22 Jun 2014

Lelaki Telanjang Bulat Kejutkan Pemandu

Berita Sarawak


MIRI, Sarawak: Seorang lelaki bogel secara tiba-tiba muncul di tengah jalan dan menari mengejutkan beberapa pemandu di laluan pesisir pantai Lutong, malam kelmarin.

Pengadu, 40-an, dari Desa Senadin memberitahu, kejadian pelik itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis dari Kampung Pulau Melayu.

“Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam.  Ketika hendak sampai ke kawasan lapangan terbang lama Lutong, saya hairan melihat kereta di depan saya secara tiba-tiba mengelak ke kiri dan memecut.

“Selepas itu, seorang lelaki telanjang bulat berlari di hadapan kereta saya, mengangkat tangan dan menari,” jelas beliau berkongsi cerita dengan pemberita semalam.

Persekitaran laluan yang gelap juga menyukarkan beliau untuk mengecam wajah lelaki itu.

Pengadu sempat mengelak kenderaannya ke kanan ketika lelaki itu cuba mendekati keretanya.

“Nasib baik saya masih sempat mengelak dan tidak panik, kalau tidak, tak tahu apa yang bakal terjadi,” tambahnya yang juga tidak pasti sama ada lelaki itu dalam keadaan mabuk ataupun kurang waras.

Beliau turut mendengar teriakan setelah memecut kenderaannya dari tempat kejadian.

Lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu turut cuba memberhentikan kenderaan lain di belakang kereta pengadu.

Justeru, pengadu menasihatkan pengguna jalan raya khasnya pemandu wanita agar lebih berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.

“Ini bertujuan mengelak kejadian tidak diingini kerana persekitaran laluan yang gelap,” katanya.

Laluan pesisir pantai Lutong digunakan sebagai laluan singkat ke pasar Lutong yang melalui kawasan Kem Piasau dan lapangan terbang lama Lutong

Bagikan

Jangan lewatkan

Lelaki Telanjang Bulat Kejutkan Pemandu
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"