15 Jul 2014

Berita Sabah : Kapal Bunga Mas 5 Bakal Memperkukuhkan Keselamatan Perairan Sabah

KERAJAAN bakal menempatkan Kapal Bunga Mas 5 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) di perairan pantai Timur Sabah yang bersempadan dengan Filipina, bagi memperkukuh  pertahanan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kapal itu berperanan sebagai kapal induk dan dilengkapi pasukan anggota keselamatan dan bot-bot laju bagi menangani jenayah rentas sempadan.

"Saya fikir kerjasama rakyat juga penting. Kalau kita beri maklumat kepada musuh, maka musuh dapat membolosi sistem pertahanan negeri ini...saya harap ini dapat dielakkan, jika tak, apa jua sistem pertahanan canggih pun boleh ditembusi jika ada yang beri maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan makan malam bersama Perdana Menteri dan Isteri di sini, malam ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri  Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Luar Datuk Seri  Anifah Aman, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan serta beberapa menteri Kabinet negeri.

Kapal Bunga Mas Lima milik MISC itu telah diubah menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi tujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui Teluk Aden bermula pada 2008.

Bunga Mas Lima merupakan sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU, merupakan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal Auxiliary TLDM.

Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat MISC, di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Projek pengubahsuai kapal Bunga Mas Lima telah diusahakan berikutan insiden rampasan dua kapal MISC, Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima.

Sehubungan itu MISC, TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berkerjasama menyelesaikan kedua-dua insiden tersebut menerusi Ops Fajar yang menjadikan Bunga Mas Lima sebagai kapal Auxiliary.

Sepanjang penugasannya di Teluk Eden, Bunga Mas Lima berjaya memastikan keselamatan 33 konvoi yang terdiri daripada 45 buah kapal dagang milik negara.

Sejak operasi Bunga Mas Lima dilancarkan tiada kapal MISC ataupun kapal-kapal yang berkepentingan kepada negara dirampas oleh lanun terutama di Teluk Eden.

Jika mengikut undang-undang antarabangsa, kapal auxiliary adalah kapal yang terletak di bawah kawalan ketenteraan yang diberikan keistimewaan tertentu untuk menjayakan misinya termasuk di perairan antarabangsa.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dua pelantar minyak Petronas akan ditempatkan di perairan Semporna dan Lahad Datu sebagai barisan pertahanan terakhir dengan dilengkapi sistem radar yang dapat memantau pergerakan di perairan berkenaan.  

Perkara itu akan dilakukan enam bulan lagi sebagai langkah meyakinkan rakyat Sabah terhadap peranan Esscom sejajar penstrukturan semula Esscom yang dipimpin seorang Komander.

Sebagai Pengarah Keselamatan Negara, Najib berkata beliau akan kembali melakukan lawatan kerja ke Sabah dalam  masa terdekat bagi mengumumkan lebih banyak bentuk insiatif dalam soal pembangunan dan keselamatan negeri ini khususnya Esscom.

Penstrukturan semula Esscom mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam, bertujuan menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi  mempertingkat keberkesanan operasi.

Pelantikan Abd Rashid sebagai Komander Esscom berkuat kuasa Selasa ini.  

Najib dan Rosmah turut menyampaikan sumbangan duit raya dari Pusat Zakat Sabah kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di sekitar Kota Kinabalu. 

Terdahulu, Najib menghadiri taklimat khas Pembangunan Sabah oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah  sebelum menghadiri majlis perjumpaan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di sini.

Bagikan

Jangan lewatkan

Berita Sabah : Kapal Bunga Mas 5 Bakal Memperkukuhkan Keselamatan Perairan Sabah
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"