29 May 2014

MASwings sedia penerbangan setiap jam di Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan serantau, MASwings merancang untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan ulang alik untuk setiap jam di Sabah dan Sarawak di masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nawawi Awang berkata, ia adalah satu usaha untuk menyediakan keperluan, kemudahan serta keselesaan untuk para penumpangnya.

“Kita akan menyediakan perkhidmatan seperti ‘bus shuttle’ pada setiap jam untuk kesenangan penumpang.

“Pembelian tiket secara ‘touch and go’ juga akan disediakan dan pelanggan tidak perlu lagi menempah tiket tetapi hanya terus ke kaunter,” katanya pada sidang media sempena program perayaan Kaamatan dan Gawai MASwings, di Terminal 1 Lapangan Terbang Antrabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Nawawi turut mengumumkan bahawa Maswings menerima tiga pesawat ATR baharu pada tahun ini untuk meningkatkan perkhidmatannya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sebuah pesawat ATR terbabit sudah diterima pada tahun lalu, sebuah lagi tiba di Lapangan Terbang Subang dan sebuah lagi dijangka tiba dalam beberapa hari.

“Kita menjangkakan perkhidmatannya akan bermula pada minggu hadapan manakala dua lagi pesawat baharu dijangka tiba antara bulan Ogos dan Oktober tahun ini,” jelasnya.

Nawawi berkata, pihaknya turut merancang untuk meningkatkan frekuensi penerbangan menuju ke Puerto Princesa dari Kota Kinabalu iaitu daripada tiga kepada lima penerbangan dalam seminggu bermula 2 Jun ini.

Katanya, usaha itu dilakukan memandangkan penerbangan terbabit mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada penumpang Palawan serta Kota Kinabalu.

Sementara itu, sempena perayaan Kamaatan dan Gawai, buat julung kalinya beberapa krew kabin MASwing akan memakai pakaian tradisi kaum Sabah dan Sarawak di setiap penerbangannya bermula 28 Mei sehingga 4 Jun ini.

“Inisiatif ini adalah satu usaha untuk memperkayakan budaya Sabah dan Sarawak yang sememangnya mempunyai kepelbagaian kaum dan keunikan tersendiri,” kata Nawawi sambil menambah, penumpang luar Borneo yang menaiki penerbangan ke Sabah dan Sarawak turut berpeluang merakamkan gambar kenangan bersama dengan krew MASwings yang lengkap berpakaian tradisi.

Turut hadir menyempurnakan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

BORNEOPOST



Bagikan

Jangan lewatkan

MASwings sedia penerbangan setiap jam di Sabah dan Sarawak
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.