1 Jun 2014

Peserta dari Keningau Juara Cabaran Orang Kuat Labuan



LABUAN 30 Mei - Dua peserta dari Sabah menguasai tempat teratas Cabaran Orang Kuat Labuan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan Labuan pada hujung minggu lalu.

Dalam pertandingan dua hari yang bermula Sabtu lalu, peserta dari Keningau, Francis Abi muncul juara selepas berjaya meraih 85.5 mata sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Tempat kedua dengan kutipan markah sebanyak 71 dimenangi Mazri Sital dari Kudat yang meraih hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala peserta tuan rumah, Faizal Sunardi pula menduduki tempat ketiga untuk meraih RM1,500.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Labuan, Faruzrahidzah Mohd. Kassim berkata, penganjuran pertandingan selama dua hari itu mendapat penyertaan peserta dari Labuan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Brunei.

Katanya, penyertaan pada tahun ini mencatat peningkatan kepada 19 orang berbanding hanya 12 orang pada tahun lalu.

"Pertandingan yang diadakan di dua lokasi iaitu di Muzium Labuan dan Pusat Penerangan Pelancongan Labuan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin melihat kehebatan para peserta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Mengulas lanjut, Faruzrahidzah berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan mengumpulkan peminat sukan lasak seluruh negara, khusus dari Borneo selain mempelbagaikan aktiviti sukan pelancongan di Labuan.

Daripada segi persediaan katanya, masih terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik dan diperbaiki pada masa hadapan.

"Memandangkan acara ini kali kedua diadakan, pihak pengurusan melihat beberapa aspek perlu ditambah baik termasuk daripada segi aktiviti promosi bagi menggalakkan lebih ramai peserta dan pengunjung yang hadir pada masa hadapan," katanya.

Menurutnya, acara lasak tersebut dilihat telah menimbulkan keterujaan dalam kalangan orang ramai untuk menyaksikannya apabila ia jarang sekali dipertandingkan dalam khalayak ramai.

"Sekalipun acara ini bersifat pelancongan domestik, namun ia diharap dapat menarik peserta dari luar negara terutama dari negara jiran seperti Brunei, Singapura serta Filipina pada masa akan datang," katanya.

UTUSAN ONLINE
Pic ; Kredit

Bagikan

Jangan lewatkan

Peserta dari Keningau Juara Cabaran Orang Kuat Labuan
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.