KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan samun dalam dua kejadian berasingan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kesemua yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 29 tahun.
Beliau berkata dalam kejadian pertama, polis menahan seorang lelaki berumur lingkungan 20-an di Penampang pada pukul 12.10 pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk rumah di sekitar Kota Kinabalu termasuk di Tanjung Aru dan Open University, Kepayan.
"Susulan penangkapan lelaki itu, polis mengesan tiga lelaki yang terlibat melakukan jenayah yang sama ditangkap di sekitar Jalan Sembulan Lama dan Kuarters Perumahan Keretapi Sabah antara pukul 1.30 pagi hingga 3 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.
Beliau berkata keempat-empat suspek turut mengaku terlibat dalam kes rompakan di Tanjung Aru pada 20 April lepas.
Jauteh berkata antara barangan yang dirampas termasuk motosikal, telefon bimbit milik mangsa ragut berserta barangan curi lain selain peralatan mencuri seperti pisau.
Dalam kejadian berasingan, katanya polis menahan seorang lelaki sedang memecah masuk sebuah rumah serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk memasuki rumah di University Apartment Alam Mesra pada pukul 2 petang semalam.
"Lelaki berusia 29 tahun itu didapati positif dadah dan siasatan mendapati pekerja siber itu terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Inanam dan Menggatal berdasarkan barangan peralatan pecah rumah dan kunci kereta serta sebuah motosikal curi," katanya.
-- BERNAMA
Bagikan
Lima Lelaki Terlibat Kes Pecah Rumah Dan Samun Di Kota Kinabalu Ditahan
4/
5
Oleh
admin