya kepada pemberita sempena Hari Inovasi TLDM, di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Pada 6 Mei lepas, di Pulau Baik, Lahad Datu, lima lelaki bersenjata, dipercayai jenis M16, menculik Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhao, China yang bekerja sebagai pengurus pusat penternakan ikan milik syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hong Kong.
Penculikan itu merupakan kes kedua selepas insiden pertama pada 2 April lepas, apabila sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh sebuah resot di Pulau Singgahmata dan melarikan dua wanita iaitu pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
Kedua-dua mereka masih menjadi tebusan dan penculik dilapor menuntut wang tebusan berjumlah RM36.4 juta.
Dua insiden itu menimbulkan persoalan terhadap kawalan keselamatan setelah penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) pada tahun lepas sebagai perisai di Pantai Timur Sabah berikutan insiden pencerobohan sekumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina ke Lahad Datu pada 12 Februari 2013.
Pencerobohan itu menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan negara terkorban dan dalam gerakan ofensif Op Daulat pasukan keselamatan menembak mati 68 pengganas serta 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian
Bagikan
TLDM tambah aset perkukuh keselamatan di perairan Sabah
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"