10 Jul 2014

Info Semasa : Ada tempat untuk bayi tidak dikehendaki

Info Semasa : Ada tempat untuk bayi tidak dikehendaki

KUCHING: Isu pembuangan bayi bukanlah perkara baharu, namun ia umpama mimpi buruk yang bermusim bagi masyarakat di negeri ini khususnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, tindakan membuang bayi bergantung kepada beberapa faktor merangkumi desakan hidup, hilang pertimbangan diri atau takut dicemuh ahli keluarga yang lain.

“Ibu bapa atau remaja diingatkan untuk tidak membuang bayi kerana kerajaan menyediakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayi dengan selamat.

“Mereka boleh menempatkan bayi mereka di Taman Seri Puteri Kuching (TSPK), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), rumah perlindungan serta hospital.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai masalah, sila berhubung terus dengan pihak JKM atau mendapatkan khidmat nasihat serta rujukan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan khidmat yang lain,” katanya.

Tambah Fatimah, masyarakat juga perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan ke atas anak remaja selain memberikan didikan agama atau melalui pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik anak-anak.

“Tanggungjawab membendung gejala buang bayi harus menjadi tanggungjawab bersama dan bukan diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja.

“Masyarakat juga harus sedar, isu buang bayi bukan kesalahan si ibu semata-mata. Tanpa wujudnya kaum lelaki, isu ini tidak akan timbul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri di Masjid Darul Muttaqkin, Kampung Buntal, di sini semalam.

Selain itu, katanya golongan remaja perlu diberi kesedaran mengenai amalan berfikir dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan menerusi khidmat kaunseling dan nasihat daripada keluarga, pemimpin masyarakat mahupun golongan profesional.

“Kita tidak mahu remaja yang mengandung di luar ikatan perkahwinan mengambil jalan pintas dengan menggugurkan kandungan akibat didorong perasaan takut akan dicemuh oleh ahli keluarga,” katanya.

TSPK di bawah seliaan JKM dan KKWPK menawarkan pusat perlindungan khusus bagi kaum wanita yang mengandung luar nikah berusia kurang daripada 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Mereka akan mendapat penjagaan khusus semasa kehamilan selain turut akan dijaga rapi sehingga selesainya proses melahirkan bayi dengan selamat selain menawarkan perkhidmatan lain seperti kaunseling, tempat tinggal sementara, latihan vokasional, pendidikan dan keagamaan.

Wanita yang telah melahirkan anak mereka boleh memilih untuk menjaga sendiri anak tersebut atau menyerahkannya kepada pihak JKM sebelum ia diserahkan kepada keluarga angkat melalui prosedur pengambilan anak angkat yang ditetapkan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Siti Shorgayah Zaidin dan ketua-ketua masyarakat.
UTUSAN BORNEO

Bagikan

Jangan lewatkan

Info Semasa : Ada tempat untuk bayi tidak dikehendaki
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"